Sunday, 12 January 2020

Kenapa Kena Duduk Di Dalam? (011)

Apabila kita pergi ke majlis ilmu, adalah sunnah yang diamalkan oleh para sahabat Rasululullah s.a.w. untuk memenuhkan barisan hadapan, dan duduk rapat-rapat. Semuanya penuh dengan adab. Setujulah seperti yang digalakkan oleh Ustaz Rusydi Ramli di ikimfm bahawa sunnah membuatkan kita genius, kerana apabila diteliti, setiap sunnah itu pasti ada rasionalnya.

Dalam post kali ini, saya rasa tidak salah untuk saya spesifikkan masjid yang saya kutip pengajaran melalui pengalaman saya sendiri supaya lebih mudah digambarkan kepada sesiapa yang pernah atau teringin untuk menjadi sebahagian daripada ahlinya (orang yang beriktikaf di masjid). Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Telah ditakdirkan pada satu dari hari Jumaat pada bulan itu, saya dan rakan bersepakat untuk duduk di luar masjid (ruang solat terbuka) kerana kami gerak ke sana selepas Isyak. Alasan yang kami sepakati adalah bagi menghormati jemaah Isyak yang sedia ada, nak elakkan kecenderungan untuk ke tandas (kerana duduk dalam ada pendingin hawa yang menyejukkan jasad), dan duduk luar pun masih ada skrin dan pembesar suara untuk kita tetap dapat mengikuti pengajian.

Walaubagaimanapun, sejak permulaan pengajian lagi saya sudah terganggu dengan persekitaran di luar. Saya tak dapat dengar dengan fokus dan penghayatan apabila ustaz sedang memberi ceramah, dan saya terpaksa menepis bunyi enjin-enjin kenderaan yang melalui jalan raya betul-betul bersebelahan masjid (memandangkan kedudukan masjid betul-betul berada di corner lot), terlihat gerabak LRT yang melintasi di hadapan masjid, melihat kanak-kanak yang ke hulu ke hilir memegang alat permainan, melihat sebahagian ahli yang bersembang bersama rakan di barisan yang lebih hadapan, dan.. suara oleh pembesar suara yang tidak tajam di luar masjid.

Tidak lama saya bertahan di luar masjid, dengan fatwa hati yang membentak, "awak datang sini nak dapatkan ilmu, kena pastikan dapat betul-betul. Jangan disebabkan gangguan remeh temeh dan pandangan orang, awak sendiri ketinggalan," Jadi, saya memaklumkan kepada rakan saya untuk berpindah ke dalam setelah berjingkit saya menjenguk keadaan di ruang dalam, memastikan ada ruang untuk saya muat duduk. Seorang diri? Tidak mengapa. Ilmu lebih penting, dan duduk dalam masjid pasti berkat dan rahmat itu lebih besar. Itulah yang menggerakkan kaki saya untuk berhijrah ke dalam masjid.

Terletak sahaja punggung saya di atas karpet ruang muslimah di dalam masjid, masyaAllah, amannya rasa! Nak tahu keamanannya datang dari apa?

1. Suara pembesar suara yang sangat jelas, sehingga tenggelam bunyi-bunyi remeh. Membuatkan saya lebih mudah mendengar, fokus, mengahayati dan mencatat hampir setiap isi penting oleh 'alim yang memberi penjelasan.
2. Sejuk yang mententeramkan, dan sekata.
3. Andai kualiti skrin rendah, saya dapat menjenguk direct kepada wajah 'alim yang melontarkan bicaranya, di celah-celah kepala dan susuk tubuh yang duduk lebih hadapan.
4. Tiada gangguan pergerakan melainkan sedikit, iaitu melihat muslimin menunaikan solat, satu dua orang yang melintas dengan menjaga adab, melihat jurukamera melakukan kerjanya dan sedikit yang lain.
5. Suasana yang mengingatkan untuk berselawat apabila terlupa, malah terdorong untuk menambah-nambah selawat. Setiap kali penceramah menyebut nama Nabi s.a.w., akan terdengar orang di sekeliling berselawat. Jadi, misal kata waktu itu kita tak sedar dari mulut penceramah, kita akan sedar semasa orang lain menyambutnya dengan selawat. Kalau tidak, celakalah kita, bila dengar nama Rasululullah s.a.w. kita tidak berselawat.
6. Lebih depan, lebih bagus. Kerana, lebih sedikit pergerakan persekitaran yang berpotensi mengalih perhatian kita daripada penceramah. Susahlah bila perhatian teralih, sebab boleh buat kita lupa apa yang sedang difahamkan sebelum itu. 
7. Lebih rapat, lebih baik. Kalau ingatan saya tidak salah dan sumbernya sahih, apabila kita solat, jika saf tak rapat, ada syaitan yang akan memenuhi ruang itu (tahulah, syaitan pasti ambil peluang membuat kita lalai ketika solat). Ada juga beberapa masjid yang memberi peringatan pada skrin masjid bahawa "kaki yang tidak lurus antara saf, bukanlah kaki yang bermasalah tetapi masalah hati," Dahulu, betapa rapatnya para sahabat duduk ketika Rasulullah s.a.w. menyampaikan dakwah, sehingga daun yang gugur tidak jatuh di atas lantai. Mungkin, zaman kita, kita melihat pada keselesaan, memahukan ruang antara kita dengan orang sebelah duduk dan kita kurang didedahkan tentang sunnah yang diamalkan, yang mampu menggandakan pahala kita. Dan, betapa khusyuknya mereka (para sahabat), sehingga burung-burung berani menghinggapi mereka. Subhanallah. Satu nikmat yang saya juga dapat lihat bila antara satu sama lain mempunyai hati yang ikhlas, ukhuwah dapat terbentuk bila kita duduk lebih rapat. Pada hadis kedua Hadis 40 Imam Nawawi juga, malaikat Jibril berinteraksi dengan Rasulullah s.a.w. dengan kedua-duanya saling merapatkan lutut antara satu sama lain. Begitu dekat, dan sampai ke jiwa. Selebihnya, wallahu'alam.

Cuma, saya sedikit ralat sebab tidak sempat berkenalan dengan seorang ahli majlis ilmu pada malam itu. Kami sempat berinteraksi, dengan memandunya mencari ayat yang sedang dihuraikan tafsirnya oleh ustaz, menggunakan aplikasi di telefon pintarnya. InsyaAllah, Allah Maha Pengasih, tidak mustahil Allah boleh pertemukan kami kembali pada masa akan datang :)

InsyaAllah, mungkin kalau ada rezeki, Allah boleh pertemukan saya dengan anda juga? Jomlah hadir ke Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa pada setiap hari Jumaat malam Sabtu. Majlis Ta'alim biasanya bermula sekitar pukul 9.30 malam sehingga pukul 11 malam. Kalau tak ada kenderaan sendiri, ada bas free GoKL (Turquoise Line) atau LRT (Kelana Jaya Line). Ingat, utamakan duduk di dalam masjid, walaupun terpaksa duduk di barisan belakang. Dan jangan lupa tunaikan Solat Sunat Tahyatul Masjid dan berniat iktikaf sepanjang berada di masjid.

Sekian sahaja.

Catatan,
MimRa.
11-12 Januari 2020.

First Edition: 12/01/2020

Thursday, 9 January 2020

Review Buku: Kenal, Dekat, Akhirnya Jatuh Cinta Pada Al-Quran (010)

(Hana Hanifah, 2019)

Ulasan kali ini bagi saya agak mencabar kerana mungkin jangkaan saya terhadap buku ini terlalu tinggi. Secara ringkas, saya lihat susunan tajuk di dalam buku ini ada alirannya. Cuma, ia agak menguji kesabaran saya untuk mencari isi penting dalam kebanyakan huraian subtopik. Saya berpandangan bahawa buku ini adalah hasil sudut pandang dan penulisan seorang yang bergelar pelajar untuk mengekspresikan penekanannya kepada pembaca untuk dekat dengan al-Quran kerana huraian yang digunakan kebanyakannya terlalu umum atau rawak, dan berulang-ulang untuk beberapa isi yang sepatutnya berbeza. Bagi beberapa tajuk besar, saya seakan-akan kehausan kerana terlalu sukar menjumpai sesuatu untuk dikutip sebagai perkara baru atau cuci otak. Disebabkan gaya huraian yang mendatar, saya terpaksa membaca secara ‘skimming’ (‘fast reading’) di mana saya akan lompat beberapa ayat atau memotong dari satu ayat ke ayat-ayat yang berikutnya.

Selain itu, saya merasakan penulis agak terburu-buru untuk menghasilkan buku ini (minta maaf). Mungkin kerana sumber yang digunakan tidak pelbagai untuk menghasilkan buku ini supaya betul-betul padat. Sebagai contoh, penulis kurang menyelitkan kisah-kisah orang soleh daripada kitab-kitab yang boleh memberi inspirasi atau dorongan yang kuat, ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang lebih terperinci untuk menyokong satu-satu isi (atau sebagai bukti), untuk memberi gambaran atau pengaplikasian yang lebih jelas, dan yang seangkatan.

Walaubagaimanapun, saya kagum dan menyokong usaha penulis dalam menghasilkan buku ini. Lebih-lebih lagi, apabila saya ulang baca kata pendahuluan daripada penulis yang berhasrat agar tidak dapat banyak, sedikitpun memadai agar manfaat daripada bukunya dapat mengalir kepada pembacanya. Sudah tentu, Alhamdulillah, terdapat juga beberapa isi yang bagi saya penulis berjaya menghuraikannya dengan luar biasa atau mantap atau membuka minda saya. Antaranya:

1. Menghafaz al-Quran dengan cara mengaktifkan seluruh pancaindera yang ada pada diri kita.
2. Solat mengajar kita akan keteraturan (tertib) dan disiplin – mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
3. Bila kita dekat dengan al-Quran, selalu bersama denganya (membacanya) maka, sebaliknya, al-Quranlah yang akan menjaga kita.
4. Al-Quran mengajar untuk jujur. Kejujuran yang diterapkan dalam kehidupan sangat memberi kesan kepada keturunan (keluarga), generasi (masyrakat), dan keberkatan (diri sendiri) dalam hidup ini - Huraian paling mantap oleh penulis, walaupun panjang lebar. Penulis berjaya menyentuh segenap segi. Daripada seremeh-remeh tidak jujur semasa kecil boleh menghasilkan manusia yang khianat semasa dewasanya.
5. “Akhlak yang baik tidak ada hubung kait dengan kewajipan” – orang selalu memberi alasan si fulan itu solat tapi buruk juga akhlaknya, atau, orang yang tidak solat itu perangainya lebih baik. Sebaliknya, kewajipan tetap kewajipan yang tidak sepatutnya dipertikaikan. Manakala, akhlak itu hasil daripada tindakan diri sendiri.

Secara rumusan, buku ini memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berstrategi dalam menyusun penulisan agar ianya sampai ke hati pembaca. Pembaca yang bosan berisiko untuk meninggalkan penulisan yang kita tulis seandainya tidak mampu menangkap jiwanya atau tidak memberi solusi kepada apa yang dicarinya, diingininya, dan dijangkanya. Selain itu, sebagai penulis juga perlu memudahkan pembaca terhadap isi-isi penting, perlu pastikan ia jelas, dan unik (berbeza dengan isi yang lain). Saya ingin memohon maaf seandainya ulasan kali ini agak negatif, tetapi saya tetap menulisnya supaya dapat memberi pengajaran atau ‘check and balance’ untuk masa akan datang. InsyaAllah.

Mula baca – 18 Disember 2019
Tamat baca – 9 Januari 2020

Catatan,
MimRa.
9 Januari 2020.

*Sepanjang memikirkan ulasan buku ini, perkara yang merisaukan saya adalah apabila mengingati bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tidak menyukai rasa sesuatu makanan (makanan tidak sedap), baginda s.a.w. mengajar untuk diam berbanding menceritakan kepada para sahabat (jangan mempengaruhi orang lain untuk membencinya). Begitu juga apabila menikmati hidangan berbentuk bacaan. Moga Allah ampunkan dosa kita semua.

First Edition: 09/01/2020

Thursday, 2 January 2020

2020 – Kenapa Kena Cari Majlis Ilmu? (009)

“Aik? Zaman dah maju kot, tak payahlaa nak pergi majlis-majlis ilmu ni, orang tua-tua je pergi,”
Lak..lak..lak (tidak…tidak..tidak..) Anda salah!
Dalam satu kuliah yang saya hadiri, ustaz kata, Imam As-Syafi’e, semasa umur beliau masih muda, beliau sudah memakai tongkat. Bukan sebab beliau sakit lutut atau apa, tetapi supaya sentisa beringat akan kematian.

Saya pernah naikkan pada status, memberi peringatan kepada rakan-rakan di fb bahawa tahun ni, tahun 2020, penyakit kedua tertinggi di Malaysia adalah stress atau mental illness. Ya, itu sebenarnya bukan sebab hakiki kenapa kita kena cari dan pergi majlis ilmu, tetapi, itulah isunya. Orang kita sudah terbiasa, apabila ada masalah baru mahu cari solusi (termasuklah saya). Tetapi, sebenarnya menghadiri majlis ilmu ini adalah “persediaan” untuk kita. Allah s.w.t. turunkan al-Quran sebagai manual kehidupan kita. Al-Quran sebagai petunjuk jalan. Sebelum masalah wujud, Allah sudah beri solusi. Jadi, bagaimana kita dapat jumpa solusi atau petunjuk kalau kita tidak cari?

Ada orang kata, “bila kau ada masalah, bukalah al-Quran, nanti kau akan tengok, maksud ayat yang kau baca tu kena je dengan batang hidung kau masa tu,” itu hanya pandangan kita, orang biasa. Ya, itu bagus. Dengan hanya sekadar memandang mashaf al-Quran kita sudah boleh dapat pahala. Baca satu huruf, dapat 10 pahala. Baca lebih, bertambah berkat hidup bukan setakat di akhirat, di dunia ni Allah boleh bagi rasa rahmat-Nya. Cukuplah sikit kita muqaddimah tentang al-Quran, which is, a part of inti daripada majlis-majlis ilmu.

Bila kita cari dan pergi ke majlis ilmu, kita akan dapat:

1. Ketenangan.
Adalah suatu kebiasaan, apabila kita pergi masjid atau surau, kita duduk, kita memandang sekeliling, atas dan bawah, masyaAllah sayu dan tenang sahaja rasa. Akhirnya, segala masalah di rumah, di tempat kerja, dapat kita letak tepi. Sekejap pun jadilah. Fikirlah, surau dan masjid memang tempat yang baik. Lima (5) kali sehari azan dilaungkan. Tidak cukup dengan itu, imam mengimami makmum dengan bacaan-bacaan surah daripada Al-Quran. Tidak cukup dengan itu, khamis malam jumaat ada bacaan Yasin dan tahlil. Tak cukup dengan itu… Allahuakbar, amatlah banyak, tidak tertulis. Dengan dekorasi seni khat yang terukir dan terpasang di dinding-dinding, subhanallah, cantik! Itu mungkin dari segi fizikal. Ketahuilah majlis ilmu adalah satu daripada taman-taman syurga yang dipanggil “raudhah”. Raudhah di mana ramai malaikat turut bersama-sama mendampingi dan mengaminkan doa orang-orang yang bersamanya. Bagaimana boleh tak tenang?

2. Kawan yang baik.
Adakah orang pergi surau atau masjid semata-mata nak mengumpat orang? Adakah orang pergi masjid semata-mata nak mencerca orang? Tidak ada. Adakah orang yang datang ke surau atau masjid semata –mata nak mencuri? Ada… Astaghfirullahal’azim. Moga Allah bagi hidayah kepada orang itu. Ya. Rata-rata orang pergi ke surau atau masjid mestilah untuk mendapatkan manfaat daripada surau atau masjid. Bermaksud, dengan niat yang baik. Paling-paling pun, mungkin dia singgah sebab ingin menumpang tandas. Masih, pergi ke surau dengan berhajat. Inikan pula, kita akan berjumpa dengan makcik-makcik, pakcik-pakcik yang memang selalu berjemaah kat masjid. Orang yang pergi ke masjid sebab ingat yang umurnya sudah tidak panjang (ingatkan mati – sesuatu yang baik). Bertemu dengan kita, beri salam, bersalaman, menanyakan kita datang dari mana. Kalau kita diberi izin oleh Allah jumpa pula dengan orang yang memang ikhlas hatinya ke masjid, masyaAllah, senyumannya, bersih wajahnya, mampu buat hati kita terpaut dan jatuh cinta. Di mana lagi kita boleh jumpa orang yang mengingatkan kita kepada kebaikan, melainkan surau atau masjid tempat yang paling mudah? Atau, di tempat kerja kalian ada? Atau di dalam tren? Atau semasa jem orang di dalam kereta sebelah? Atau di mall? Atau di tempat wayang? Atau di rumah? Hmmm, adakah? “Ada,” then, ucaplah Alhamdulillah, bukan senang nak jumpa di tempat-tempat macam tu, walaupun di rumah kadang-kadang jadi seperti tempat persinggahan sahaja. Sebab, kita banyak meluangkan masa di luar.

3. Petunjuk atau hidayah untuk melakukan kebaikan.
Bila kita menghadiri majlis ilmu, sudah tentu, apabila disebut ilmu, terutamanya ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, pasti kita akan lebih mengenal perkara apa yang patut kita buat, perkara apa yang patut kita tinggalkan, perkara apa yang patut kita perbaiki, perkara apa yang kita cetek ilmu, dan yang penting semuanya adalah perkara yang nak mendapatkan redha Allah. Redha Allah, sesuatu yang paling penting sebagai tiket kita untuk masuk ke syurga. Adakah orang yang masuk syurga tanpa redha Allah? Daripada itu, baru kita sedar apa yang kita buat selama ni salah, ada cacat celanya, perlu perbaiki lagi. Dan yang penting, kita tidak merasakan diri kita ini betul. Bukanlah apa, kadang kita harapkan ilmu yang kita belajar masa di sekolah. Kita ini sudahlah pelupa, boleh pula yang itu yang kita jadikan hujah untuk mengalahkan pendapat orang lain. Mahu harapkan orang tegur secara langsung, kita ini bukanlah memiliki hati yang lembut sangat, kadang itu ego pula, “kau ingat kau baik sangat ke,” Nah, pergilah majlis ilmu, yang duduk bagi ceramah itu ustaz. Kau dengarlah dengan teliti. Kalau ustaz cakap salah, maka itu salah.

4. Solusi hidup.
Ya. Solusi. Kalau kalian belum tahu, agama kita adalah agama yang universal. Semua aspek kehidupan agama kita sudah ada aturannya. Daripada seorang bayi itu lahir, pendidikan keluarga, soal ibadah, pekerjaan, akhlak, hukum fikah, soal hati, aqidah, penawar kepada penyakit (syifa’), pengurusan jenazah, pengurusan, jual beli, tajwid al-Quran, hubungan sesama manusia, bermusafir, dan banyak lagi, semuanya, sudah dibincangkan oleh para ulamak bersandarkan hadis dan Al-Quran. Janganlah kita kecilkan agama itu pada ibadah wajib itu sahaja. “Islam is the way of life” Jadi, ya mungkin tidaklah dapat semuanya dalam sekali jejak ke majlis ilmu. Sudah tentu, majlis-majlis ilmu ini ada jadualnya juga. Ada hari kita datang, dapat ustaz yang ceramah tentang aqidah, ada yang tentang akhlak, tafsir al-Quran, kitab-kitab akhlak, tasawuf (penyucian hati), tajwid dan sebagainya. Pokok pangkalnya, kenalah datang dahulu baru tahu, ya. Sebab ada juga masa surau atau masjid mengadakan ceramah umum, contohnya, sempena awal Muharram, Maulidurrasul, Ramadhan, dan begitulah yang lainnya.

5. Solat berjemaah.
Yup. Saya kagum dengan surau lelaki di tempat kerja saya yang menghidupkan solat berjemaah secara bersambung-sambung. Sayang, tidak dapat diikuti sebab ada tembok yang membatasi surau perempuan. Kalau tidak, mungkin imam rukuk, kita pula yang mendahului sujud (disebabkan miscommunication). Saya yakin majoriti antara kita tahu bahawa solat Jemaah beri kita 27 ganda pahala. Tidak mengapa, jika kita terpaksa masbuk, asalkan kita dapat ikut imam, moga Allah kurniakan pahala itu pada kita. Bukan senang kita nak bina jemaah di tempat lain walaupun di surau tempat kerja. Orang solat nak cepat sahaja sebab nak sambung kerja, cari rezeki halal. Harap-harap tomakninah itu tidak dilanggar, kalau tidak jadilah kita orang yang mencuri dalam solat; begitu juga di rumah. Apabila kita dapat mengikuti solat Jemaah, selepas itu ada wirid ringkas, selesai sahaja doa kita bersalaman dengan orang kanan dan kiri kita. Itulah ukhuwah pula. Subhanallah. Lepastu, semasa di surau dan masjid, kita akan nampak orang yang buat solat sunat lepas solat berjemaah. Kita akan tertanya-tanya solat apa itu dan terpanggil untuk cuba buat juga. Itu kan pahala. Manakala di masjid, jangan lupa, sampai sahaja di masjid, sebelum duduk, laksanakan dahulu solat sunat tahyatul masjid, lepastu niat iktikaf di masjid, supaya nak dapatkan lebih pahala.

6. Mendampingi orang ‘alim.
Bila kita pergi majlis ilmu, baru kita boleh mengenali ustaz-ustazah. Ustaz-ustazah pun boleh mengenali kita. Kita mengenali orang yang kita boleh tanya dan rujuk. Bukan hanya mengharapkan Mr. Google yang tidak tahu kesahihannya atau sekadar tanya kawan, yang sama sahaja seperti kita, sama-sama tak tahu. Cukupkah persepakatan antara kawan sahaja? Sedangkan ulamak lebih berhak menjelaskan kepada kita. Ulamak waris anbiya’. Tidak dapat bertemu ulamak yang sebenar, dapat ustaz-ustazah biasa pun memadai. Mereka belajar agama untuk disampaikan kepada kita. Mereka belajar daripada guru dan ulamak juga. Melainkan, orang itu mendapat gelaran ustaz-ustazah hanya melalui program televisyen semata-mata sahaja. Yang penting, bukan apa, kita harap-harapkan juga, orang biasa macam kita dapat layak untuk bersama dengan orang soleh di syurga nanti. Lebih-lebih lagi, jika dapat bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad.

7. Pahala bermujahadah.
Bukan senang kan, nak jejakkan kaki ke masjid? Pergi ke surau atau masjid adalah perkara yang tidak dapat dibangga-banggakan, melainkan orang itu ada niat memang mahu riak, na’uzubillah. Sesuatu yang kita tak nampak hasilnya dengan mata (tetapi, dapat dirasi dengan hati bila cuba ikhlas). Bukan senang, balik kerja perlu bersiap-siap untuk ke surau atau masjid semata-mata. Sebab kita ada sifat malas, dan menganggap perkara lain lebih penting. Sebab tu kita panggil mujahadah. Kita perlu melawan nafsu dan kemalasan kita untuk tetap pergi ke surau atau masjid. Saya ada memegang satu ayat, “Jika kita bersusah payah mencari ilmu, Allah akan mudahkan jalan kita ke syurga,” InsyaAllah. Dan sudah tentu, mujahadah memang payah! Tetapi, dengan keyakinan akan bantuan Allah dan pandangan Allah terhadap hambanya yang bermujahadah, InsyaAllah kita akan merasai kemanisannya.

Walaubagaimanapun, terdapat juga alasan untuk ke majlis ilmu, seperti:

1. Sibuk
2. Penceramah tidak menarik
3. Malu
4. Orang surau atau masjid tidak mesra
5. Mudah mengantuk atau bosan mendengar ceramah

Kesimpulannya, sebab-sebab mengapa kita perlu mencari majlis ilmu sudahpun saya sampaikan pada pandangan saya, selebihnya, tindakan seterusnya terletak pada diri anda juga peringatan buat diri sendiri. Ingat, kita perlu melakukan persediaan untuk tidak menjadi mangsa stress yang ekstrim. Ada orang melihat ilmu sebagai beban, kerana tiada tempat untuk disalurkan. Tetapi, jika kita fahami bahawa agama adalah jalan hidup, ia adalah sesuatu yang praktikal dan objektif. Segala amalan ada tujuannya dan tidak sia-sia. Dan apalah nilai amalan itu jika dilakukan tanpa ilmu?

Sekian sahaja. Wabillahitaufiq wal hidayah.

Catatan,
MimRa.
2 Januari 2020.

*Minta maaf sebab terpaksa postpone tajuk “Lelaki Sejati – Solusi” kepada post yang lain.

First Edition: 02/01/2020

Monday, 30 December 2019

Lelaki Sejati - Masalah (008)

Penghujung tahun 2019 ini, mata, telinga, mulut dan fikiran saya terlalu kerap memproses situasi-situasi yang diwujudkan oleh kaum lelaki. Apa sebenarnya terjadi? Bingung. Adakah harapan di sebalik kerisauan? Wahai kaum lelaki, adakah kalian sedar yang kami kaum wanita, banyak risaukan gejala sosial yang ditimbulkan oleh sebahagian daripada kalian, yang membuatkan sebahagian kami dihancur luluhkan hati? Bukankah anda pemimpin kami?

Sejauh mana pengetahuan dan kesedaran kalian tentang perkara-perkara di bawah ini?:

P1. Transgender.
P2. Gay, biseksual, B2B, & penonton setia video lucah.
P3. Lepaskan tanggungjawab sebagai suami.
P4. Curang.
P5. Meminta sedekah, gelandangan. 

Mari kita renung satu per satu. P1. Mungkin ada sesetengah orang anggap perkara ni macam lucu, macam serius dan ada anggap perkara ni perkara biasa. Pada saya, saya mula risau bila melihat transgender lelaki lebih menjadi-jadi ibarat cendawan tumbuh selepas hujan melebihi transgender perempuan. Terma kasar yang digunakan masyarakat adalah “pondan”. Nak dibandingkan dengan jumlah perempuan yang “pengkid”, saya lihat golongan “nyah” ini lebih bermaharajalela. Mungkin inilah dikatakan kekuatan yang disalah gunakan. Golongan pondan mempunyai satu aura dan kesatuan yang tersendiri. Mereka mampu bangkit menyokong antara satu sama lain. Pantang dipandang rendah, mahu di-soundnya! Memang sesuailah dengan sifat fitrah lelaki; berkuasa, bertenaga. Namun, sedih. Kekuatan itu disalahgunakan, disalah erti. Pada mereka, mereka sudah tidak ada naluri lelaki. Bukankah naluri perempuan itu penuh dengan sifat ‘lemah’ lembut, penyayang, mudah merajuk (sensitif)? Transgender itu bukannya naluri, itu lakonan anda, itu tipu daya dunia sahaja! Adakah anda jenis mudah ditipu?

P2. Allahuakbar. Luluh hati, andai saya ada anak, anak saya cenderung (melakukan hubungan) kepada jantinanya sendiri (gay). Ya, mungkin saya tak kaji apa pula punca kepada gejala P2 ini. Selain pada kecederungan pada perbuatan seksual itu sendiri. Saya tidak tahu apa yang difikirkan oleh seorang lelaki untuk berhubungan dengan rakan sejenisnya sendiri, melainkan jawapannya akan berputar-putar kepada kegagalan menahan syahwat. Ketahuilah, jika anda lemah pada menahan syahwat, nasihat saya, berpuasalah. Buktikanlah anda lelaki yang kuat, kuat untuk berpuasa! Perbanyakkanlah berpuasa, dengan niat agar Allah beri kekuatan melawan apa-apa jenis syahwat tak kiralah kita ini lelaki atau perempuan. Saya percaya, setiap orang zaman sekarang ini mempunyai rahsia syahwatnya tersendiri, yang ya sudah tentu, tak perlu pun dikongsi dengan orang lain, kerana ianya aib. Zaman kita, hidangan yang mengundang syahwat bersepah-sepah, percuma, dan tak perlukan sentuhan pun. Sebab itu semua orang berpotensi melakukannya, walaupun seorang diri. Na’uzubillah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat, lagi Maha Mengetahui. Dan ketahuilah azab Allah amatlah pedih! Tahukah anda, perbuatan seksual yang songsang menjemput pelbagai penyakit kepada diri anda sendiri. Sudah tentulah, penyakit yang mengaibkan diri sendiri, terutamanya bila mati, bila orang lain nak kena uruskan jenazah kita. Tidak cukup dengan diri anda sendiri yang menaggung akibatnya, mungkin anda atau orang yang biseksual yang mempunyai isteri akan turut memudaratkan isteri yang tidak bersalah. Bertaubatlah, Allah Maha Pengampun dan Maha Memberi Petunjuk.

P3. Bila sebut tentang tanggungjawab, for sure, perkara yang terlintas di kepala majoriti kita adalah nafkah. Saya pernah berbincang dengan seorang kawan, dia berkongsi rumusan pada pandangannya bahawa, “Satu-satu rumahtangga itu mempunyai risiko untuk retak hanya kerana pendapatan isteri lebih tinggi daripada pendapatan suami,” Cuba kita fikir, ramai sahaja yang kita dengan lelaki yang menginginkan isteri yang lebih berduit daripadanya. Agak-agak sebab apa? Supaya poket dia tak kering ke? Yah, itu sekadar andaian. Berbalik kepada konsep nafkah. Seorang suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, tidak kiralah pada awal perkahwinan, isteri bersetuju untuk membantu. “Membantu” itu tak bermakna anda boleh duduk dalam zon selesa, tak bermakna tanggungjawab anda sudah terlepas. Itu persetujuan antara anda dengan isteri. Anda sedar tak, persetujuan antara suami isteri tak melepaskan tanggungjawab anda pada Tuhan? Menunaikan nafkah tetap wajib antara anda dengan Allah. Samalah seperti tanggungjawab untuk berbakti kepada kedua ibu bapa. Bukan sebab mak ayah kita telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan, hatta, kita tetap wajib berbakti kepada ibu yang telah membuang kita, yang tak mengakui kita anaknya sedangkan kita memang darah dagingnya. Semuanya sebab itu suruhan Allah, dan bila gagal melaksanakannya, sesunggunnya Allah Maha Mengira. Sedarlah, seorang isteri mungkin pada awal dia bersetuju, namun, dia juga punyai keinginan untuk punyai kehidupan yang lebih baik. Bila isteri pada awal bersetuju untuk meringankan beban anda, anda patut jadikannya sebagai cabaran untuk membalasnya kembali semampu yang boleh. Anda lelaki kot, takkan nak tengok bini je tanggung anda, walaupun hanya anda dengan dia je tahu! Ini boleh jadi punca ok. Lama-kelamaan, isteri boleh je rasa terbeban, kerana mungkin wishlistnya tak dapat ditunaikan disebabkan terpaksa berkorban. Fikirlah sumbangan isteri, dan hargailah. Ucaplah terima kasih, minta maaf sebab belum mampu beri yang sempurna. InsyaAllah itu cukup melegakan hati isteri. Anda kan terer bagi ayat manis, tapi, bukan untuk niat lain ya! Niat untuk menghargai, bukan membodek, dan untuk kepentingan diri.

P4. Seriuslaa. Hanya wanita yang menghadapinya sahajalah yang mengetahui bagaimana hancur luluh hati saat hubungan mesra yang dijalinkan oleh si suami itu sampai pada pengetahuannya. Membayangkannya sahaja sudah mampu memberi kesan kepada jiwa, “wujud lagi ke lelaki yang baik dan setia kat dunia ni,” (ini ayat fevered gegirl single zaman sekarang). “Alah, perempuan pun teks dengan lelaki gak, bermesra belakang lelaki dia gak,” So? Apa peranan anda sebagai suami? Bila isteri buat salah, anda juga salah kalau anda salahkan isteri tanpa melihat salah sendiri. Peranan suami itu mendidik. Bila isteri buat salah, ajar dia, slow talk, jangan terus menghukum. Didikan itu perlu dari awal sejak akad nikah dilafazkan. Sebab itu proses akad nikah mengambil masa yang lama. Ada sesi penyerahan tanggungjawab bapa, dan secara langsung tanggungjawab itu dipindahkan ke bahu anda. Bukankah bapanya telah menjaga dan mendidiknya, dan memberi kepercayaan kepada anda untuk mengambil alih semua tugasnya itu. Itulah. Sesi akad nikah bukannya setakat untuk dirakam jadi kenangan. Itu bukti dan janji! Study dulu sebelum nikah tu. Study tentang ilmu rumahtangga tak cukup dengan menghadiri kursus kahwin setakat sehari dua itu sahaja. Eh, macam salah huraian pulak. Patutnya point curang lelaki yang buat. Di manakah kesetiaan? Nak kata mungkin punca lelaki cari lain mungkin sebab tak ada anak lepas dah kahwin beberapa tahun. Tapi, tak jugak. Ramai je yang dah beranak pinak pun buat hal. Astaghfirullahal’azim. Di manalah sakinah, mawaddah warahmah yang sepatutnya dibina oleh kedua-dua pasangan? Again, malulah pada Tuhan bila anda curang. Anda bukannya bujang lagi, yang tak ada amanah untuk dijaga di rumah.

P5. Sebenarnya perkara ini saya tahu mungkin tak sesuai pun untuk target reader saya. Sebab saya ada keyakinan tinggi yang reader saya tidak tergolong dalam golongan ini, sebab, tak mungkin mampu miliki telefon bimbit, melanggan data untuk membaca di fb ini. Tapi, sekadar untuk renungan. Kita lihat kepada punca, kita tak boleh jamin yang kita mungkin bakal diuji dengan kegagalan dalam hidup. Harapannya, moga andai kita gagal suatu hari nanti, kita takkan jatuh sebegitu rupa. Ramai saya lihat gelandangan dan peminta sedekah ni juga daripada kalangan lelaki. Sedih, bila dilihat anggota tubuh. Masih sempurna. Ya, mungkin ada yang ditarik nikmat tangan dan kakinya, tapi, ramai sahaja OKU yang mempunyai kehidupan seperti orang biasa. Mungkin faktor didikan juga. Kadang, orang yang memang dari awal lahir sebagai gelandangan, mereka tak punyai sumber pendidikan dan motivasi untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong itu.

Alhamdulillah. Panjang lagi penulisan kali ni. Entah siapalah yang baca sampai habis, haha. Tapi, takpa. Apa yang terbuku dihati sudah dipindahkan dalam bentuk penulisan, tujuannya bukan menghidupkan api, tetapi, setakat menyediakan modal untuk membeli kayu api sama ada untuk bakar BBQ atau bakar rumah sendiri (anda yang memilihnya).

InsyaAllah saya akan sambung solusi pada penulisan mendatang, “Lelaki Sejati – Solusi” (009) sebagai penutup penulisan bagi tahun ini. Tinggal satu malam sahaja lagi, gulp!

Catatan, 
MimRa.
30 Disember 2019.

First Edition: 31/12/2019

Saturday, 28 December 2019

Antara Dakwah & Menjaga Persekitaran – Cabaran 2020 (007)

Tahun depan, tahun 2020, kemuncak bagi segala wawasan negara. Tahun penilaian segala aspek pembangunan, adakah mencapai matlamat ataupun masih banyak perlu diubah itu ini. Ya, dunia makin mencabar. Setiap peringkat itu mencabar. Individu, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. 

Seseorang itu, dia akan melalui zaman di mana dia dijaga oleh kedua ibu bapanya. Kemudian, dia melangkah ke alam universiti. Kemudian, setelah selamat menamatkan pembelajaran, maka, “kehidupan sebenar” akan mula ditempuh, iaitu alam pekerjaan, di mana, dia mungkin terpaksa berhijrah dari desa ke kota, membawa diri demi mencari rezeki yang halal. Siapa boleh kata setiap fasa ni tiada cabarannya? Hebatnya kamu!

Bagi sesiapa yang sedar bahawa dakwah itu suatu kewajipan, dia mungkin akan melalui pelbagai dilema dalam setiap keputusan yang dia ingin lakukan dalam kehidupan seharian. Ya, tak semestinya dia tu orang yang baik sangat, ya, dia tetap pendosa, tapi, dia cuba untuk menunaikan suruhan Allah dan nabi s.a.w.. 

“Dakwah” – Merangkumi perbuatan mengajak orang lain kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, menunjukkan akhlak Islam sebenar sehingga mampu menarik orang lain untuk mengikuti cara hidup Islam sebenar, walaupun sekecil-kecil perkara (kerana sekecil-kecil perkara itu ada nilaiannya di sisi Allah).
“Persekitaran” – Persekitaran di sini merujuk kepada “bi’ah solehah”, iaitu persekitaran Islami, yang dapat mengekalkan kita dalam kebaikan dan mengelakkan kita daripada dosa/maksiat. Boleh jadi didapati daripada keluarga, kawan-kawan yang digauli, persatuan, dan juga tempat yang dijejaki seperti masjid/surau.

Bila seseorang sudah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, percayalah majoriti kita takkan dapat bawa kawan-kawan, sahabat-sahabat seperjuangan yang mempunyai pemikiran dan perjuangan yang sama semasa sebelum dia mendapat kerja. Bermakna, dia perlu berjuang seorang diri. Kemudian, dia akan disibukkan dengan kerja sehingga masa yang diluangkan bersama bi’ah solehah itu mungkin terpaksa diketepikan atas faktor yang lebih mendesak. Jadi, apabila bi’ah solehah ini terpaksa diketepikan, apa yang akan mengambil alih? Tentunya, kawan-kawan di tempat kerja dan juga persekitaran yang wujud di tempat kerja. Minimum seminggu lima hari bekerja kita akan didampingi oleh orang yang sama-sama bekerja dengan kita. Asalnya, sabtu ahad menjadi masa untuk diluangkan bersama keluarga, namun, disebabkan projek di tempat kerja, dua hari itu juga terpaksa dikorbankan dan diganti pula dengan masa bekerja lebih masa. Jadi, masa bila kita nak sempatkan diri untuk “stay on track” dengan bi’ah solehah itu? Bi’ah solehah bagi saya memang tak wajib. Ada orang tak pernah dengar pun bi’ah solehah itu apa dia. Yang wajibnya adalah untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Bi’ah solehah ini cuma salah satu jalan mudah untuk kita mendapat taqwa. 

Itu baru sikit tentang bi’ah solehah. Bagaimana pula dengan dakwah? Sedangkan nak mendapatkan persekitaran yang baik itu sukar, inikan pula dakwah. Dan dakwah juga wajib. Macamana ni? Kiranya macam ni lah; dakwah itu adalah “internal force” (kita yang perlu bertindak) manakala bi’ah solehah itu adalah “external force” (faktor luar yang mempengaruhi kita). Kalau tak dapat duduk dalam bi’ah solehah, mampu ke kita nak buat dakwah? Nah, itulah kaitannya. 

Persoalannya hari ni, kita mungkin takkan dapat dua (dakwah & bi’ah solehah) dalam satu masa. Kita terpaksa memilih. Ok, adakah dakwah yang kamu pilih? Maka, persekitaran yang kamu dapat adalah pesekitaran yang sebaliknya. Ok, yang kedua, adakah bi’ah solehah yang kamu pilih? Maka, dakwah mungkin tak tersebar (terutamanya, mengajak kepada kebaikan & mencegah kemungkaran). Mana yang lebih utama?

Apabila dakwah yang dipilih, maka, bermakna kita memilih untuk menempuhi jalan yang berduri. Yang perlu diiringi dengan sabar, jihad melawan nafsu, jihad menepis ajakan yang boleh membawa kita kepada lalai daripada mengingati Allah, dan melihat seolah-olah dunia ini lebih penting daripada akhirat. Mana taknya, seronok kan bila kita dapat rasa nikmat dunia? Dapat kawan yang syok, enjoy, kelakar. Lepastu, dapat pergi sana sini, buat aktiviti itu ini. Kita biasa dengar/guna, “Masa muda ni lah masa nak seronok-seronok,” Tertanggal dah label “aku kena dakwah” daripada diri kepada “aku kena enjoy”. Solat pun akhir-akhir waktu je. “eh kenapa, masih solat kan?” (adakah ini jawapan kita pada Allah?). Mampu ke kita kekalkan momentum untuk jadi orang bertaqwa? (Faghfirlana) Inilah cabaran sebenar. Dan biasanya, bila terpaksa memilih untuk tidak menyertai, kita mungkin berpotensi untuk dipulau, dilable sebagi “tidak bergaul”, tidak mesra dan kita sendiri tidak akan dapat lihat itulah cabaran umat zaman ini (yang perlu kita bendung), kita rasa kita selamat sedangkan kita sedang mengenepikan usaha dakwah.

Apabila bi’ah solehah yang kita pilih, bermakna kita dalam zon selesa. Kita akan kurang mendepani maksiat mata, telinga dan lidah yang memerlukan kita melakukan dakwah. Kita mungkin akan mampu tersenyum sebab tak rasa ada dosa yang kita sedang buat malah rasa pahala berganda sebab tak ada masalah nak solat pada waktu, nak mengaji, nak berzikir dan lain-lain. Itu secara zahir lah. Cabarannya adalah apabila bi’ah solehah ini terpaksa digabung dengan persekitaran yang umum. Mungkin saya akan sentuh dalam penulisan yang lain.

*Penulisan saya di atas adalah pandangan saya secara individu semata-mata, yang berhak ditegur akan kesalahannya dan perlu ditambah apa yang kurang.

Sekian sahaja. Saya sangat mengalu-alukan nasihat yang boleh dimanfaatkan. Semoga anda dikurniakan kebaikan sebanyak-banyaknya!

Catatan,
MimRa.
28 Disember 2019.

First Edition: 28/12/2019

Wednesday, 25 December 2019

Review Novel “Opera Di Gontor” (006)

Karya Amroeh Adiwijaya (2011). PTS Litera.

“Gontor” merupakan sebuah pondok moden masyhur di Indonesia. Buku ini mengisahkan kehidupan penulis sepanjang enam tahun menuntut ilmu di Pondok Gontor sejak beliau berusia 11 tahun, berpisah dengan keluarga. Secara umum, isi buku ini sangat menarik kerana memberi pendedahan kepada masyarakat yang tidak mengenali sistem pendidikan pondok “moden” yang penuh disiplin dan jadual harian yang disusun rapi dan padat. Novel ini boleh membuka mata masyarakat tentang konsep moden yang diterapkan ke dalam institusi pondok yang biasanya dikenali sebagai sekolah yang mundur dan tidak seimbang. Di akhir novel ini, penulis membuktikan bahawa beliau mampu menjadi orang berjaya hasil keringat yang dikorbankan semasa di Gontor.

Pelbagai pengalaman lucu yang dihimpun oleh penulis sama ada bagaimana beliau berfikir mahupun tindakan yang dibuat olehnya apabila menghadapi situasi-situasi tertentu. Walaupun dikatakan pelajar pondok, tidak bermakna beliau tidak membuat kesalahan dan tidak nakal. Kesalahan yang dilakukannya pasti dihukum, apabila diketahui oleh guru. Dan hukuman itu pasti memalukan! Dan ada juga yang beliau berjaya meloloskan diri tanpa pengetahuan sesiapa. Selain itu, memandangkan Pondok Gontor sangat jauh dari kampung halaman penulis, tidak terkecuali beliau menzahirkan rasa rindu yang merobek kepada keluarga saat tidak dapat pulang dalam tempoh yang lama. 

Dalam pada itu, disebabkan kepayahan dan kedisiplinan tinggal di pondok ini, tidak semua pelajar berjaya ke tahun akhir. Ada juga yang sempat menduduki peperiksaan akhir, namun, disebabkan hal yang decetuskannya, dia dipecat oleh pimpinan dan pengurus Pondok Moden Gontor tanpa kompromi. Kerana apa? Kerana perempuan.

Penulis juga sempat meyelitkan kisah sejarah dan politik Indonesia (yang mana saya kurang hadam kerana mungkin atas faktor negara berbeza) dan tidak kurangnya perkara yang menyentuh perihal agama. Antaranya, konsep uzlah, kisah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, buat baik tak semestinya dibalas baik, bagaimana penulis mendidik diri menerima keadaan dan dugaan seadanya tanpa teman, peranan guru-guru dalam mendidik dengan penuh disiplin dan sebagainya.

Kesimpulannya, novel ini memberi motivasi untuk seorang yang bergelar pelajar untuk menuntut ilmu, yang rata-ratanya penuh dengan kepayahan dan kecekalan untuk tetap dalam niat yang asal, kerana agama dan kerana Tuhan. Dengan mengingati harapan yang diberikan oleh ibu bapa dan keluarga yang mengorbankan jarak untuk berkasih sayang supaya menjadi insan berguna, seseorang itu tidak akan sampai hati untuk mengecewakan mereka dan akan terus berjuang. Dalam perjuangan menuntut ilmu, kadang seseorang itu perlu berdiri sendiri, tanpa pembela atau teman di sisi.

Sekian sahaja.

Mula baca – 18 Oktober 2019
Tamat – 18 Disember 2019 (25 Disember 2019)
Alhamdulillah!

Catatan,
MimRa.
25 Disember 2019.

First Edition: 25/12/2019

Sunday, 22 December 2019

Cara Kita Bermuamalah (005)

Antara anda, siapa yang kerja dia kena jumpa dengan orang awam? Setiap hari ada orang akan berjumpa dengan anda, dan anda perlu berinteraksi dengan mereka. Ya, kita sama.
Jadi, penulisan kali ini saya ingin bincangkan satu isu, iaitu "cara kita bermuamalah" dengan manusia.

Pada hujung minggu lepas, alhamdulillah saya diberi izin oleh Allah untuk menziarahi satu keluarga yang dikategorikan sebagai "miskin bandar" di Kuala Lumpur. Pelbagai cerita duka (survival) yang dikongsi olehnya. Termasuklah pernah menjadi orang (keluarga) gelandangan selama 2 minggu. Satu perjumpaan yang membuatkan saya sedar bahawa selama ini, saya banyak pandang orang lain sebelah mata sahaja dan memandang rendah kepada golongan yang miskin, mungkin dengan mengatakan bahawa mereka ini tidak berusaha, malas, tak ada masa depan, menyusahkan dan lain-lain.

Semasa pertemuan itu, saya tersentap, apabila dia menjawab soalan saya tentang mengapa dia tidak membawa anaknya untuk checkup bulanan/tahunan (imunisasi) di klinik kesihatan. Selain sebab kos rawatan yang tinggi (kerana anaknya memiliki sijil kelahiran berwarna merah) dia juga meluahkan bahawa layanan yang diberikan adalah agak kasar. Sebagai contoh, apabila dia tidak hadir pada tarikh temu janji, dia dimarahi (tinggi suara) oleh jururawat yang in-charge, sedangkan dia tidak hadir kerana betul-betul tidak mampu (contoh sekali imunisasi boleh mencecah lebih 100 ringgit), kerana jika pendapatan yang dia dapat sehari adalah RM40, duit itu jugalah digunakan untuk membayar sewa bilik dan belanja anak (seramai 4 orang - umur sekolah rendah ke bawah) dan dikait-kaitkannya dengan status kewarganegaraan. Saya terasa dan dapat faham situasi itu sebab saya bekerja dalam jabatan kesihatan juga, jadi, perkara ini begitu dekat dengan pekerjaan saya.

Nak dijadikan cerita, pada malam sebelum ziarah itu, saya sempat didengarkan kuliah ustaz, kitab Minhajul Abidin oleh Imam al-Ghazali. Tajuk pada malam itu adalah tawakkal. Ustaz ada bagi contoh perbandingan antara layanan yang baik dan buruk oleh doktor yang merawat pesakit warga emas. Geli hati juga bila ustaz buat intonasi seakan-akan situasi sebenar ditambah dengan suara makcik-makcik surau yang turut tertawa mengiyakan beliau. Ada yang melayan endah tak endah, äda yang bagi ugutan (nak takutkan pesakit) contohnya "ha, biarlah nanti mati (sebab tak mahu makan ubat ikut yang doktor suruh)," Dan, ada juga layanan baik, contohnya, bila pesakit masuk bilik doktor, doktor yang memberi salam terlebih dahulu dan melakukan pemeriksaan dengan lemah lembut dan berbudi bahasa. Kalau dapat layanan baik sebegitu, kata ustaz, "tak payah makan ubat dah sembuh," Hehehe. Dan, contoh ini mempunyai kaitannya dengan konsep tawakkal dalam mencari rezeki.

Pengajarannya di sini, cuba kita ingat balik cara kita melayan orang, terutamanya orang awam yang memerlukan perkhidmatan atau bantuan daripada kita. Ya. Pelanggan kita terdiri daripada bermacam ragam perangai. Kita kena tundukkan sikit ego dan emosi kita, dan cuba empati (meletakkan diri kita pada situasi orang lain). Dan, kalau ikutkan ilmu sabar, ustaz kata, dalam agama tak ada mana-mana sumber yang mengatakan sabar itu ada had. Memang kita pula yang kena fikirkan cara yang hikmah untuk defend diri kita. Cuba kita ingatkan pada hati bahawa setiap orang awam yang jumpa dengan kita itu berhajat. Dan orang yang dapat memudahkan hajat orang lain ada pahala di sisi Allah.

Kalau kita rasa sifat kita memang macam ni bila bercakap dengan orang, mungkin kita boleh cuba ubah perlahan-lahan. Kalau kita rasa orang tak nampak, Allah dengan malaikat nampak. Kalau kita rasa orang lain sama sahaja akan layan kita buruk jugak, kita kena fikir baliklah apa yang kita mahukan, pandangan manusia atau pandangan Tuhan? Dan, adakah kita bekerja untuk dunia sahaja?

Sekian sahaja.

Catatan, 
MimRa.
23 Disember 2019

First Edition: 23/12/2019

Bezanya sambutan Maal Hijrah dengan Tahun Baru Masihi (131)

Alhamdulillah. Telah masuknya tahun baharu Hijrah, 1448 Hijrah.  Alhamdulillah, dikurniakan pinjaman nyawa yang merupakan keluasan kesempata...