Sunday, 15 November 2020

Salam (034)

- Ucapan Salam

“Assalamualaikum,”
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratuh,”
Begitulah lafaz salam yang saya selalu pelajari.
Lafaz salam menjadi pemula kepada sebuah perbualan dan ucapan.
Lafaz salam itu mengandungi doa di sebalik ucapan.
Lafaz salam bisa melembutkan hati. Dalam keadaan seseorang yang sedang mungkin memendam perasaan tidak puas hati kepada kita, bila kita memulakan urusan dengannya dengan lafaz salam, insyaAllah dapat melembutkan sedikit hatinya itu. Kerana pemegang hati itu Allah.

Saya selalu merasa rugi jika mulut saya terkunci apabila bertemu dengan orang tetapi tidak mengambil kesempatan menyemai benih ukhuwah dengan memberi salam.
Jika berselisih dengan makcik cleaner di stesen LRT, tetapi berasa ragu-ragu untuk beri salam, maka langkah-langkah selepas melepasi makcik itu penuh dengan penyesalan, “mengapalah aku tidak ambil peluang itu,” terasa seperti mahu berpatah balik dan mengucapkannya.
Tidak kurang pula, saya merasa janggal jika atas urusan kerja kita bertemu dengan rakan sekerja secara tiba-tiba dan terus menyatakan urusan tanpa memberi sapaan. Maka sapaan apakah yang lebih baik daripada memberi salam?
Saya berasa janggal bila orang masuk ke dalam ofis saya menggunakan sapaan selain salam, bukankah memberi salam itu lebih indah dan punyai makna yang cukup memberi manfaat kepada pemberi dan penerima?
Saya berasa rugi dan salah andai memulakan perbualan di Whatsapp selain salam (kecuali kepada yang non-Muslim) kerana bagi saya, saya sudah gagal menyuburkan sunnah Rasulullah s.a.w. yang mudah.
Saya berasa berdosa andai salam yang diucapkan kepada saya tidak disambut seperti yang sepatutnya, "waalaikumussalam".
Saya berasa salah apabila saya bertemu dengan orang, saya memberi salam tetapi lafaz salam itu hakikatnya salah kerana terburu-buru, maka mungkin ada huruf dan baris pada ucapan salam itu salah pada tempatnya.
Saya berasa takut apabila saya gagal menyebarkan salam lalu, saya tergolong dalam golongan yang dikatakan, “memberi salam hanya kepada orang yang dikenali,”
Saya berasa malu bila saya berasa ragu-ragu untuk beri salam, lalu datang orang lain tanpa segan memberi salam. “Mengapa bukan aku yang mulakan?”

Begitulah antara bisikan-bisikan yang selalu hadir pada saya setiap hari apabila berjumpa dengan manusia. Hatta jika bertemu dengan haiwan juga (seperti ayam dan kucing), saya tertanya-tanya, should I say, “Assalamualaikum,”? Kerana semua makhluk adalah hamba-Nya jua kan? Peliklah nak sebut, “Hai” “Hello,” kecuali kepada yang non-Muslim.

- Bersalaman

Pernah tak orang yang bukan mahram menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan kalian? Apa yang kalian lakukan? Menyambutnya dengan sentuhan itu, atau menolaknya dengan cara baik?

Situasi 1: Kali terakhir saya gagal menolak salam kepada yang bukan mahram saya (jika tidak silap) berlaku di kampung. Tahun bila pun saya tidak ingat. Sudah begitu lama. Pada masa itu, pakcik saya itu jarang balik kampung, kadang itu, ramai yang tertanya-tanya akan berita tentangnya. Bila saya jumpa pakcik saya itu, saya pasti akan mengagak pakcik saya itu mesti akan anggap saya masih sekolah. Tidak membesar. Dia menghulurkan tangannya sebaik sahaja saya membuka pintu menerima tetamu. Pada masa itu, mungkin saya masih “tidak kuat pegangan” untuk menolak salam, jadi saya menyambutlah tangan yang dihulurnya itu. Tetapi, memang rasa kesal lah sebaik sahaja melepaskan. Astaghfirullahal’azim!

Situasi 2: Berlaku semasa ada apa ya kita panggil… programmer ke ya? Assume lah mereka ni programmers. Seorang perempuan, dan seorang lagi lelaki. Dua-dua Chinese. Datang ke ofis (dulu-dulu) untuk guide kami menggunakan satu software. Semasa mula-mula bertemu untuk memperkenalkan diri, saya bersalaman dengan yang perempuan, selepas itu, tanpa diingini pula yang lelaki itu juga menghulurkan tanya sambil senyum mesra tanda perkenalan. ‘Erk, ottoke?!’ Sepantas kilat fikir cara macamana ya untuk elak? Saya terus meletakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri, namun tidak difahaminya, perasaan masa tu ‘weh, kenpa dia tak faham???’ Dan itulah first time selepas saya “ada pegangan” untuk menolak berjabat tangan dengan lelaki. Seram sejuk dibuatnya, kalau saya tidak menolak sampai bila saya nak menerima begitu sahaja? Saya cemburu bila melihat orang lain boleh buat, tapi, saya tidak mampu buat perkara macam ni.

Situasi 3: “Alhamdulillah mujur musim Covid!” Begitulah monolog yang hadir semasa pertama kali saya bertemu dengan manager non-Muslim saya itu. Kami ada beberapa kali berhubung melalui telefon sebelum pertama kali dapat bertemu face to face memandangkan manager saya itu MC buat tempoh yang lama semasa saya mula bekerja di tempat kerja yang sekarang ini. Sesampai sahaja saya di selling floor berjumpa dengannya, dia ingin memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan sebagai perkenalan. Dengan muka awkward dalam keadaan sedang memakai mask, saya melakukan perkara yang sama dalam situasi 2 di atas. Alhamdulillah kali ini orang itu faham. “Oh.. ya,” jawabnya sambil melakukan juga seperti yang dilakukan saya. Tetapi, saya rasa yang dia faham adalah sebab Covid-19 bukannya sebab batasan sentuhan. Hmm… tidak mengapalah. Yang penting semuanya selamat, Alhamdulillah.

Situasi 4: Kali ini benar-benar saya yakin untuk menolak dengan riak muka sekali. Iaitu semasa salah seorang staf saya buat kali terakhir bertemu dengan semua orang untuk salam perpisahan sebelum berangkat ke Nepal. Mereka sesama lelaki siap berpelukan, walaupun musim-musim Covid ni. Saya tidak boleh nak halang melainkan, ‘biarlah,’ Lalu dia memandang dan menuju kepada saya dan menghulurkan tangannya, ‘oh no,’(dalam hati). Tetapi, Alhamdulillah dengan segera saya buat seperti situasi 2 & 3 di atas dan dia terima penolakan saya itu dengan masih berwajah ceria. Fuhh.

Bersalaman ini pada sesetengah kaum atau budaya melihatnya sebagai tanda penghormatan. Tetapi, di dalam Islam, menyentuh yang buka mahram adalah perkara yg tidak dibenarkan (haram) terutama sekali apabila disengajakan. Menolak cara baik boleh menjadi dakwah (akhlak) dan juga yang pasti merupakan satu ketegasan dalam berpegangan. 

Sekian sahaja.

Catatan, 
MimRa.
16 November 2020,
30 Rabiulawwal 1442.

First edition: 16/11/2020

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...