Showing posts with label Kelas Agama. Show all posts
Showing posts with label Kelas Agama. Show all posts

Thursday, 8 June 2023

Syurga yang dirindui (089)

Rindu taman syurga dunia.

Hari ini dimaklumkan kelas kitab hujung minggu ini ditunda. Sedih.
Ibarat mendapati rombongan lawatan untuk ke suatu tempat indah (seperti dalam dokumentari National Geography) dibatalkan.
Segala peringatan, dan ilmu baru itu menyuburi dan menyegarkan hati yang kusam layu sepanjang tempoh perantaraan satu kelas dengan kelas yang lain.
Pergi ke majlis ilmu ibarat melangkah masuk ke suatu dunia penuh dengan tumbuh-tumbuhan menghijau indah berembun, mengalir pada tanahnya sungai jernih berada di puncak gunung, udaranya nyaman, sejuk. MasyaAllah, bagaimanalah rupa syurga sebenar nanti. Segala yang dibayangkan ini tersangatlah 'low standard' berbanding syurga sebenar nanti!
Di dalam majlis ilmu, disertai oleh orang-orang yang hatinya ingin tahu, ingin belajar tentang agama. Menundukkan keegoan, dan rasa sombong. Menyucikan jiwa dengan mendengar kisah-kisah orang soleh. Dan bersedia membetulkan apa yang salah selama ini telah dilakukan. Malah, ada malaikat yang melebarkan sayap dan mendoakan keampunan dan rahmat kepada ahlinya.
InsyaAllah saya taknak give up ajak dan cuba mempengaruhi kawan-kawan untuk sama-sama join kelas agama. Saya nak kalian juga merasai keindahan dan ketenangan dalamnya. Keindahannya sungguh saya tak mampu ungkapkan.
Saya yakin, pada setiap jiwa itu ada rasa ingin "mencari".. tiada wujudnya pencarian tanpa suatu kehilangan. Pada jiwa kita ada sesuatu yang hilang. Yang dicari oleh orang beriman adalah hikmah. Hikmah itu kita akan jumpa hanya apabila kita temuinya, kita kutipnya, lalu kita tepuk-tepuk dan membersihkan debu keraguan yang ada padanya. Iaitu, dengan curahan ilmu tentangnya pula. Cari.. cari.. dan cari.
Perjalanan pencarian ini tiada titik tamatnya sehingga kita dijemput Pencipta.
---
Saya belum ada sifat "daring" untuk mengajak secara terang-terangan atau lebih aggresif atau aktif. Jadi, platform seperti penulisan di FB, status Whatsapp dan Telegram sahaja fokus pendekatan saya buat masa ini.
Saya ingin mengambil tauladan sifat seorang ulamak, bahawa andai saya ikhlas menyampaikan, insyaAllah akan ada hati-hati yang akan terpaut dan terkesan. Keep on mengingatkan diri bahawa semua yang dilakukan hanya untuk bawa kalian kepada Allah s.w.t. dan bukan kepada diri saya.
"Belum" itu tidak bermakna tidak akan melakukannya, cuma belum tiba lagi masanya. InsyaAllah, petunjuk Allah s.w.t. sentiasa diharapkan. Demi menjaga hati daripada penyakit-penyakit yang akan menyebabkan usaha saya itu sia-sia dan dalam masa yang sama tidak mahu berhenti dalam usaha "dakwah" iaitu sunnah Rasulullah s.a.w. yang paling besar. Tanpa dakwah baginda s.a.w., Islam tidak sampai kepada kita. Islam = sejahtera. Tanpa Islam, hari ini kita tidak sejahtera. Dengan Islam, kita peroleh sejahteraan jiwa.
Saya ingin quote potongan petikan yang saya baca di dalam kitab Syamail Rasulullah s.a.w. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Hanyasanya dibangkitkan akan daku jadi Nabi kerana memberi rahmat akan manusia dan tiada dibangkitkan akan daku kerana melaknat mereka itu"
- walaupun doa Nabi s.a.w. itu makbul, baginda s.a.w. tidak menggunakan kelebihan itu untuk melaknat musuh supaya mereka binasa (dibalas dengan balasan yang buruk).
- sebaliknya, Rasulullah s.a.w. tidak berputus asa untuk menyampaikan rahmat (Islam) kepada sesiapa sahaja tidak kira raja mahupun rakyat marhaen.
MasyaAllah, indahnya akhlak Nabi s.a.w.. Tiada siapa manusia yang lebih indah daripada baginda s.a.w.🤍
Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad.
Wallahu'alam.
~CM~
[20 Zulkaedah 1444H]

Sunday, 12 January 2020

Kenapa Kena Duduk Di Dalam? (011)

Apabila kita pergi ke majlis ilmu, adalah sunnah yang diamalkan oleh para sahabat Rasululullah s.a.w. untuk memenuhkan barisan hadapan, dan duduk rapat-rapat. Semuanya penuh dengan adab. Setujulah seperti yang digalakkan oleh Ustaz Rusydi Ramli di ikimfm bahawa sunnah membuatkan kita genius, kerana apabila diteliti, setiap sunnah itu pasti ada rasionalnya.

Dalam post kali ini, saya rasa tidak salah untuk saya spesifikkan masjid yang saya kutip pengajaran melalui pengalaman saya sendiri supaya lebih mudah digambarkan kepada sesiapa yang pernah atau teringin untuk menjadi sebahagian daripada ahlinya (orang yang beriktikaf di masjid). Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Telah ditakdirkan pada satu dari hari Jumaat pada bulan itu, saya dan rakan bersepakat untuk duduk di luar masjid (ruang solat terbuka) kerana kami gerak ke sana selepas Isyak. Alasan yang kami sepakati adalah bagi menghormati jemaah Isyak yang sedia ada, nak elakkan kecenderungan untuk ke tandas (kerana duduk dalam ada pendingin hawa yang menyejukkan jasad), dan duduk luar pun masih ada skrin dan pembesar suara untuk kita tetap dapat mengikuti pengajian.

Walaubagaimanapun, sejak permulaan pengajian lagi saya sudah terganggu dengan persekitaran di luar. Saya tak dapat dengar dengan fokus dan penghayatan apabila ustaz sedang memberi ceramah, dan saya terpaksa menepis bunyi enjin-enjin kenderaan yang melalui jalan raya betul-betul bersebelahan masjid (memandangkan kedudukan masjid betul-betul berada di corner lot), terlihat gerabak LRT yang melintasi di hadapan masjid, melihat kanak-kanak yang ke hulu ke hilir memegang alat permainan, melihat sebahagian ahli yang bersembang bersama rakan di barisan yang lebih hadapan, dan.. suara oleh pembesar suara yang tidak tajam di luar masjid.

Tidak lama saya bertahan di luar masjid, dengan fatwa hati yang membentak, "awak datang sini nak dapatkan ilmu, kena pastikan dapat betul-betul. Jangan disebabkan gangguan remeh temeh dan pandangan orang, awak sendiri ketinggalan," Jadi, saya memaklumkan kepada rakan saya untuk berpindah ke dalam setelah berjingkit saya menjenguk keadaan di ruang dalam, memastikan ada ruang untuk saya muat duduk. Seorang diri? Tidak mengapa. Ilmu lebih penting, dan duduk dalam masjid pasti berkat dan rahmat itu lebih besar. Itulah yang menggerakkan kaki saya untuk berhijrah ke dalam masjid.

Terletak sahaja punggung saya di atas karpet ruang muslimah di dalam masjid, masyaAllah, amannya rasa! Nak tahu keamanannya datang dari apa?

1. Suara pembesar suara yang sangat jelas, sehingga tenggelam bunyi-bunyi remeh. Membuatkan saya lebih mudah mendengar, fokus, mengahayati dan mencatat hampir setiap isi penting oleh 'alim yang memberi penjelasan.
2. Sejuk yang mententeramkan, dan sekata.
3. Andai kualiti skrin rendah, saya dapat menjenguk direct kepada wajah 'alim yang melontarkan bicaranya, di celah-celah kepala dan susuk tubuh yang duduk lebih hadapan.
4. Tiada gangguan pergerakan melainkan sedikit, iaitu melihat muslimin menunaikan solat, satu dua orang yang melintas dengan menjaga adab, melihat jurukamera melakukan kerjanya dan sedikit yang lain.
5. Suasana yang mengingatkan untuk berselawat apabila terlupa, malah terdorong untuk menambah-nambah selawat. Setiap kali penceramah menyebut nama Nabi s.a.w., akan terdengar orang di sekeliling berselawat. Jadi, misal kata waktu itu kita tak sedar dari mulut penceramah, kita akan sedar semasa orang lain menyambutnya dengan selawat. Kalau tidak, celakalah kita, bila dengar nama Rasululullah s.a.w. kita tidak berselawat.
6. Lebih depan, lebih bagus. Kerana, lebih sedikit pergerakan persekitaran yang berpotensi mengalih perhatian kita daripada penceramah. Susahlah bila perhatian teralih, sebab boleh buat kita lupa apa yang sedang difahamkan sebelum itu. 
7. Lebih rapat, lebih baik. Kalau ingatan saya tidak salah dan sumbernya sahih, apabila kita solat, jika saf tak rapat, ada syaitan yang akan memenuhi ruang itu (tahulah, syaitan pasti ambil peluang membuat kita lalai ketika solat). Ada juga beberapa masjid yang memberi peringatan pada skrin masjid bahawa "kaki yang tidak lurus antara saf, bukanlah kaki yang bermasalah tetapi masalah hati," Dahulu, betapa rapatnya para sahabat duduk ketika Rasulullah s.a.w. menyampaikan dakwah, sehingga daun yang gugur tidak jatuh di atas lantai. Mungkin, zaman kita, kita melihat pada keselesaan, memahukan ruang antara kita dengan orang sebelah duduk dan kita kurang didedahkan tentang sunnah yang diamalkan, yang mampu menggandakan pahala kita. Dan, betapa khusyuknya mereka (para sahabat), sehingga burung-burung berani menghinggapi mereka. Subhanallah. Satu nikmat yang saya juga dapat lihat bila antara satu sama lain mempunyai hati yang ikhlas, ukhuwah dapat terbentuk bila kita duduk lebih rapat. Pada hadis kedua Hadis 40 Imam Nawawi juga, malaikat Jibril berinteraksi dengan Rasulullah s.a.w. dengan kedua-duanya saling merapatkan lutut antara satu sama lain. Begitu dekat, dan sampai ke jiwa. Selebihnya, wallahu'alam.

Cuma, saya sedikit ralat sebab tidak sempat berkenalan dengan seorang ahli majlis ilmu pada malam itu. Kami sempat berinteraksi, dengan memandunya mencari ayat yang sedang dihuraikan tafsirnya oleh ustaz, menggunakan aplikasi di telefon pintarnya. InsyaAllah, Allah Maha Pengasih, tidak mustahil Allah boleh pertemukan kami kembali pada masa akan datang :)

InsyaAllah, mungkin kalau ada rezeki, Allah boleh pertemukan saya dengan anda juga? Jomlah hadir ke Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa pada setiap hari Jumaat malam Sabtu. Majlis Ta'alim biasanya bermula sekitar pukul 9.30 malam sehingga pukul 11 malam. Kalau tak ada kenderaan sendiri, ada bas free GoKL (Turquoise Line) atau LRT (Kelana Jaya Line). Ingat, utamakan duduk di dalam masjid, walaupun terpaksa duduk di barisan belakang. Dan jangan lupa tunaikan Solat Sunat Tahyatul Masjid dan berniat iktikaf sepanjang berada di masjid.

Sekian sahaja.

Catatan,
MimRa.
11-12 Januari 2020.

First Edition: 12/01/2020

Thursday, 2 January 2020

2020 – Kenapa Kena Cari Majlis Ilmu? (009)

“Aik? Zaman dah maju kot, tak payahlaa nak pergi majlis-majlis ilmu ni, orang tua-tua je pergi,”
Lak..lak..lak (tidak…tidak..tidak..) Anda salah!
Dalam satu kuliah yang saya hadiri, ustaz kata, Imam As-Syafi’e, semasa umur beliau masih muda, beliau sudah memakai tongkat. Bukan sebab beliau sakit lutut atau apa, tetapi supaya sentisa beringat akan kematian.

Saya pernah naikkan pada status, memberi peringatan kepada rakan-rakan di fb bahawa tahun ni, tahun 2020, penyakit kedua tertinggi di Malaysia adalah stress atau mental illness. Ya, itu sebenarnya bukan sebab hakiki kenapa kita kena cari dan pergi majlis ilmu, tetapi, itulah isunya. Orang kita sudah terbiasa, apabila ada masalah baru mahu cari solusi (termasuklah saya). Tetapi, sebenarnya menghadiri majlis ilmu ini adalah “persediaan” untuk kita. Allah s.w.t. turunkan al-Quran sebagai manual kehidupan kita. Al-Quran sebagai petunjuk jalan. Sebelum masalah wujud, Allah sudah beri solusi. Jadi, bagaimana kita dapat jumpa solusi atau petunjuk kalau kita tidak cari?

Ada orang kata, “bila kau ada masalah, bukalah al-Quran, nanti kau akan tengok, maksud ayat yang kau baca tu kena je dengan batang hidung kau masa tu,” itu hanya pandangan kita, orang biasa. Ya, itu bagus. Dengan hanya sekadar memandang mashaf al-Quran kita sudah boleh dapat pahala. Baca satu huruf, dapat 10 pahala. Baca lebih, bertambah berkat hidup bukan setakat di akhirat, di dunia ni Allah boleh bagi rasa rahmat-Nya. Cukuplah sikit kita muqaddimah tentang al-Quran, which is, a part of inti daripada majlis-majlis ilmu.

Bila kita cari dan pergi ke majlis ilmu, kita akan dapat:

1. Ketenangan.
Adalah suatu kebiasaan, apabila kita pergi masjid atau surau, kita duduk, kita memandang sekeliling, atas dan bawah, masyaAllah sayu dan tenang sahaja rasa. Akhirnya, segala masalah di rumah, di tempat kerja, dapat kita letak tepi. Sekejap pun jadilah. Fikirlah, surau dan masjid memang tempat yang baik. Lima (5) kali sehari azan dilaungkan. Tidak cukup dengan itu, imam mengimami makmum dengan bacaan-bacaan surah daripada Al-Quran. Tidak cukup dengan itu, khamis malam jumaat ada bacaan Yasin dan tahlil. Tak cukup dengan itu… Allahuakbar, amatlah banyak, tidak tertulis. Dengan dekorasi seni khat yang terukir dan terpasang di dinding-dinding, subhanallah, cantik! Itu mungkin dari segi fizikal. Ketahuilah majlis ilmu adalah satu daripada taman-taman syurga yang dipanggil “raudhah”. Raudhah di mana ramai malaikat turut bersama-sama mendampingi dan mengaminkan doa orang-orang yang bersamanya. Bagaimana boleh tak tenang?

2. Kawan yang baik.
Adakah orang pergi surau atau masjid semata-mata nak mengumpat orang? Adakah orang pergi masjid semata-mata nak mencerca orang? Tidak ada. Adakah orang yang datang ke surau atau masjid semata –mata nak mencuri? Ada… Astaghfirullahal’azim. Moga Allah bagi hidayah kepada orang itu. Ya. Rata-rata orang pergi ke surau atau masjid mestilah untuk mendapatkan manfaat daripada surau atau masjid. Bermaksud, dengan niat yang baik. Paling-paling pun, mungkin dia singgah sebab ingin menumpang tandas. Masih, pergi ke surau dengan berhajat. Inikan pula, kita akan berjumpa dengan makcik-makcik, pakcik-pakcik yang memang selalu berjemaah kat masjid. Orang yang pergi ke masjid sebab ingat yang umurnya sudah tidak panjang (ingatkan mati – sesuatu yang baik). Bertemu dengan kita, beri salam, bersalaman, menanyakan kita datang dari mana. Kalau kita diberi izin oleh Allah jumpa pula dengan orang yang memang ikhlas hatinya ke masjid, masyaAllah, senyumannya, bersih wajahnya, mampu buat hati kita terpaut dan jatuh cinta. Di mana lagi kita boleh jumpa orang yang mengingatkan kita kepada kebaikan, melainkan surau atau masjid tempat yang paling mudah? Atau, di tempat kerja kalian ada? Atau di dalam tren? Atau semasa jem orang di dalam kereta sebelah? Atau di mall? Atau di tempat wayang? Atau di rumah? Hmmm, adakah? “Ada,” then, ucaplah Alhamdulillah, bukan senang nak jumpa di tempat-tempat macam tu, walaupun di rumah kadang-kadang jadi seperti tempat persinggahan sahaja. Sebab, kita banyak meluangkan masa di luar.

3. Petunjuk atau hidayah untuk melakukan kebaikan.
Bila kita menghadiri majlis ilmu, sudah tentu, apabila disebut ilmu, terutamanya ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, pasti kita akan lebih mengenal perkara apa yang patut kita buat, perkara apa yang patut kita tinggalkan, perkara apa yang patut kita perbaiki, perkara apa yang kita cetek ilmu, dan yang penting semuanya adalah perkara yang nak mendapatkan redha Allah. Redha Allah, sesuatu yang paling penting sebagai tiket kita untuk masuk ke syurga. Adakah orang yang masuk syurga tanpa redha Allah? Daripada itu, baru kita sedar apa yang kita buat selama ni salah, ada cacat celanya, perlu perbaiki lagi. Dan yang penting, kita tidak merasakan diri kita ini betul. Bukanlah apa, kadang kita harapkan ilmu yang kita belajar masa di sekolah. Kita ini sudahlah pelupa, boleh pula yang itu yang kita jadikan hujah untuk mengalahkan pendapat orang lain. Mahu harapkan orang tegur secara langsung, kita ini bukanlah memiliki hati yang lembut sangat, kadang itu ego pula, “kau ingat kau baik sangat ke,” Nah, pergilah majlis ilmu, yang duduk bagi ceramah itu ustaz. Kau dengarlah dengan teliti. Kalau ustaz cakap salah, maka itu salah.

4. Solusi hidup.
Ya. Solusi. Kalau kalian belum tahu, agama kita adalah agama yang universal. Semua aspek kehidupan agama kita sudah ada aturannya. Daripada seorang bayi itu lahir, pendidikan keluarga, soal ibadah, pekerjaan, akhlak, hukum fikah, soal hati, aqidah, penawar kepada penyakit (syifa’), pengurusan jenazah, pengurusan, jual beli, tajwid al-Quran, hubungan sesama manusia, bermusafir, dan banyak lagi, semuanya, sudah dibincangkan oleh para ulamak bersandarkan hadis dan Al-Quran. Janganlah kita kecilkan agama itu pada ibadah wajib itu sahaja. “Islam is the way of life” Jadi, ya mungkin tidaklah dapat semuanya dalam sekali jejak ke majlis ilmu. Sudah tentu, majlis-majlis ilmu ini ada jadualnya juga. Ada hari kita datang, dapat ustaz yang ceramah tentang aqidah, ada yang tentang akhlak, tafsir al-Quran, kitab-kitab akhlak, tasawuf (penyucian hati), tajwid dan sebagainya. Pokok pangkalnya, kenalah datang dahulu baru tahu, ya. Sebab ada juga masa surau atau masjid mengadakan ceramah umum, contohnya, sempena awal Muharram, Maulidurrasul, Ramadhan, dan begitulah yang lainnya.

5. Solat berjemaah.
Yup. Saya kagum dengan surau lelaki di tempat kerja saya yang menghidupkan solat berjemaah secara bersambung-sambung. Sayang, tidak dapat diikuti sebab ada tembok yang membatasi surau perempuan. Kalau tidak, mungkin imam rukuk, kita pula yang mendahului sujud (disebabkan miscommunication). Saya yakin majoriti antara kita tahu bahawa solat Jemaah beri kita 27 ganda pahala. Tidak mengapa, jika kita terpaksa masbuk, asalkan kita dapat ikut imam, moga Allah kurniakan pahala itu pada kita. Bukan senang kita nak bina jemaah di tempat lain walaupun di surau tempat kerja. Orang solat nak cepat sahaja sebab nak sambung kerja, cari rezeki halal. Harap-harap tomakninah itu tidak dilanggar, kalau tidak jadilah kita orang yang mencuri dalam solat; begitu juga di rumah. Apabila kita dapat mengikuti solat Jemaah, selepas itu ada wirid ringkas, selesai sahaja doa kita bersalaman dengan orang kanan dan kiri kita. Itulah ukhuwah pula. Subhanallah. Lepastu, semasa di surau dan masjid, kita akan nampak orang yang buat solat sunat lepas solat berjemaah. Kita akan tertanya-tanya solat apa itu dan terpanggil untuk cuba buat juga. Itu kan pahala. Manakala di masjid, jangan lupa, sampai sahaja di masjid, sebelum duduk, laksanakan dahulu solat sunat tahyatul masjid, lepastu niat iktikaf di masjid, supaya nak dapatkan lebih pahala.

6. Mendampingi orang ‘alim.
Bila kita pergi majlis ilmu, baru kita boleh mengenali ustaz-ustazah. Ustaz-ustazah pun boleh mengenali kita. Kita mengenali orang yang kita boleh tanya dan rujuk. Bukan hanya mengharapkan Mr. Google yang tidak tahu kesahihannya atau sekadar tanya kawan, yang sama sahaja seperti kita, sama-sama tak tahu. Cukupkah persepakatan antara kawan sahaja? Sedangkan ulamak lebih berhak menjelaskan kepada kita. Ulamak waris anbiya’. Tidak dapat bertemu ulamak yang sebenar, dapat ustaz-ustazah biasa pun memadai. Mereka belajar agama untuk disampaikan kepada kita. Mereka belajar daripada guru dan ulamak juga. Melainkan, orang itu mendapat gelaran ustaz-ustazah hanya melalui program televisyen semata-mata sahaja. Yang penting, bukan apa, kita harap-harapkan juga, orang biasa macam kita dapat layak untuk bersama dengan orang soleh di syurga nanti. Lebih-lebih lagi, jika dapat bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad.

7. Pahala bermujahadah.
Bukan senang kan, nak jejakkan kaki ke masjid? Pergi ke surau atau masjid adalah perkara yang tidak dapat dibangga-banggakan, melainkan orang itu ada niat memang mahu riak, na’uzubillah. Sesuatu yang kita tak nampak hasilnya dengan mata (tetapi, dapat dirasi dengan hati bila cuba ikhlas). Bukan senang, balik kerja perlu bersiap-siap untuk ke surau atau masjid semata-mata. Sebab kita ada sifat malas, dan menganggap perkara lain lebih penting. Sebab tu kita panggil mujahadah. Kita perlu melawan nafsu dan kemalasan kita untuk tetap pergi ke surau atau masjid. Saya ada memegang satu ayat, “Jika kita bersusah payah mencari ilmu, Allah akan mudahkan jalan kita ke syurga,” InsyaAllah. Dan sudah tentu, mujahadah memang payah! Tetapi, dengan keyakinan akan bantuan Allah dan pandangan Allah terhadap hambanya yang bermujahadah, InsyaAllah kita akan merasai kemanisannya.

Walaubagaimanapun, terdapat juga alasan untuk ke majlis ilmu, seperti:

1. Sibuk
2. Penceramah tidak menarik
3. Malu
4. Orang surau atau masjid tidak mesra
5. Mudah mengantuk atau bosan mendengar ceramah

Kesimpulannya, sebab-sebab mengapa kita perlu mencari majlis ilmu sudahpun saya sampaikan pada pandangan saya, selebihnya, tindakan seterusnya terletak pada diri anda juga peringatan buat diri sendiri. Ingat, kita perlu melakukan persediaan untuk tidak menjadi mangsa stress yang ekstrim. Ada orang melihat ilmu sebagai beban, kerana tiada tempat untuk disalurkan. Tetapi, jika kita fahami bahawa agama adalah jalan hidup, ia adalah sesuatu yang praktikal dan objektif. Segala amalan ada tujuannya dan tidak sia-sia. Dan apalah nilai amalan itu jika dilakukan tanpa ilmu?

Sekian sahaja. Wabillahitaufiq wal hidayah.

Catatan,
MimRa.
2 Januari 2020.

*Minta maaf sebab terpaksa postpone tajuk “Lelaki Sejati – Solusi” kepada post yang lain.

First Edition: 02/01/2020

Bezanya sambutan Maal Hijrah dengan Tahun Baru Masihi (131)

Alhamdulillah. Telah masuknya tahun baharu Hijrah, 1448 Hijrah.  Alhamdulillah, dikurniakan pinjaman nyawa yang merupakan keluasan kesempata...