Sunday, 22 December 2019

Cara Kita Bermuamalah (005)

Antara anda, siapa yang kerja dia kena jumpa dengan orang awam? Setiap hari ada orang akan berjumpa dengan anda, dan anda perlu berinteraksi dengan mereka. Ya, kita sama.
Jadi, penulisan kali ini saya ingin bincangkan satu isu, iaitu "cara kita bermuamalah" dengan manusia.

Pada hujung minggu lepas, alhamdulillah saya diberi izin oleh Allah untuk menziarahi satu keluarga yang dikategorikan sebagai "miskin bandar" di Kuala Lumpur. Pelbagai cerita duka (survival) yang dikongsi olehnya. Termasuklah pernah menjadi orang (keluarga) gelandangan selama 2 minggu. Satu perjumpaan yang membuatkan saya sedar bahawa selama ini, saya banyak pandang orang lain sebelah mata sahaja dan memandang rendah kepada golongan yang miskin, mungkin dengan mengatakan bahawa mereka ini tidak berusaha, malas, tak ada masa depan, menyusahkan dan lain-lain.

Semasa pertemuan itu, saya tersentap, apabila dia menjawab soalan saya tentang mengapa dia tidak membawa anaknya untuk checkup bulanan/tahunan (imunisasi) di klinik kesihatan. Selain sebab kos rawatan yang tinggi (kerana anaknya memiliki sijil kelahiran berwarna merah) dia juga meluahkan bahawa layanan yang diberikan adalah agak kasar. Sebagai contoh, apabila dia tidak hadir pada tarikh temu janji, dia dimarahi (tinggi suara) oleh jururawat yang in-charge, sedangkan dia tidak hadir kerana betul-betul tidak mampu (contoh sekali imunisasi boleh mencecah lebih 100 ringgit), kerana jika pendapatan yang dia dapat sehari adalah RM40, duit itu jugalah digunakan untuk membayar sewa bilik dan belanja anak (seramai 4 orang - umur sekolah rendah ke bawah) dan dikait-kaitkannya dengan status kewarganegaraan. Saya terasa dan dapat faham situasi itu sebab saya bekerja dalam jabatan kesihatan juga, jadi, perkara ini begitu dekat dengan pekerjaan saya.

Nak dijadikan cerita, pada malam sebelum ziarah itu, saya sempat didengarkan kuliah ustaz, kitab Minhajul Abidin oleh Imam al-Ghazali. Tajuk pada malam itu adalah tawakkal. Ustaz ada bagi contoh perbandingan antara layanan yang baik dan buruk oleh doktor yang merawat pesakit warga emas. Geli hati juga bila ustaz buat intonasi seakan-akan situasi sebenar ditambah dengan suara makcik-makcik surau yang turut tertawa mengiyakan beliau. Ada yang melayan endah tak endah, äda yang bagi ugutan (nak takutkan pesakit) contohnya "ha, biarlah nanti mati (sebab tak mahu makan ubat ikut yang doktor suruh)," Dan, ada juga layanan baik, contohnya, bila pesakit masuk bilik doktor, doktor yang memberi salam terlebih dahulu dan melakukan pemeriksaan dengan lemah lembut dan berbudi bahasa. Kalau dapat layanan baik sebegitu, kata ustaz, "tak payah makan ubat dah sembuh," Hehehe. Dan, contoh ini mempunyai kaitannya dengan konsep tawakkal dalam mencari rezeki.

Pengajarannya di sini, cuba kita ingat balik cara kita melayan orang, terutamanya orang awam yang memerlukan perkhidmatan atau bantuan daripada kita. Ya. Pelanggan kita terdiri daripada bermacam ragam perangai. Kita kena tundukkan sikit ego dan emosi kita, dan cuba empati (meletakkan diri kita pada situasi orang lain). Dan, kalau ikutkan ilmu sabar, ustaz kata, dalam agama tak ada mana-mana sumber yang mengatakan sabar itu ada had. Memang kita pula yang kena fikirkan cara yang hikmah untuk defend diri kita. Cuba kita ingatkan pada hati bahawa setiap orang awam yang jumpa dengan kita itu berhajat. Dan orang yang dapat memudahkan hajat orang lain ada pahala di sisi Allah.

Kalau kita rasa sifat kita memang macam ni bila bercakap dengan orang, mungkin kita boleh cuba ubah perlahan-lahan. Kalau kita rasa orang tak nampak, Allah dengan malaikat nampak. Kalau kita rasa orang lain sama sahaja akan layan kita buruk jugak, kita kena fikir baliklah apa yang kita mahukan, pandangan manusia atau pandangan Tuhan? Dan, adakah kita bekerja untuk dunia sahaja?

Sekian sahaja.

Catatan, 
MimRa.
23 Disember 2019

First Edition: 23/12/2019

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...