Dosa boleh terhasil daripada penyalahgunaan pancaindera yang diamanahkan oleh Allah kepada kita. Oleh itu, penulis menggunakan pendekatan dengan mengupas satu per satu anggota pancaindera yang kita ada, dan kita gunakan sepanjang masa. Dimulakan dengan pancaindera zahir yakni mata, mulut dan telinga kemudian dileraikan dengan anggota batin iaitu hati. Dalam pada itu, penulis juga turut mengambil kesempatan memuatkan tentang doa serta kaitannya dengan dakwah (amar makruf nahi munkar).
Menariknya buku ini yang menjadi siri ke-3 “Solusi Hati” penulis/penerbit dapat menyusun kandungan buku ini dengan begitu cantik. Setiap topik yang disentuh pasti dimulakan dengan petikan kata-kata mutiara yang berkaitan, dikembangkan dengan dosa/maksiat yang berpotensi dilakukan oleh anggota tersebut di atas, dan disempurnakan dengan solusi atau panduan bagi kita memanfaatkan anggota itu pada yang sepatutnya serta memperbetulkan diri atau mencegah diri daripada dosa yang boleh mengalir daripada anggota itu. Tidak cukup dengan itu, buku ini juga dihiaskan dengan kisah-kisah tauladan yang mudah diambil pengajaran. Kebanyakannya adalah anekdot (cerita rekaan) bagi memahamkan kita kepada pengisian yang cuba disampaikan. Mudah untuk digarab.
Memandangkan saya telah menagmbil masa yang agak lama untuk menghabiskan bacaan buku ini, ingatan saya adalah pada bab yang terakhir iaitu menyentuh tentang ”Kita Orang Akhirat” bagaimana cara fikir orang yang fokusnya pada akhirat. Salah satu daripadanya adalah “banyakkan menyebut syurga” sama ada dalam mendidik diri untuk perbanyak fikir tentang syurga mahupun cara kita mempengaruhi anak atau orang yang berada di samping kita. Sebagai contoh kata-kata “tidak dapat di sini, dapat di syurga nanti” dapat didik diri kita untuk jadi orang yang lebih sabar dalam menghadapi cabaran semasa. Kita percaya. Secara tidak langsung minda akan lebih positif dengan aura nur syurga berbanding azab neraka. Subhanallah. Hala tuju kita di dunia ini adalah syurga. Kalau tak dapat masuk syurga, maka kita jadi orang yang rugi, tak dapat merasai nikmat itu malah sebaliknya berganti dengan lawan kepada syurga (na’uzubillah). Sekalipun benar kita pendosa, kita belum terlambat untuk melayakkan diri untuk ke syurga!
Catatan,
MimRa.
22 Rabiulawwal 1442H,
08 November 2020.
Bacaan 29 Ogos – 08 Nov 2020
First Edition: 09/11/2020
No comments:
Post a Comment