“Nini, you ada dua nama kan?” itulah ayat pertama untuk saya approach seorang staf muallaf (Indian Muslim) di tempat kerja saya. Dia seorang cleaner. Nini itu bukan nama sebenar. Dan, dia lebih muda daripada saya.
Itu adalah waktu yang saya tunggu-tunggu. Tidak ramai yang tahu dia seorang muslim. Kerana dia tidak memakai tudung, tidak pula mempunyai tanda pada dahi. Malah nama dalam IC dia juga belum sempat ditukar kepada nama Muslim, jadi semua orang memanggilnya dengan nama Tamilnya. Saya tahu sebab saya HR. Dan saya curious dengan status dirinya.
Sebelum ini, ada approach lain yang saya sudah mulakan, dengan niat agar dia berasa ada orang melayannya sebagai seorang Muslim. Apakah approach itu? Ya, memberi salam kepadanya. Saya tidak tahu sama ada hanya perasaan saya sahaja, tetapi, sejak pertama kali saya memberi salam kepadanya, saya dapat lihat ruang yang lebih terbuka untuk dia membawa dirinya sebagai seorang Muslim. Jika tidak pada orang lain, at least ada saya. Saya yakin, bukan mudah membawa diri sebagai seorang muallaf, dengan persekitaran yang kurang membantu. Sejak itu, bukan saya sahaja yang berani memberi salam padanya, malah dia pula yang terlebih dahulu memberi salam kepada saya pagi-pagi bila bertemu dengan saya, dan semasa selesai tugasan di ruang kerja saya.
Berdasarkan perkongsian daripadanya, saya kagum dengan ketegasan dia untuk mengakui dirinya Muslim pada kawan-kawannya. Apabila diajak untuk makan di restoran non-halal, dia berani menolaknya dan mengatakan dia Muslim. Dia sempat menceritakan tentang keluarganya juga. Saya sempat mengusiknya, “pakailah tudung!” sambil senyum menyengih padanya. “Yelah kakak, nanti saya pakai tudung,” jawabnya. Selepas sahaja sebut tentang tudung, tahulah perempuan. Bercerita tentang tudung pula.
Nampak sensitif sebut tentang tudung? Tidak semestinya. Saya bertindak menyebutkannya sebab saya lihat pada kesesuaian masa. Dia menceritakan tentang adiknya yang berubah selepas emaknya menghantar adiknya ke JAIS untuk bimbingan selama 6 bulan (kalau tidak silap) disebabkan pergaulan luar batasan yang adik dia pernah lakukan. Nini katakan yang dia sendiri tidak menyangka adiknya menjadi lebih baik daripadanya, adiknya betul-betul menjaga pemakaian tudung, tidak akan menanggalkannya. At that point lah, saya terus mengambil kesempatan untuk mengajaknya memakai tudung. Saya cakap padanya barulah senang orang lain tidak perlu keliru bahawa dia seorang Muslim. InsyaAllah, moga Allah beri hidayah dan kekuatan untuknya.
Saya sebut padanya, saya percaya bukan mudah untuk membawa diri dan untuk melakukan perubahan (termasuklah untuk memakai tudung). Untuk melakukan perubahan perlu ada keazaman yang tinggi dan perlu bersedia dengan cabaran yang mendatang. Kita duduk di Malaysia, tidak boleh lari dengan sikap orang kita yang suka mengata-ngata, merendah-rendahkan dan sebagainya, itu adalah cabaran, even dengan kawan yang bangsa asing juga boleh melakukannya pada kita. Semua itu terserah kepadanya.
Kesimpulannya di sini, jika ada kesempatan dan cubalah dekati kawan-kawan kita dan bercakap tentang agama padanya. Itu adalah dakwah. MasyaAllah, saya akui sangat susah. Saya tidak bercerita bahawa saya bercakap tentang syariat pada kawan saya yang sudah memang Melayu-Muslim. Dan kalian pun tahu itu lebih mencabar dan yet.. it becomes too sensitive. Sungguh. Dan saya tidak punyai banyak kekuatan untuk itu. Sedangkan di dalam buku “Sekalipun Benar Dia Pendosa,” Ustaz Luqman Makhtar memetik hadis Riwayat Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda;
Ertinya “Janganlah ada antara kamu yang menghina diri sendiri.”
Para sahabat bertanya, “Bagaimana boleh ada orang yang menghina diri sendiri?”
Lalu Nabi s.a.w. menjawab, “Dia mendapati sesuatu yang patut dia katakan sesuatu tentangnya kerana Allah, tetapi dia tidak mengatakannya. Pada hari kiamat kelak Allah akan bertanya kepadanya, ‘Apa yang menghalang kamu daripada berkata pada ketika itu?’ Dia menjawab, ‘Takut pada orang.’ Lantas Alah menempelak, ‘Akulah yang sepatutnya engkau lebih takutkan!’”
Allahuakbar. Baru-baru ini sahaja saya didatangi salah seorang manager menyebutkan tentang pakaian staf perempuan di tempat kerja saya yang fit-fit belaka. Dengan nada perlahan saya katakan, “Saya tidak ada kekuatan untuk menyebutkannya. Mulut saya seolah-olah terkunci,” dan saya terus memikirkannya sehinggalah sekarang. Apa yang saya takutkan?
Sahabat-sahabat doakan saya ya dalam perjuangan ini. Dakwah yang “tidak besar” pun, namun tetap sukar. Walhal, saya sendiri banyak sudut yang perlu diperbetulkan dengan mujahadah tersendiri. Ada sebab di mana Allah letakkan kita dekat tempat yang kita menetap, bekerja dan bersosial sekarang. Kita bawa agama Allah. Setidak-tidaknya, setiap hari kita merefleksi dan memperbaiki akhlak yang kita pamerkan pada keluarga, kawan-kawan, pekerja, rakan sekerja, pihak atasan dan sesiapa sahaja. Tiada yang sempurna, tetapi itulah tanggungjawab. Insya Allah. Moga Allah mudahkan jalan ke syurga.
Catatan,
MimRa.
15 November 2020,
29 Rabiulawwal 1442H.
First edition: 15/11/2020
No comments:
Post a Comment