Wednesday, 25 December 2019

Review Novel “Opera Di Gontor” (006)

Karya Amroeh Adiwijaya (2011). PTS Litera.

“Gontor” merupakan sebuah pondok moden masyhur di Indonesia. Buku ini mengisahkan kehidupan penulis sepanjang enam tahun menuntut ilmu di Pondok Gontor sejak beliau berusia 11 tahun, berpisah dengan keluarga. Secara umum, isi buku ini sangat menarik kerana memberi pendedahan kepada masyarakat yang tidak mengenali sistem pendidikan pondok “moden” yang penuh disiplin dan jadual harian yang disusun rapi dan padat. Novel ini boleh membuka mata masyarakat tentang konsep moden yang diterapkan ke dalam institusi pondok yang biasanya dikenali sebagai sekolah yang mundur dan tidak seimbang. Di akhir novel ini, penulis membuktikan bahawa beliau mampu menjadi orang berjaya hasil keringat yang dikorbankan semasa di Gontor.

Pelbagai pengalaman lucu yang dihimpun oleh penulis sama ada bagaimana beliau berfikir mahupun tindakan yang dibuat olehnya apabila menghadapi situasi-situasi tertentu. Walaupun dikatakan pelajar pondok, tidak bermakna beliau tidak membuat kesalahan dan tidak nakal. Kesalahan yang dilakukannya pasti dihukum, apabila diketahui oleh guru. Dan hukuman itu pasti memalukan! Dan ada juga yang beliau berjaya meloloskan diri tanpa pengetahuan sesiapa. Selain itu, memandangkan Pondok Gontor sangat jauh dari kampung halaman penulis, tidak terkecuali beliau menzahirkan rasa rindu yang merobek kepada keluarga saat tidak dapat pulang dalam tempoh yang lama. 

Dalam pada itu, disebabkan kepayahan dan kedisiplinan tinggal di pondok ini, tidak semua pelajar berjaya ke tahun akhir. Ada juga yang sempat menduduki peperiksaan akhir, namun, disebabkan hal yang decetuskannya, dia dipecat oleh pimpinan dan pengurus Pondok Moden Gontor tanpa kompromi. Kerana apa? Kerana perempuan.

Penulis juga sempat meyelitkan kisah sejarah dan politik Indonesia (yang mana saya kurang hadam kerana mungkin atas faktor negara berbeza) dan tidak kurangnya perkara yang menyentuh perihal agama. Antaranya, konsep uzlah, kisah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, buat baik tak semestinya dibalas baik, bagaimana penulis mendidik diri menerima keadaan dan dugaan seadanya tanpa teman, peranan guru-guru dalam mendidik dengan penuh disiplin dan sebagainya.

Kesimpulannya, novel ini memberi motivasi untuk seorang yang bergelar pelajar untuk menuntut ilmu, yang rata-ratanya penuh dengan kepayahan dan kecekalan untuk tetap dalam niat yang asal, kerana agama dan kerana Tuhan. Dengan mengingati harapan yang diberikan oleh ibu bapa dan keluarga yang mengorbankan jarak untuk berkasih sayang supaya menjadi insan berguna, seseorang itu tidak akan sampai hati untuk mengecewakan mereka dan akan terus berjuang. Dalam perjuangan menuntut ilmu, kadang seseorang itu perlu berdiri sendiri, tanpa pembela atau teman di sisi.

Sekian sahaja.

Mula baca – 18 Oktober 2019
Tamat – 18 Disember 2019 (25 Disember 2019)
Alhamdulillah!

Catatan,
MimRa.
25 Disember 2019.

First Edition: 25/12/2019

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...