(Hana Hanifah, 2019)
Ulasan kali ini bagi saya agak mencabar kerana mungkin jangkaan saya terhadap buku ini terlalu tinggi. Secara ringkas, saya lihat susunan tajuk di dalam buku ini ada alirannya. Cuma, ia agak menguji kesabaran saya untuk mencari isi penting dalam kebanyakan huraian subtopik. Saya berpandangan bahawa buku ini adalah hasil sudut pandang dan penulisan seorang yang bergelar pelajar untuk mengekspresikan penekanannya kepada pembaca untuk dekat dengan al-Quran kerana huraian yang digunakan kebanyakannya terlalu umum atau rawak, dan berulang-ulang untuk beberapa isi yang sepatutnya berbeza. Bagi beberapa tajuk besar, saya seakan-akan kehausan kerana terlalu sukar menjumpai sesuatu untuk dikutip sebagai perkara baru atau cuci otak. Disebabkan gaya huraian yang mendatar, saya terpaksa membaca secara ‘skimming’ (‘fast reading’) di mana saya akan lompat beberapa ayat atau memotong dari satu ayat ke ayat-ayat yang berikutnya.
Selain itu, saya merasakan penulis agak terburu-buru untuk menghasilkan buku ini (minta maaf). Mungkin kerana sumber yang digunakan tidak pelbagai untuk menghasilkan buku ini supaya betul-betul padat. Sebagai contoh, penulis kurang menyelitkan kisah-kisah orang soleh daripada kitab-kitab yang boleh memberi inspirasi atau dorongan yang kuat, ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang lebih terperinci untuk menyokong satu-satu isi (atau sebagai bukti), untuk memberi gambaran atau pengaplikasian yang lebih jelas, dan yang seangkatan.
Walaubagaimanapun, saya kagum dan menyokong usaha penulis dalam menghasilkan buku ini. Lebih-lebih lagi, apabila saya ulang baca kata pendahuluan daripada penulis yang berhasrat agar tidak dapat banyak, sedikitpun memadai agar manfaat daripada bukunya dapat mengalir kepada pembacanya. Sudah tentu, Alhamdulillah, terdapat juga beberapa isi yang bagi saya penulis berjaya menghuraikannya dengan luar biasa atau mantap atau membuka minda saya. Antaranya:
1. Menghafaz al-Quran dengan cara mengaktifkan seluruh pancaindera yang ada pada diri kita.
2. Solat mengajar kita akan keteraturan (tertib) dan disiplin – mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
3. Bila kita dekat dengan al-Quran, selalu bersama denganya (membacanya) maka, sebaliknya, al-Quranlah yang akan menjaga kita.
4. Al-Quran mengajar untuk jujur. Kejujuran yang diterapkan dalam kehidupan sangat memberi kesan kepada keturunan (keluarga), generasi (masyrakat), dan keberkatan (diri sendiri) dalam hidup ini - Huraian paling mantap oleh penulis, walaupun panjang lebar. Penulis berjaya menyentuh segenap segi. Daripada seremeh-remeh tidak jujur semasa kecil boleh menghasilkan manusia yang khianat semasa dewasanya.
5. “Akhlak yang baik tidak ada hubung kait dengan kewajipan” – orang selalu memberi alasan si fulan itu solat tapi buruk juga akhlaknya, atau, orang yang tidak solat itu perangainya lebih baik. Sebaliknya, kewajipan tetap kewajipan yang tidak sepatutnya dipertikaikan. Manakala, akhlak itu hasil daripada tindakan diri sendiri.
Secara rumusan, buku ini memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berstrategi dalam menyusun penulisan agar ianya sampai ke hati pembaca. Pembaca yang bosan berisiko untuk meninggalkan penulisan yang kita tulis seandainya tidak mampu menangkap jiwanya atau tidak memberi solusi kepada apa yang dicarinya, diingininya, dan dijangkanya. Selain itu, sebagai penulis juga perlu memudahkan pembaca terhadap isi-isi penting, perlu pastikan ia jelas, dan unik (berbeza dengan isi yang lain). Saya ingin memohon maaf seandainya ulasan kali ini agak negatif, tetapi saya tetap menulisnya supaya dapat memberi pengajaran atau ‘check and balance’ untuk masa akan datang. InsyaAllah.
Mula baca – 18 Disember 2019
Tamat baca – 9 Januari 2020
Catatan,
MimRa.
9 Januari 2020.
*Sepanjang memikirkan ulasan buku ini, perkara yang merisaukan saya adalah apabila mengingati bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tidak menyukai rasa sesuatu makanan (makanan tidak sedap), baginda s.a.w. mengajar untuk diam berbanding menceritakan kepada para sahabat (jangan mempengaruhi orang lain untuk membencinya). Begitu juga apabila menikmati hidangan berbentuk bacaan. Moga Allah ampunkan dosa kita semua.
First Edition: 09/01/2020
No comments:
Post a Comment