Tahun depan, tahun 2020, kemuncak bagi segala wawasan negara. Tahun penilaian segala aspek pembangunan, adakah mencapai matlamat ataupun masih banyak perlu diubah itu ini. Ya, dunia makin mencabar. Setiap peringkat itu mencabar. Individu, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Seseorang itu, dia akan melalui zaman di mana dia dijaga oleh kedua ibu bapanya. Kemudian, dia melangkah ke alam universiti. Kemudian, setelah selamat menamatkan pembelajaran, maka, “kehidupan sebenar” akan mula ditempuh, iaitu alam pekerjaan, di mana, dia mungkin terpaksa berhijrah dari desa ke kota, membawa diri demi mencari rezeki yang halal. Siapa boleh kata setiap fasa ni tiada cabarannya? Hebatnya kamu!
Bagi sesiapa yang sedar bahawa dakwah itu suatu kewajipan, dia mungkin akan melalui pelbagai dilema dalam setiap keputusan yang dia ingin lakukan dalam kehidupan seharian. Ya, tak semestinya dia tu orang yang baik sangat, ya, dia tetap pendosa, tapi, dia cuba untuk menunaikan suruhan Allah dan nabi s.a.w..
“Dakwah” – Merangkumi perbuatan mengajak orang lain kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, menunjukkan akhlak Islam sebenar sehingga mampu menarik orang lain untuk mengikuti cara hidup Islam sebenar, walaupun sekecil-kecil perkara (kerana sekecil-kecil perkara itu ada nilaiannya di sisi Allah).
“Persekitaran” – Persekitaran di sini merujuk kepada “bi’ah solehah”, iaitu persekitaran Islami, yang dapat mengekalkan kita dalam kebaikan dan mengelakkan kita daripada dosa/maksiat. Boleh jadi didapati daripada keluarga, kawan-kawan yang digauli, persatuan, dan juga tempat yang dijejaki seperti masjid/surau.
Bila seseorang sudah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, percayalah majoriti kita takkan dapat bawa kawan-kawan, sahabat-sahabat seperjuangan yang mempunyai pemikiran dan perjuangan yang sama semasa sebelum dia mendapat kerja. Bermakna, dia perlu berjuang seorang diri. Kemudian, dia akan disibukkan dengan kerja sehingga masa yang diluangkan bersama bi’ah solehah itu mungkin terpaksa diketepikan atas faktor yang lebih mendesak. Jadi, apabila bi’ah solehah ini terpaksa diketepikan, apa yang akan mengambil alih? Tentunya, kawan-kawan di tempat kerja dan juga persekitaran yang wujud di tempat kerja. Minimum seminggu lima hari bekerja kita akan didampingi oleh orang yang sama-sama bekerja dengan kita. Asalnya, sabtu ahad menjadi masa untuk diluangkan bersama keluarga, namun, disebabkan projek di tempat kerja, dua hari itu juga terpaksa dikorbankan dan diganti pula dengan masa bekerja lebih masa. Jadi, masa bila kita nak sempatkan diri untuk “stay on track” dengan bi’ah solehah itu? Bi’ah solehah bagi saya memang tak wajib. Ada orang tak pernah dengar pun bi’ah solehah itu apa dia. Yang wajibnya adalah untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Bi’ah solehah ini cuma salah satu jalan mudah untuk kita mendapat taqwa.
Itu baru sikit tentang bi’ah solehah. Bagaimana pula dengan dakwah? Sedangkan nak mendapatkan persekitaran yang baik itu sukar, inikan pula dakwah. Dan dakwah juga wajib. Macamana ni? Kiranya macam ni lah; dakwah itu adalah “internal force” (kita yang perlu bertindak) manakala bi’ah solehah itu adalah “external force” (faktor luar yang mempengaruhi kita). Kalau tak dapat duduk dalam bi’ah solehah, mampu ke kita nak buat dakwah? Nah, itulah kaitannya.
Persoalannya hari ni, kita mungkin takkan dapat dua (dakwah & bi’ah solehah) dalam satu masa. Kita terpaksa memilih. Ok, adakah dakwah yang kamu pilih? Maka, persekitaran yang kamu dapat adalah pesekitaran yang sebaliknya. Ok, yang kedua, adakah bi’ah solehah yang kamu pilih? Maka, dakwah mungkin tak tersebar (terutamanya, mengajak kepada kebaikan & mencegah kemungkaran). Mana yang lebih utama?
Apabila dakwah yang dipilih, maka, bermakna kita memilih untuk menempuhi jalan yang berduri. Yang perlu diiringi dengan sabar, jihad melawan nafsu, jihad menepis ajakan yang boleh membawa kita kepada lalai daripada mengingati Allah, dan melihat seolah-olah dunia ini lebih penting daripada akhirat. Mana taknya, seronok kan bila kita dapat rasa nikmat dunia? Dapat kawan yang syok, enjoy, kelakar. Lepastu, dapat pergi sana sini, buat aktiviti itu ini. Kita biasa dengar/guna, “Masa muda ni lah masa nak seronok-seronok,” Tertanggal dah label “aku kena dakwah” daripada diri kepada “aku kena enjoy”. Solat pun akhir-akhir waktu je. “eh kenapa, masih solat kan?” (adakah ini jawapan kita pada Allah?). Mampu ke kita kekalkan momentum untuk jadi orang bertaqwa? (Faghfirlana) Inilah cabaran sebenar. Dan biasanya, bila terpaksa memilih untuk tidak menyertai, kita mungkin berpotensi untuk dipulau, dilable sebagi “tidak bergaul”, tidak mesra dan kita sendiri tidak akan dapat lihat itulah cabaran umat zaman ini (yang perlu kita bendung), kita rasa kita selamat sedangkan kita sedang mengenepikan usaha dakwah.
Apabila bi’ah solehah yang kita pilih, bermakna kita dalam zon selesa. Kita akan kurang mendepani maksiat mata, telinga dan lidah yang memerlukan kita melakukan dakwah. Kita mungkin akan mampu tersenyum sebab tak rasa ada dosa yang kita sedang buat malah rasa pahala berganda sebab tak ada masalah nak solat pada waktu, nak mengaji, nak berzikir dan lain-lain. Itu secara zahir lah. Cabarannya adalah apabila bi’ah solehah ini terpaksa digabung dengan persekitaran yang umum. Mungkin saya akan sentuh dalam penulisan yang lain.
*Penulisan saya di atas adalah pandangan saya secara individu semata-mata, yang berhak ditegur akan kesalahannya dan perlu ditambah apa yang kurang.
Sekian sahaja. Saya sangat mengalu-alukan nasihat yang boleh dimanfaatkan. Semoga anda dikurniakan kebaikan sebanyak-banyaknya!
Catatan,
MimRa.
28 Disember 2019.
First Edition: 28/12/2019
No comments:
Post a Comment