Tuesday, 16 June 2026

Bezanya sambutan Maal Hijrah dengan Tahun Baru Masihi (131)

Alhamdulillah. Telah masuknya tahun baharu Hijrah, 1448 Hijrah. 

Alhamdulillah, dikurniakan pinjaman nyawa yang merupakan keluasan kesempatan untuk terus bertaubat dan beribadah kepada Allah SWT. 

Indahnya Sambutan Maal Hijrah

Awal Muharram saban tahun pasti disambut dengan kesederhanaan. Detik bertemu dengan waktu Asar yang akan berganti dengan waktu Maghrib. Doa akhir tahun dan awal tahun akan menjadi perhatian agar dibaca. Kerana menginginkan agar harapan serta taubat yang dipanjatkan itu berstruktur agar diterima dan disenangi oleh Tuhan. 

Seusai doa akhir tahun selesai dibaca, maka tibalah waktu Maghrib yang ditandai dengan laungan azan, mengagungkan Tuhan di waktu senja. Tahun telah bersilih ganti. Doa awal tahun dibaca diiringi makna. 

Maal Hijrah disambut dengan penuh keinsafan. Perhatian kepada perbaiki diri pada sudut kerohanian. Lambakan ceramah dengan tema hijrah itu sudah tentu. 

Lebih indah apabila dihubungkan dengan cinta kepada Nabi Muhammad SAW pada peristiwa hijrah Baginda SAW serta para sahabat Muhajirin dan Ansar.

Berbeza dengan sambutan tahun baru Masihi

Tiada perhatian pada doa awal tahun dan akhir tahun yang berstruktur. "Malam ini hendak sambut di mana?" Pukul 12 malam menjadi penantian. Count down

Jenaka-jenaka sempena tahun baru diulang. Letupan bunga api bertempiaran. Sorakan demi sorakan yang berakhir dalam satu malam. Pesta sana sini. Pergaulan bebas tidak dipedulikan. Pakaian seperti apa pun tidak dihiraukan. Yang penting, "happy". Bahagia yang sementara.. yang tidak menenangkan. 

Syukur aku Islam

Alhamdulillah, kerana saya muslim saya dapat melihat perbezaan ini. Syukur ada peristiwa hijrah, yang menjadi petunjuk kepada perubahan yang lebih bertujuan, perubahan yang bersandarkan kehendak Tuhan. 

Syukur aku muslim yang tinggal di Malaysia, kerana Awal Muharram ditandai dengan cuti umum seluruh negara. Maka, sempat ada ruang untuk "berhenti sebentar" dan memikirkan serta menilai. 

Alhamdulillah. 
Bismillahirrahmanirrahim, marhaban 1448.
Selamat datang tahun baharu!

Garis masa:
- 3 bulan telah berjarak dengan Ramadan. 
- 2 bulan menuju bulan kelahiran insan terindah, Rasulullah SAW 🤍
- Bulan Muharram, bulan terakhir bulan haram sebelum terpisah sehingga bertemu bulan Rejab (selang 5 bulan) 


Catatan MimRa, 
16 Jun 2026 (1 Muharram 1448H) 

Tuesday, 9 June 2026

Tidak Semua Perkara Boleh Dinilaikan Dengan Wang Ringgit (130)

Bismillahirrahmanirrahim. 


Muqaddimah

Saya triggered dengan satu video yang ditonton melalui Whatsapp Status salah seorang Pengarah Syarikat Perakaunan yang pernah memberi perkhidmatan kepada majikan saya sebelum ini. Iaitu perkongsian potongan podcast temu bual dengan seorang Pengusaha Syarikat berkenaan Generasi Z (Gen Z) yang dianggap generasi yang berkira dan suka menggunakan 'short form' walaupun ketika 'interview' pekerjaan dengan mengambil contoh Gen Z akan bertanya tentang "JD" (short form) instead of menyebut "Job Description" (long form).

Kebanyakan komen daripada lebih 300 komen (di platform Facebook) mengkritik kenyataan Pengusaha Syarikat berkenaan antaranya mengatakan bahawa pertanyaan tentang JD itu adalah keperluan dan telah menjadi lumrah sejak generasi sebelum-sebelum ini lagi.


Disclaimer / Latar Belakang Saya

Saya sudah tentu 'belum' menjadi seorang Pengusaha Syarikat. Namun jawatan sebagai Eksekutif Pentadbiran (Admin) di firma jenis Perkongsian (Partnership) yang turut merangkul peranan Sumber Manusia (HR) dan Akaun sering berhadapan situasi di pertengahan dalam meletakkan diri sebagai pekerja dan majikan, dan juga sebagai seorang rakan sekerja kepada pekerja lain. Kadang rasa tersepit, kadang rasa perlu rasional, dan sentiasa pula ingin bersikap profesional.

Saya juga seorang hamba Tuhan yang sering mengharapkan agar setiap pekerjaan saya diberkati dan ketiap keculasan dalam bekerja diampunkan Allah dan dihalalkan majikan.


Pengalaman Pekerja-Majikan Berkira

"Kalau dia mula hendak berkira, maka saya pun akan mula berkira dengannya," kalimah yang pernah disebut oleh majikan saya dalam satu perbincangan ketika saya hendak mendapatkan pengesahan tuntutan perjalanan oleh pekerja.

Sebagai Admin saya perlu seimbang dalam menerima kenyataan daripada kedua-dua pihak. Saya ingin jadi pekerja yang patuh secara tidak membuta tuli dan saya juga ingin menjadi HR yang menjaga kebajikan pekerja secara sewajarnya.

Asas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh majikan saya adalah konsep "give and take" yang tidak berlaku secara material iaitu:

- Fleksibiliti masa yang diberikan. Aspek masa ini sangat besar cakupannya. Termasuk proses yang singkat untuk mendapatkan kebenaran pelepasan untuk tujuan peribadi, jam bekerja yang masih memberi ruang untuk melakukan hal peribadi (melayari media sosial dan berkomunikasi dengan orang luar hal kerja).

- Sistem yang tidak ketat. Tiada clock in clock out, boleh solat ikut masa sendiri (di luar waktu rehat), jika datang lambat boleh 'adjust' sendiri, proses tuntutan perjalanan yang tidak ketat dan tiada kod pemakaian yang tetap.

- Effisiensi dan kompetensi ketika melaksanakan tugasan secara seorang mahupun berkumpulan.

- Kesan baik dan buruk kepada syarikat daripada hasil pelaksanaan tugasan yang cekap mahupun tidak cekap. Pekerja tidak akan menanggung kerugian daripada ketidakcekapan. Keuntungan syarikat daripada kecekapan tidak dinikmati oleh majikan secara peribadi tetapi diagihkan melalui kos operasi, perbelanjaan berkaitan syarikat, atau disimpan sebagai 'reserved' kegunaan mendatang.


Sesuatu yang Perlu Direnungkan:

1. Di dunia ini, ada perkara yang boleh dihargakan dan ada perkara yang tidak boleh dihargakan.

2. Bagi saya secara peribadi, sikap berkira lebih menjerumuskan diri saya kepada sifat tidak ikhlas, tidak tenang dan sukar berlapang dada.

3. Sikap mempertahankan hak lebih mendedahkan diri kepada meninggalkan tanggungjawab. "Dia tak buat, maka aku pun tak buat," sedangkan dia akan ditanya tanggungjawab dia, dan kita akan ditanya tanngungjawab kita.

4. Dalam "give and take" sebagai mukmin tidak hanya melibatkan dua pihak tetapi ada Tuhan yang Maha Melihat lagi Maha Pemberi.

5. Hubungan antara manusia sentiasa beriringan dengan hubungan dengan Tuhan.

6. Sikap mempertahankan hak tidak menjadikan kita seorang yang belajar dan berkembang.


Sesuatu Yang Boleh Dipertimbangkan:

1. Bagaimana Rasulullah SAW menghadapi situasi begini?

- Ibrah hubungan Rasulullah SAW dengan Saidina Anas RA.

- Upah diberikan sebelum "peluh jatuh ke tanah"

2. Contoh Hubungan Antara Ibu dan Anak

- Jika kita mula mematerialkan semua perkara, maka tidak hairanlah berlaku fenomena anak yang menjadi 'derhaka' kerana dia cuba membalas jasa ibu bapa dengan cara mengira dan membayar semula kos membesarkannya. Bagaimana dia boleh menghargakan pengorbanan ibu mengandung, melahirkan, menyusukan dan bapa mencari rezeki dengan penuh kasih sayang?

3. Jangan membuta tuli. Racun boleh datang daripada majikan dan racun juga boleh datang daripada pekerja atau sesama pekerja. Bertindak dengan prinsip.


Penutup

Hubungan antara manusia adalah hubungan yang mempunyaikan keunikan tersendiri bagi setiapnya. Islam adalah agama yang mikro dan makro. Ada perkara kecil tetapi dinilai besar di sisi Tuhan, dan ada perkara yang besar dinilai kecil di sisi Tuhan.

Hubungan perkerja-majikan tidak terkecuali daripada penilaian Tuhan. Siapa yang berusaha, Allah lihat. Siapa yang sengaja melampaui batas, Allah lihat. Pemberi rezeki adalah Tuhan, bukan majikan.

Di akhirat nanti, majikan akan ditanya akan tanggungjwabnya, dan pekerja akan ditanya akan tanggungjawabnya. Allah tidak menghisab hanya yang zahir (boleh dilihat) tetapi Allah juga menghisab apa yang batin (tidak boleh dilihat mata).

Bezanya sambutan Maal Hijrah dengan Tahun Baru Masihi (131)

Alhamdulillah. Telah masuknya tahun baharu Hijrah, 1448 Hijrah.  Alhamdulillah, dikurniakan pinjaman nyawa yang merupakan keluasan kesempata...