Thursday, 2 January 2020

2020 – Kenapa Kena Cari Majlis Ilmu? (009)

“Aik? Zaman dah maju kot, tak payahlaa nak pergi majlis-majlis ilmu ni, orang tua-tua je pergi,”
Lak..lak..lak (tidak…tidak..tidak..) Anda salah!
Dalam satu kuliah yang saya hadiri, ustaz kata, Imam As-Syafi’e, semasa umur beliau masih muda, beliau sudah memakai tongkat. Bukan sebab beliau sakit lutut atau apa, tetapi supaya sentisa beringat akan kematian.

Saya pernah naikkan pada status, memberi peringatan kepada rakan-rakan di fb bahawa tahun ni, tahun 2020, penyakit kedua tertinggi di Malaysia adalah stress atau mental illness. Ya, itu sebenarnya bukan sebab hakiki kenapa kita kena cari dan pergi majlis ilmu, tetapi, itulah isunya. Orang kita sudah terbiasa, apabila ada masalah baru mahu cari solusi (termasuklah saya). Tetapi, sebenarnya menghadiri majlis ilmu ini adalah “persediaan” untuk kita. Allah s.w.t. turunkan al-Quran sebagai manual kehidupan kita. Al-Quran sebagai petunjuk jalan. Sebelum masalah wujud, Allah sudah beri solusi. Jadi, bagaimana kita dapat jumpa solusi atau petunjuk kalau kita tidak cari?

Ada orang kata, “bila kau ada masalah, bukalah al-Quran, nanti kau akan tengok, maksud ayat yang kau baca tu kena je dengan batang hidung kau masa tu,” itu hanya pandangan kita, orang biasa. Ya, itu bagus. Dengan hanya sekadar memandang mashaf al-Quran kita sudah boleh dapat pahala. Baca satu huruf, dapat 10 pahala. Baca lebih, bertambah berkat hidup bukan setakat di akhirat, di dunia ni Allah boleh bagi rasa rahmat-Nya. Cukuplah sikit kita muqaddimah tentang al-Quran, which is, a part of inti daripada majlis-majlis ilmu.

Bila kita cari dan pergi ke majlis ilmu, kita akan dapat:

1. Ketenangan.
Adalah suatu kebiasaan, apabila kita pergi masjid atau surau, kita duduk, kita memandang sekeliling, atas dan bawah, masyaAllah sayu dan tenang sahaja rasa. Akhirnya, segala masalah di rumah, di tempat kerja, dapat kita letak tepi. Sekejap pun jadilah. Fikirlah, surau dan masjid memang tempat yang baik. Lima (5) kali sehari azan dilaungkan. Tidak cukup dengan itu, imam mengimami makmum dengan bacaan-bacaan surah daripada Al-Quran. Tidak cukup dengan itu, khamis malam jumaat ada bacaan Yasin dan tahlil. Tak cukup dengan itu… Allahuakbar, amatlah banyak, tidak tertulis. Dengan dekorasi seni khat yang terukir dan terpasang di dinding-dinding, subhanallah, cantik! Itu mungkin dari segi fizikal. Ketahuilah majlis ilmu adalah satu daripada taman-taman syurga yang dipanggil “raudhah”. Raudhah di mana ramai malaikat turut bersama-sama mendampingi dan mengaminkan doa orang-orang yang bersamanya. Bagaimana boleh tak tenang?

2. Kawan yang baik.
Adakah orang pergi surau atau masjid semata-mata nak mengumpat orang? Adakah orang pergi masjid semata-mata nak mencerca orang? Tidak ada. Adakah orang yang datang ke surau atau masjid semata –mata nak mencuri? Ada… Astaghfirullahal’azim. Moga Allah bagi hidayah kepada orang itu. Ya. Rata-rata orang pergi ke surau atau masjid mestilah untuk mendapatkan manfaat daripada surau atau masjid. Bermaksud, dengan niat yang baik. Paling-paling pun, mungkin dia singgah sebab ingin menumpang tandas. Masih, pergi ke surau dengan berhajat. Inikan pula, kita akan berjumpa dengan makcik-makcik, pakcik-pakcik yang memang selalu berjemaah kat masjid. Orang yang pergi ke masjid sebab ingat yang umurnya sudah tidak panjang (ingatkan mati – sesuatu yang baik). Bertemu dengan kita, beri salam, bersalaman, menanyakan kita datang dari mana. Kalau kita diberi izin oleh Allah jumpa pula dengan orang yang memang ikhlas hatinya ke masjid, masyaAllah, senyumannya, bersih wajahnya, mampu buat hati kita terpaut dan jatuh cinta. Di mana lagi kita boleh jumpa orang yang mengingatkan kita kepada kebaikan, melainkan surau atau masjid tempat yang paling mudah? Atau, di tempat kerja kalian ada? Atau di dalam tren? Atau semasa jem orang di dalam kereta sebelah? Atau di mall? Atau di tempat wayang? Atau di rumah? Hmmm, adakah? “Ada,” then, ucaplah Alhamdulillah, bukan senang nak jumpa di tempat-tempat macam tu, walaupun di rumah kadang-kadang jadi seperti tempat persinggahan sahaja. Sebab, kita banyak meluangkan masa di luar.

3. Petunjuk atau hidayah untuk melakukan kebaikan.
Bila kita menghadiri majlis ilmu, sudah tentu, apabila disebut ilmu, terutamanya ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, pasti kita akan lebih mengenal perkara apa yang patut kita buat, perkara apa yang patut kita tinggalkan, perkara apa yang patut kita perbaiki, perkara apa yang kita cetek ilmu, dan yang penting semuanya adalah perkara yang nak mendapatkan redha Allah. Redha Allah, sesuatu yang paling penting sebagai tiket kita untuk masuk ke syurga. Adakah orang yang masuk syurga tanpa redha Allah? Daripada itu, baru kita sedar apa yang kita buat selama ni salah, ada cacat celanya, perlu perbaiki lagi. Dan yang penting, kita tidak merasakan diri kita ini betul. Bukanlah apa, kadang kita harapkan ilmu yang kita belajar masa di sekolah. Kita ini sudahlah pelupa, boleh pula yang itu yang kita jadikan hujah untuk mengalahkan pendapat orang lain. Mahu harapkan orang tegur secara langsung, kita ini bukanlah memiliki hati yang lembut sangat, kadang itu ego pula, “kau ingat kau baik sangat ke,” Nah, pergilah majlis ilmu, yang duduk bagi ceramah itu ustaz. Kau dengarlah dengan teliti. Kalau ustaz cakap salah, maka itu salah.

4. Solusi hidup.
Ya. Solusi. Kalau kalian belum tahu, agama kita adalah agama yang universal. Semua aspek kehidupan agama kita sudah ada aturannya. Daripada seorang bayi itu lahir, pendidikan keluarga, soal ibadah, pekerjaan, akhlak, hukum fikah, soal hati, aqidah, penawar kepada penyakit (syifa’), pengurusan jenazah, pengurusan, jual beli, tajwid al-Quran, hubungan sesama manusia, bermusafir, dan banyak lagi, semuanya, sudah dibincangkan oleh para ulamak bersandarkan hadis dan Al-Quran. Janganlah kita kecilkan agama itu pada ibadah wajib itu sahaja. “Islam is the way of life” Jadi, ya mungkin tidaklah dapat semuanya dalam sekali jejak ke majlis ilmu. Sudah tentu, majlis-majlis ilmu ini ada jadualnya juga. Ada hari kita datang, dapat ustaz yang ceramah tentang aqidah, ada yang tentang akhlak, tafsir al-Quran, kitab-kitab akhlak, tasawuf (penyucian hati), tajwid dan sebagainya. Pokok pangkalnya, kenalah datang dahulu baru tahu, ya. Sebab ada juga masa surau atau masjid mengadakan ceramah umum, contohnya, sempena awal Muharram, Maulidurrasul, Ramadhan, dan begitulah yang lainnya.

5. Solat berjemaah.
Yup. Saya kagum dengan surau lelaki di tempat kerja saya yang menghidupkan solat berjemaah secara bersambung-sambung. Sayang, tidak dapat diikuti sebab ada tembok yang membatasi surau perempuan. Kalau tidak, mungkin imam rukuk, kita pula yang mendahului sujud (disebabkan miscommunication). Saya yakin majoriti antara kita tahu bahawa solat Jemaah beri kita 27 ganda pahala. Tidak mengapa, jika kita terpaksa masbuk, asalkan kita dapat ikut imam, moga Allah kurniakan pahala itu pada kita. Bukan senang kita nak bina jemaah di tempat lain walaupun di surau tempat kerja. Orang solat nak cepat sahaja sebab nak sambung kerja, cari rezeki halal. Harap-harap tomakninah itu tidak dilanggar, kalau tidak jadilah kita orang yang mencuri dalam solat; begitu juga di rumah. Apabila kita dapat mengikuti solat Jemaah, selepas itu ada wirid ringkas, selesai sahaja doa kita bersalaman dengan orang kanan dan kiri kita. Itulah ukhuwah pula. Subhanallah. Lepastu, semasa di surau dan masjid, kita akan nampak orang yang buat solat sunat lepas solat berjemaah. Kita akan tertanya-tanya solat apa itu dan terpanggil untuk cuba buat juga. Itu kan pahala. Manakala di masjid, jangan lupa, sampai sahaja di masjid, sebelum duduk, laksanakan dahulu solat sunat tahyatul masjid, lepastu niat iktikaf di masjid, supaya nak dapatkan lebih pahala.

6. Mendampingi orang ‘alim.
Bila kita pergi majlis ilmu, baru kita boleh mengenali ustaz-ustazah. Ustaz-ustazah pun boleh mengenali kita. Kita mengenali orang yang kita boleh tanya dan rujuk. Bukan hanya mengharapkan Mr. Google yang tidak tahu kesahihannya atau sekadar tanya kawan, yang sama sahaja seperti kita, sama-sama tak tahu. Cukupkah persepakatan antara kawan sahaja? Sedangkan ulamak lebih berhak menjelaskan kepada kita. Ulamak waris anbiya’. Tidak dapat bertemu ulamak yang sebenar, dapat ustaz-ustazah biasa pun memadai. Mereka belajar agama untuk disampaikan kepada kita. Mereka belajar daripada guru dan ulamak juga. Melainkan, orang itu mendapat gelaran ustaz-ustazah hanya melalui program televisyen semata-mata sahaja. Yang penting, bukan apa, kita harap-harapkan juga, orang biasa macam kita dapat layak untuk bersama dengan orang soleh di syurga nanti. Lebih-lebih lagi, jika dapat bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad.

7. Pahala bermujahadah.
Bukan senang kan, nak jejakkan kaki ke masjid? Pergi ke surau atau masjid adalah perkara yang tidak dapat dibangga-banggakan, melainkan orang itu ada niat memang mahu riak, na’uzubillah. Sesuatu yang kita tak nampak hasilnya dengan mata (tetapi, dapat dirasi dengan hati bila cuba ikhlas). Bukan senang, balik kerja perlu bersiap-siap untuk ke surau atau masjid semata-mata. Sebab kita ada sifat malas, dan menganggap perkara lain lebih penting. Sebab tu kita panggil mujahadah. Kita perlu melawan nafsu dan kemalasan kita untuk tetap pergi ke surau atau masjid. Saya ada memegang satu ayat, “Jika kita bersusah payah mencari ilmu, Allah akan mudahkan jalan kita ke syurga,” InsyaAllah. Dan sudah tentu, mujahadah memang payah! Tetapi, dengan keyakinan akan bantuan Allah dan pandangan Allah terhadap hambanya yang bermujahadah, InsyaAllah kita akan merasai kemanisannya.

Walaubagaimanapun, terdapat juga alasan untuk ke majlis ilmu, seperti:

1. Sibuk
2. Penceramah tidak menarik
3. Malu
4. Orang surau atau masjid tidak mesra
5. Mudah mengantuk atau bosan mendengar ceramah

Kesimpulannya, sebab-sebab mengapa kita perlu mencari majlis ilmu sudahpun saya sampaikan pada pandangan saya, selebihnya, tindakan seterusnya terletak pada diri anda juga peringatan buat diri sendiri. Ingat, kita perlu melakukan persediaan untuk tidak menjadi mangsa stress yang ekstrim. Ada orang melihat ilmu sebagai beban, kerana tiada tempat untuk disalurkan. Tetapi, jika kita fahami bahawa agama adalah jalan hidup, ia adalah sesuatu yang praktikal dan objektif. Segala amalan ada tujuannya dan tidak sia-sia. Dan apalah nilai amalan itu jika dilakukan tanpa ilmu?

Sekian sahaja. Wabillahitaufiq wal hidayah.

Catatan,
MimRa.
2 Januari 2020.

*Minta maaf sebab terpaksa postpone tajuk “Lelaki Sejati – Solusi” kepada post yang lain.

First Edition: 02/01/2020

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...