Sunday, 12 January 2020

Kenapa Kena Duduk Di Dalam? (011)

Apabila kita pergi ke majlis ilmu, adalah sunnah yang diamalkan oleh para sahabat Rasululullah s.a.w. untuk memenuhkan barisan hadapan, dan duduk rapat-rapat. Semuanya penuh dengan adab. Setujulah seperti yang digalakkan oleh Ustaz Rusydi Ramli di ikimfm bahawa sunnah membuatkan kita genius, kerana apabila diteliti, setiap sunnah itu pasti ada rasionalnya.

Dalam post kali ini, saya rasa tidak salah untuk saya spesifikkan masjid yang saya kutip pengajaran melalui pengalaman saya sendiri supaya lebih mudah digambarkan kepada sesiapa yang pernah atau teringin untuk menjadi sebahagian daripada ahlinya (orang yang beriktikaf di masjid). Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Telah ditakdirkan pada satu dari hari Jumaat pada bulan itu, saya dan rakan bersepakat untuk duduk di luar masjid (ruang solat terbuka) kerana kami gerak ke sana selepas Isyak. Alasan yang kami sepakati adalah bagi menghormati jemaah Isyak yang sedia ada, nak elakkan kecenderungan untuk ke tandas (kerana duduk dalam ada pendingin hawa yang menyejukkan jasad), dan duduk luar pun masih ada skrin dan pembesar suara untuk kita tetap dapat mengikuti pengajian.

Walaubagaimanapun, sejak permulaan pengajian lagi saya sudah terganggu dengan persekitaran di luar. Saya tak dapat dengar dengan fokus dan penghayatan apabila ustaz sedang memberi ceramah, dan saya terpaksa menepis bunyi enjin-enjin kenderaan yang melalui jalan raya betul-betul bersebelahan masjid (memandangkan kedudukan masjid betul-betul berada di corner lot), terlihat gerabak LRT yang melintasi di hadapan masjid, melihat kanak-kanak yang ke hulu ke hilir memegang alat permainan, melihat sebahagian ahli yang bersembang bersama rakan di barisan yang lebih hadapan, dan.. suara oleh pembesar suara yang tidak tajam di luar masjid.

Tidak lama saya bertahan di luar masjid, dengan fatwa hati yang membentak, "awak datang sini nak dapatkan ilmu, kena pastikan dapat betul-betul. Jangan disebabkan gangguan remeh temeh dan pandangan orang, awak sendiri ketinggalan," Jadi, saya memaklumkan kepada rakan saya untuk berpindah ke dalam setelah berjingkit saya menjenguk keadaan di ruang dalam, memastikan ada ruang untuk saya muat duduk. Seorang diri? Tidak mengapa. Ilmu lebih penting, dan duduk dalam masjid pasti berkat dan rahmat itu lebih besar. Itulah yang menggerakkan kaki saya untuk berhijrah ke dalam masjid.

Terletak sahaja punggung saya di atas karpet ruang muslimah di dalam masjid, masyaAllah, amannya rasa! Nak tahu keamanannya datang dari apa?

1. Suara pembesar suara yang sangat jelas, sehingga tenggelam bunyi-bunyi remeh. Membuatkan saya lebih mudah mendengar, fokus, mengahayati dan mencatat hampir setiap isi penting oleh 'alim yang memberi penjelasan.
2. Sejuk yang mententeramkan, dan sekata.
3. Andai kualiti skrin rendah, saya dapat menjenguk direct kepada wajah 'alim yang melontarkan bicaranya, di celah-celah kepala dan susuk tubuh yang duduk lebih hadapan.
4. Tiada gangguan pergerakan melainkan sedikit, iaitu melihat muslimin menunaikan solat, satu dua orang yang melintas dengan menjaga adab, melihat jurukamera melakukan kerjanya dan sedikit yang lain.
5. Suasana yang mengingatkan untuk berselawat apabila terlupa, malah terdorong untuk menambah-nambah selawat. Setiap kali penceramah menyebut nama Nabi s.a.w., akan terdengar orang di sekeliling berselawat. Jadi, misal kata waktu itu kita tak sedar dari mulut penceramah, kita akan sedar semasa orang lain menyambutnya dengan selawat. Kalau tidak, celakalah kita, bila dengar nama Rasululullah s.a.w. kita tidak berselawat.
6. Lebih depan, lebih bagus. Kerana, lebih sedikit pergerakan persekitaran yang berpotensi mengalih perhatian kita daripada penceramah. Susahlah bila perhatian teralih, sebab boleh buat kita lupa apa yang sedang difahamkan sebelum itu. 
7. Lebih rapat, lebih baik. Kalau ingatan saya tidak salah dan sumbernya sahih, apabila kita solat, jika saf tak rapat, ada syaitan yang akan memenuhi ruang itu (tahulah, syaitan pasti ambil peluang membuat kita lalai ketika solat). Ada juga beberapa masjid yang memberi peringatan pada skrin masjid bahawa "kaki yang tidak lurus antara saf, bukanlah kaki yang bermasalah tetapi masalah hati," Dahulu, betapa rapatnya para sahabat duduk ketika Rasulullah s.a.w. menyampaikan dakwah, sehingga daun yang gugur tidak jatuh di atas lantai. Mungkin, zaman kita, kita melihat pada keselesaan, memahukan ruang antara kita dengan orang sebelah duduk dan kita kurang didedahkan tentang sunnah yang diamalkan, yang mampu menggandakan pahala kita. Dan, betapa khusyuknya mereka (para sahabat), sehingga burung-burung berani menghinggapi mereka. Subhanallah. Satu nikmat yang saya juga dapat lihat bila antara satu sama lain mempunyai hati yang ikhlas, ukhuwah dapat terbentuk bila kita duduk lebih rapat. Pada hadis kedua Hadis 40 Imam Nawawi juga, malaikat Jibril berinteraksi dengan Rasulullah s.a.w. dengan kedua-duanya saling merapatkan lutut antara satu sama lain. Begitu dekat, dan sampai ke jiwa. Selebihnya, wallahu'alam.

Cuma, saya sedikit ralat sebab tidak sempat berkenalan dengan seorang ahli majlis ilmu pada malam itu. Kami sempat berinteraksi, dengan memandunya mencari ayat yang sedang dihuraikan tafsirnya oleh ustaz, menggunakan aplikasi di telefon pintarnya. InsyaAllah, Allah Maha Pengasih, tidak mustahil Allah boleh pertemukan kami kembali pada masa akan datang :)

InsyaAllah, mungkin kalau ada rezeki, Allah boleh pertemukan saya dengan anda juga? Jomlah hadir ke Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa pada setiap hari Jumaat malam Sabtu. Majlis Ta'alim biasanya bermula sekitar pukul 9.30 malam sehingga pukul 11 malam. Kalau tak ada kenderaan sendiri, ada bas free GoKL (Turquoise Line) atau LRT (Kelana Jaya Line). Ingat, utamakan duduk di dalam masjid, walaupun terpaksa duduk di barisan belakang. Dan jangan lupa tunaikan Solat Sunat Tahyatul Masjid dan berniat iktikaf sepanjang berada di masjid.

Sekian sahaja.

Catatan,
MimRa.
11-12 Januari 2020.

First Edition: 12/01/2020

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...