Sunday, 7 February 2021

Niatkan untuk dia (046)

A: "Kita doakanlah dia.. masa baca Al-Quran ke, niatkanlah untuk dia.."
B: "Niatkan untuk dia tu macamana? Macam.. 'aku sedekahkan bacaan Yaasin ini untuk ___' ke?"
A: "Ya, yang ringkasnya macam tu. Tapi, boleh je kalau kita nak panjangkan doa macam 'dengan bacaan Al-Quran aku ini, Engkau permudahkanlah urusannya serta keluarganya, kurniakanlah keafiatan untuknya, ringankanlah kesakitannya,'"
Al-Quran adalah satu mukjizat. Hikmahnya akan terlihat terutamanya bagi orang yang berfikir dan memerhatikan kebenarannya. Al-Quran adalah nur untuk orang yang hidup, hadiah bagi yang telah terputus jasad dan roh di dunia ini dan syifa' buat yang sakit zahir (fizikal) mahupun batin (hati & jiwa). Titipan doa yang diniatkan sebelum dan selepasnya pasti mendapat pertimbangan lebih daripada Allah. Sebab, kita mengiringi satu amal dengan amal yang lain. Allah cintakan hamba-Nya yang melakukan amal soleh..
Dengan nama-nama Allah yang indah.
Ya Hafiz, Ya Wakil, dan Ya Rauf.
Semoga doa kita yang ikhlas untuk kebaikan insan-insan yang kita cintai, kasihi, rindui, yang telah berbuat baik kepada kita, dan yang telah terlebih dahulu mengasihi kita, moga Allah tidak menghijabkannya serta mendapat perhatian lebih dari-Nya.
Allah ya Mujib, ya Sami'.
Allah ya Muqtadir, Allah ya 'Afuw, Allah ya Ghafur, Allah ya Tawwab, kasihanilah kami, ampunilah dosa-dosa kami. Jadikanlah kami hamba-Mu yang bertaqwa dan Engkau redhai. Kumpulkanlah kami bersama orang-orang yang soleh dan bersama dengan Rasulullah s.a.w. di akhirat nanti.
Catatan,
MimRa.
25 Jamadilakhir 1442H,
07 Februari 2021.
"Aku tahu engkau punyai kekuatan yang tersembunyi pada dirimu... Ketahuilah, sakit tak bermakna lemah,"
Andai suatu hari nanti aku jua diuji seperti ini, moga kata-kata ini jua menjadi peringatan buat diriku. Allah loves you.

Thursday, 4 February 2021

Kasilah peluang saya dapat pahala (045)

Apa tu?
Ya. Itulah harapan dalam hati bila saya 'try hard' nak buat satu kebaikan melibatkan an-nas (manusia).
Ada sesuatu kebaikan yang kita buat, hanya dapat "checked✅" bila ia sampai kepada orang lain atau orang yang di"target" itu terima apa yang kita cuba lakukan.
Sebagai contoh apabila kita memberi.
- memberi hadiah
- memberi makanan
- memberi nasihat
- dakwah
- dan lain-lain
Apabila saya memberi, secara tidak langsung saya akan selalu memikirkan adakah pemberian saya itu memberi kesan/kebaikan kepadanya? Secara tidak langsung, membawa saya kepada muhasabah atas "keberkatan" pemberian saya itu. Mengikut kefahaman saya, sesuatu itu akan "berkat" (mungkin boleh juga dianggap sebagai "mabrur") apabila apa yang kita lakukan itu dapat mencambah lagi kebaikan-kebaikan yang lain.
Kita ambil contoh-contoh tadi.
- memberi hadiah
Hadiah itu menjadi berkat apabila ia mampu memberi manfaat kepada penerima. Contohnya jika saya beri sebuah buku, adakah buku itu akan dibaca olehnya? Kemudian, jika dia baca, adakah inti buku itu dapat membawa perubahan lebih baik kepadanya?
- memberi makanan
Contoh ketika berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Seperti yang kita diajarkan, jika kita beri makan berbuka kepada seseorang, maka kita dapat pahala sama seperti pahala orang itu berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun. Jadi, bayangkan. Semasa berbuka, selalu banyak pesaing. Orang ini sediakan ini, orang itu sediakan itu. Kadang makanan kita barangkali tidak diusik. Jadi, mampukah saya raih pahala yang diharapkan itu?
- memberi nasihat
Apabila beri nasihat, adakah nasihat itu diingati dan diamalkan? Atau sekadar masuk telinga kiri, keluar telinga kanan?
- dakwah
Sama juga seperti beri nasihat. Tapi, Allah pun dah sebut dalam Al-Quran. Kita hanya mampu dakwah, hakikatnya Allah yang akan beri hidayah kepada orang-orang yang dikehendaki dan dipilih-Nya. Kita tetap perlu teruskan usaha dan jangan berputus asa. Apatah lagi untuk terus membisikkan doa agar Allah memberi hidayah kepada saudara yang kita cintai-Nya kerana Allah, yang kita mahu Allah beri kebaikan kepadanya sepertimana yang kita dapat.
Dan.. banyak lagi kan.
Allah Maha Baik.
Saya yakin. Yalah.. kita mungkin bermuhasabah, "oh orang tu tak makan pun", "oh hadiah aku dia simpan sahaja sampai berhabuk", "oh dia hanya dengar endah tak endah"... Don't give up. Cukuplah sekadar muhasabah yang tidak "berlebih-lebihan". Berlebih-lebihan dalam erti kata sehingga membuatkan kita rasa apa yang kita lakukan itu sia-sia sahaja. Jangan sampai kita rasa Allah tak pedulikan kita. Jangan sampai kita buat, kita nak orang puji, mahukan appreciation yang menjejaskan status keikhlasan kita di sisi Allah. Allahuakbar.. Allah ar-Rasyid, Allah al-Mani'.
Semoga kita terus berkobar-kobar untuk membuat kebaikan dan terus menyambung sesuatu kebaikan setelah satu kebaikan kita selesai melakukannya seperti yang Allah sebut dalam surah Al-Syarh, 94:7.
Semoga kebaikan yang kita lakukan hanya untuk meraih redha Allah semata-mata tanpa mensyirikkan-Nya dengan riak, rasa ujub dan sum'ah. Na'uzubillah. Na'uzubillah. Na'uzubillah.. "Allahumma thahhir qulubana..."
Wallahu'alam.
Semoga bermanfaat!
Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad ❤️
Catatan,
MimRa.
23 Jamadilakhir 1442H,
05 Februari 2021.


Saturday, 30 January 2021

Muka (044)

"Allahumma ahsanta khalqi, fa ahsin khuluqi,"

(Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku)
Berapa ramai kita yang perasan cantik? handsome?
Dan, berapa ramai juga kita yang cukup "down" bila muka "buat hal" Mana tidaknya, muka lah anggota utama yang orang akan lihat bila bertembung dengan kita dan komunikasi dengan kita + bergambar, dan kita sendiri hadap bila melihat cermin.
Disebabkan muka saya pun sekarang ini sedang ada "isu", entri ini saya tulis untuk perkongsian santai dan sama-sama sebagai nasihat diri, dan untuk amalkan doa di atas.
Doa di atas tu selain kita biasa kenalnya sebagai "Doa Melihat Cermin", sebenarnya doa itu adalah "Doa memohon akhlak yang baik," (Dalam Hadis Riwayat Ahmad). Bacalah setiap kali lepas solat, melihat cermin dan setiap kali rasa cantik atau hensem atau juga ketika muka bermasalah. Dengan harapan, Allah mencantikkan akhlak kita sepertimana kita nak Allah cantikkan fizikal kita (terutamanya bahagian muka).
Tentang muka ini, berbaik sangkalah pada Allah seandainya ia sedang bermasalah. Syukur, masalah yang sedang saya hadapi sekarang bukanlah tahap "break out" atau pengalaman yang saya lalui pada tahun 2019 dan tahun sebelumnya.
- Mungkin "Allergic"
Masalah muka saya pada tahun 2019 dan tahun sebelumnya itu adalah apabila muka saya mudah timbul ruam (malah macam bengkak) apabila dalam keadaan tidak selesa, mungkin kerana lama dalam panas atau aktiviti yang berpeluh atau outdoor lagi-lagi melibatkan tumbuh-tumbuhan. MasyaAllah masa tu gatal yang amat! Bukan setakat pada muka, malah kawasan permukaan tangan saya yang terdedah juga, ada timbul sedikit ruam.
Disebabkan pada masa itu saya kerja di klinik dan tidak sibuk, saya ambil kesempatan berjumpa dan meminta nasihat doktor di situ. Beberapa minggu saya ambil saranan untuk elakkan makanan yang mungkin membuatkan allergic seperti sesetengah makanan laut, dan mengunakan ubat sapu yang diberi. Namun setelah melepasi tempoh pemerhatian tu, sama juga keadaannya. Oh, lupa. Bukan setakat timbul ruam pada masa tertentu sahaja. Muka saya ini bertompok-tompok yang kalau kita tunjuk kat orang, semestinya orang cakap itu "panau". Saya taknak panau 😂
Doktor pun beri saya surat rujukan untuk berjumpa dengan Pakar Dermatologi di HKL. Saya mula mengikuti temujanji dengan pakar. Masa tu sebelum Covid-19 lagi. Saya sempatlah dapatkan nasihat doktor dan darah saya diambil sedikit untuk ujian. Semasa temujanji yang ke berapa kali entah, dan keputusan ujian darah dah dapat, doktor beritahu saya kekurangan darah merah. Tanda-tandanya, badan mudah terasa lemah. Hmm, yeke? 🤔 Mudah tertidur tu memang ada lah 😁
Antara ubat yang doktor beri adalah Vitamin C, Folic Acid dan Iron Tablet (supplement wanita mengandung sangat!) Kalau ada yang lain saya pun dah lupa. Disebabkan saya mengatakan saya tidak pernah amalkan memakai sunscreen, doktor suruh saya pakai memandangkan kawasan yang bermasalah itu kawasan terdedah kepada matahari. Temujanji seterusnya, saya bersetuju untuk dilakukan "patch test" yang sebenarnya saya sendiri ragu-ragu nak buat atau tidak. Sebab, patch test ni ada pantang larang! Renyahlah. Tidak boleh lakukan aktiviti yang membuatkan berpeluh (masa tu saja setiap hari saya kena balik jalan kaki dalam 10 mins jarak), tidak boleh mandi (kawasan patch tidak boleh terkena air), dan pergerakan terbatas (seperti postur untuk mengambil barang) lebih-lebih lagi tidur tidak boleh tindih kawasan patch itu. Kawasan patch itu kalau ikutkan, doktor kata tampal di bahagian belakang badan. Jenuhlah saya... tak sanggup.
Waktu temu janji itu makin dekat. Covid-19 tu pun sudah mula bertapak di Malaysia. Jadi, apalagi. Saya hubungi pihak hospital, saya nak cancel temujanji dengan alasan saya tak boleh elakkan aktiviti berpeluh 🤭
Tapi alhamdulillah, masalah muka saya mula lenyap dari semasa ke semasa. Warna muka saya mula seimbang. Pada saya, perkara paling penting adalah memakai sunscreen berbanding yang lain (makan ubat) saya boleh menggantikannya (sekiranya ubat dah habis) dengan memperbaiki diet pemakanan saya setiap hari. Untuk tambah darah merah, saya perlu makan banyak cendawan (iron), bahagian organ haiwan (hati, paru) dan daging.
Begitulah serba sedikit pengalaman saya.
---
Berbalik kepada doa itu. InsyaAllah saya yakin doa itu boleh jadi ubat sebab Allah Maha Berkuasa kan? Perkara yang bagi kita "miracle/impossible" pun boleh jadi. Sabaaar sahaja. Sabaaar je lagi. Walaupun mulut ini banyak kali juga merungut kan.. Tidak mengapa, sebab kita manusia biasa (tapi kena kurangkan juga mengeluh). Dalam masa yang sama, kenalah juga jaga muka tu. Sambil cuci muka, lintaskan dalam hati doa itu. Sambil pakai moisturizer ke, sunscreen ke, apatah lagi make-up (sekiranya berkaitan) Dan, dari sudut kerohanian juga, kita perlu juga muhasabah sejauh mana kita nak luar kita nampak cantik sedangkan dalaman itu pula bagaimana "concern" nya. Awak dan Allah sahaja tahu.
Sama-samalah kita perjuangkan muka yang lebih elok dan akhlak serta hati juga elok. InsyaAllah.. hiks.
Catatan,
MimRa.
18 Jamadilakhir 1442H,
31 Januari 2021.



Cara meletakkannya (043)

Pernah tak kita muhasabah cara kita memberi sedekah?
Astaghfirullahalazim. Saya berasa kesal sangat pagi ini. "How rude am I,"
Baru-baru ini Allah sudah beri peringatan melalui ucapan oleh ustaz/ustazah/DJ Radio yang saya tak ingat dengar masa bila dan dekat mana. 
Mesejnya tentang adab beri sedekah;
- jangan membuatkan orang yang diberi itu merasa hina dengan pemberian
- jangan mention itu sedekah sebaliknya hadiah

Tapi, apa yang saya telah lakukan?
Saya melintasi seorang peminta sedekah di tepi jalan, sambil meletakkan duit dengan cara seolah-olah macam 'orang yang membuang sampah di tepi jalan'. Masukkan endah tak endah, macam kalau ada dialog tu, "nah, hambiklah,"
Orang itu punyalah ucap "Alhamdulillah," "terima kasih.. terima kasih.." tapi saya berlalu pergi macam hina sangat orang tu saya buat.

Ya Allah.. dosa apakah ini saya buat pada pagi hari? Mana akhlak? Saya lagi kesal sebab saya pakai baju tshirt labuh. Saya tak tahulah kalau ada orang nampak attitude saya yang sebegitu, ia akan mencalarkan imej muslimah. Orang mungkin akan bersangka-sangka dengan perbuatan saya itu. Astaghfirullahalazim.

Saya catat di sini bukan untuk membuka aib sendiri. Tetapi, supaya memberi peringatan kepada diri saya dan pembaca. 

DALAM SATU KEBAIKAN YANG KITA BUAT, KENA JAGA ADABNYA. Hablumminallah, hablumminannas... Ingat tu.

Jangan asal buat, tak peduli perasaan orang lain. Astaghfirullahalazim. 
Malah sayalah yang lebih hina bila saya buat macam tu.

Catatan,
MimRa.
18 Jamadilakhir 1442H,
31 Januari 2021.

First edition: 31/01/2021

Friday, 29 January 2021

Muda sebelum tua (042)

Barapa umurku hari ini?
"Muda" yang semakin meninggalkan.
Apa yang telah aku lakukan?
Apa yang telah aku sumbangkan?
Apa yang aku boleh banggakan?
Berbangga dalam erti mempersambahkan di hadapan Allah, bukan manusia.

Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad.

Catatan,
MimRa.
17 Jamadilakhir 1442H,
30 Januari 2021.

First edition: 30/01/2021

Saturday, 23 January 2021

Jangan tahan, menangis jelah! (041)

Eh.
Itu ayat yang saya akan katakan kepada anak-anak buah saya. Seorang lelaki berumur 6 tahun, manakala kakaknya 8 tahun. MasyaAllah. Disebabkan Covid-19 ni, banyak perkembangan mereka yang saya tidak dapat ikuti.

Ada masa tu, jika diingat kembali masa-masa bersama mereka, antara peristiwa yang saya sukar untuk lupakan bila melihat mereka dimarahi, dan sudah tentu sebagai kanak-kanak mereka ada perasaan takut dan bersalah. Tetapi, disebabkan (mungkin) terlalu kerap dimarahi, dan disuruh untuk diam jangan menangis, saya yakin perkara itu boleh membantutkan perkembangan emosi mereka. Ya, saya bukannya mahir sangat pun tentang psikologi ni. Tapi, lihat sahajalah air muka mereka. Tidak sampai hati.

"Umar, mengangislah, jangan tahan," saya menyuruhnya.
Kalau dengan kakaknya, Fatimah Azzahra, dah tak ada dah nak cakap macam tu, saya melambai tangan isyarat untuk saya dakapi, luahkanlah rasa pada saya. Dia akan datang berlari dan saya akan menyambutnya. Kemudian saya akan bawanya perlahan-lahan ke tempat lain, lebih terasing daripada orang lain. Saya pun tidak tahu apakah tindakan saya ini disarankan atau perlu dibiarkan dan didik mereka untuk menahan.

Bagi saya, pada umur yang masih terlalu kecil ini, tindakan membiarkan itu bukanlah yang terbaik. Depresi kanak-kanak yang saya bimbang. Saya tidak mahu mereka membesar dalam keadaan memendam perasaan. Perlahan-lahan perlu ajar mereka ada tempat terbaik untuk mereka luahkan, iaitu kepada Allah. Usia kanak-kanak bukanlah dijadikan alasan terlalu muda untuk memahami tauhid. Cuma cara itu perlu berhati-hati. Ya, sekali lagi, saya bukan orang yang arif. Tapi, saya tahu pendidikan yang sesuai perlu diteliti supaya anak-anak seimbang perkembangan emosi, jasmani dan.. rohani.

Itu untuk kanak-kanak.
Untuk kita yang dewasa?
Menangislah wahai saudaraku..

Menangislah kepada Tuhan yang mendatangkan kesedihan, kenikmatan, ujian, kegelisahan, kebingungan, kekeliruan, berita gembira dan segala apa yang mendatangi jiwa.
Menangislah kepada Tuhan Yang Maha Mentakdirkan.
Menangislah bersama harapan yakni doa. Dengan itu, setiap air mata yang mengalir tidak akan menjadi suatu yang sia-sia.. Dan Allah sangat malu kepada hamba-Nya yang berdoa tanpa diberi apa-apa.

Wallahu'alam.

Catatan,
MimRa.
11 Jamadilakhir 1442H,
24 Januari 2021.

First edition: 24/01/2021

Friday, 22 January 2021

She would do that (040)

Minggu ini, ada satu video tular dekat salah satu platform Social Media (Twitter) tentang seorang Pakar Mata dan juga Pakar Motivasi yang dikecam disebabkan statement beliau seolah-olah sudah melepasi had kepakaran beliau. Saya tengok saja dulu. Beberapa reply kepada posting yang berkenaan saya baca. Terdetik dalam hati, "This is just a cut from the original recording. Pasti akan jadi kejutan untuk Prof bila dapat tahu sudut pandang netizen. But, I know she would able to handle it professionally, insyaAllah,"

Alhamdulillah, bila buka notifikasi pada awal pagi keesokannya, beliau telah pun melakukannya, iaitu permohonan maaf secara terbuka. 

I love her points of muhasabah.
"Terlampau konfiden, sombong, rasa pandai sangat,"
Bagaimana beliau memanjatkan rasa hormat pada ahli pakar yang lebih pakar pada isu yang disebutkannya.
Yang penting, beliau tetap tenang menangani isu tu. I believe kekuatan itu datang daripada kekuatan yang Allah beri pada dia, yang dia minta pada taubat dan munajatnya.
That's how she handle her patients, her audiences, netizens, and might be "haters".

Bila kita dapat satu-satu info, banyak sudut kita kena nilai. Tak boleh terus melatah dan terus share. Mungkin niat kita ada sedikit baik sebab nak orang tahu "dia tak semua betul," tapi apa yang kita dapat? Atau sejauh mana kesan daripada yang kita sebarkan.

Memang patut ramai terkejut, tak sangka. Sebab terlalu banyak motivasi, ilmu, yang didapati daripadanya. Malah, beberapa generasi termasuk ibu ayah kita senang dengan input yang diberinya.

Kadang kan, ada sesetengah orang berpandangan bahawa orang baik bila buat salah dan apabila salah dia itu diketahui, lalu orang kecam, mereka mengatakan "jangan fikir orang macam tu semuanya baik," seolah-olah "jangan percayakannya lagi, dia tidak layak diikuti lagi," pandangan mereka sedang menghasut kita untuk lebih berburuk-sangka pada orang itu. Maka terputuslah ilmu daripada dia yang selama ni telah mendidik kita, disebabkan diri kita sendiri. Dengan satu isu sahaja. Segala ilmunya kita terus tolak. Na'uzubillah.

Setiap teguran atau kecaman itu ada limitnya. Perlu ada tujuannya. Ada kecaman yang ya mungkin itu adalah salah satu cara yang paling 'hikmah' untuk menegur sebab kalau tegur cara baik atau cara lain mungkin tak berkesan. Tapi, perlu mengira limitnya. Dan adakah akan membawa lebih banyak mudarat atau kebaikan?

Saya pernah sekali mengecam satu tindakan oleh satu pihak di FB ini lah, dahulu kala. Tiba-tiba, saya dapat PM daripada seorang kenalan yang menegur cara saya itu salah dan saya rasa masa tu saya masih rasa saya ini betul. Tapi, bila dah lama-lama, Allah jentik juga hati. Syukurlah, Allah beri peluang kepada saya untuk ditegur secara sembunyi berbanding dikritik secara terbuka. Moga Allah rahmati kawan saya itu. Jika diimbau kembali memori di sekolah, kami memang pernah ada isu tentang tegur menegur ini juga. Tapi, alhamdulillah bila dah lebih dewasa ini lebih dimatangkan fikiran. Perlu berhati-hati ketika menyampaikan, dan berlapang dada apabila ditegur, dan ya saya juga masih manusia yang tidak lari daripada mengulangi kesilapan jua. Alhamdulillah kami masih berkawan di FB ini. Ya, antara perkara yang paling saya takuti adalah apabila tersilap kata yang sehingga menyebabkan putus saudara. Kalau bahasa internet ni lebih dekat dengan fungsi "Block" atau "Unfriend".

Ilmu komunikasi ni teramat luas, yang saya sendiri memang tak pernah sempat terokai. Komunikasi ni ada seni dia, ada pantang larangnya. Tetap, ini semua pandangan peribadi saya sahaja. Mahu juga bercakap perkara yang tidak diketahui..

Disebabkan semua manusia berbeza pemikiran, tidak semua orang dapat menerima sesuatu pandangan sepertimana yang dikehendaki orang penyampai. Itu dari segi penerimaan, belum lagi apabila disalah fahami. Contohnya, kita cakap "A" tapi dia faham "B", dan bila kita cuba terangkan malah dia faham sebagai "C" pula. Sangat kompleks. Sehingga saya pun sudah semakin keliru apa yang saya ingin ketengahkan dalam entri kali ini. MasyaAllah 😅

Baiklah, harap adalah point dan manfaat yang boleh diambil oleh pembaca entri ini. Wallahu'alam, wabillahi taufiq wal hidayah.

Catatan,
MimRa.
09-10 Jamadilakhir 1442H,
22-23 Januari 2021.

"Pandanglah dengan pandangan cahaya,"

First edition: 23/01/2021

Monday, 18 January 2021

Pesta Ramadhan - Mirwana (039)

"Pabila Ramadan tiba
Sambutlah dgn gembira
Hadirnya Bulan Mulia
Insan tersenyum ceria

Menahan lapar dahaga
Masih gagah bertenaga
Takkan mengalah dan lemah
Kan terus melangkah

Walaupun diduga
Moga kan tetap tabah

Ramadan
Ramadan
Bulan Pesta Pahala

Ramadan
Ramadan
Bertemasya Ibadah

Bersama rebut segala
Barakah yang tersedia
Anugerah kurniaan Allah
Di bulan Rahmat yang indah

Bertarawikh berjemaah
Seiring rapatkan ukhwah
Banyakkanlah bersedekah
Fakir dan Yatim tak dilupa

Berdoa di tengah malam
Mohon ampun dosa silam
Berzikir dan beristighfar
Memburu Lailatul Qadar

Al Quran dibaca
Hayati semua ajarannya

Namun bila Ramadan pergi
Pasti ditangisi
Adakah kan bertemu lagi
Ramadan yang dinanti

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan

Bersama kita rebut Barakah
Kurniaan Allah di bulan Rahmat yang indah"

---

I loooove this song.
Lagu yang rancak, tapi boleh meleleh juga air mata mendengarnya pada tahun lepas, 2020. MasyaAllah... Ramadhan 1441H. Mungkin Ramadhan tahun ini akan ada persamaan dengan tahun lepas. Tapi tetap akan berbeza.

Cuma.. Ya Allah, izinkan kami untuk sampai ke bulan Ramadhan nanti. "Allahumma ballighna Ramadhan," Persiapkan kami untuk menyambutnya.

InsyaAllah. Aamiin.

Catatan,
MimRa.
06 Jamadilakhir 1442H,
19 Januari 2021.

First edition: 19/01/2021

Zikir Munajat PKP 1.0 (038 pt.2)

Bait doa yang cukup meruntun jiwa. Jom amalkan semula ❤️
Saya baru sedar bukan "Majlis Agama Islam" yang sediakan teks doa dan himpunan zikir ini tetapi Pejabat Mufti.

Catatan,
MimRa.
06 Jamadilakhir 1442H,
19 Januari 2020.

First edition: 19/01/2021

Saturday, 16 January 2021

PKP 1.0 & PKP 2.0 (038)

Tadi mak saya missed call. Tandanya, saya kena return call. Kalau in real, ibarat mak panggil nama kita, dan kita nyaut (sahut), "Saya!" Dan terus pergi dekat mak ❤️

Sedang saya bertukar khabar dengan mak, mak asyik kata line terganggu, putus-putus. Dan pada masa yang sama, surau belakang rumah sedang mengalunkan zikir munajat.

"Zikir Munajat" MasyaAllah. Sekarang dah PKP 2.0. Teringat saya kepada PKP 1.0 dulu. Lama kan... MasyaAllah.. Allahuakbar. Banyak episod-episod yang bersilih ganti sepanjang PKP 1.0. Episod = segala suasana, perasaan, perkara yang dihadapi, dialami, diuji dengan rindu, dan diberi. Sayangnya, saya belum pernah duduk dan cuba mencatat setiap peristiwa yang berharga itu. Dari bulan ke bulan. Dan sampailah ke hari ini, tiba pula PKP 2.0.

"Zikir Munajat" ni bagi saya nostalgik untuk PKP ini. Masa PKP 1.0. Bagaimana boleh lupa.. Semasa surau dan masjid mula dihentikan solat secara berjemaah, yang ada cuma azan. Kemudian, lepas azan, akan ada satu pengumuman. Tidak lama dalam beberapa tempoh, Majlis Agama Islam mula mengajak masyarakat untuk mengamalkan Zikir Munajat. Dan mula terdengar pada corong pembesar suara surau/masjid mula membacakan Zikir Munajat. MasyaAllah sayu. Tapi, duka di hati sedikit terubat dengan alunan zikir itu yang sampai ke telinga dan jiwa.

Dalam tempoh itu, saya masih bekerja dalam sektor paling penting semasa COVID-19 ni. Menjadi sebahagian dalam anggota kesihatan. Saya sempat melihat, menyaksikan dan mengalami kekalutan pada awal kehadiran COVID-19 di bumi ini dan bila ia sampai juga ke Malaysia. Klinik daripada menerima kunjungan yang ramai kemudiannya mula berubah-ubah disebabkan pengamalan SOP dari semasa ke semasa. Bila balik rumah, perkara pertama saya kena buat, cuci tangan di luar rumah menggunakan air sabun, kemudian melangkah pada petak lantai mozek yang saya hadkan untuk pergerakan saya ke tandas. Sepersalinan pakaian sudah disiapkan supaya balik kena terus mandi. Baju pun kena terus rendam dan cuci. Kemudian setelah selesai bersihkan diri, lantai yang dipijak tadi pula perlu di-mop. Langkah-langkah itulah menjadi rutin sehari-hari. Agak penat.. Sangat berjaga-jaga pada waktu itu. 

Bila malam, selepas Maghrib, alhamdulillah jiwa yang penat itu terubat dengan zikir munajat itu. Alhamdulillah, sempat juga saya sertai. Selain zikir munajat, di radio pula selepas Isya' dialunkan "Ratib al-Haddad" tapi saya tak ingat pula itu bermula semasa Ramadhan tiba atau bila. Itulah pertama kali saya mengenali pula amalan zikir "Ratib al-Haddad" dan.. kegemaran saya adalah bacaan oleh Ustaz Abdullah Fahmi. Ada masa, bila-bila saya akan buka melalui Youtube (berdurasi +-33mins). Walaupun tidak dapat ikuti sepenuhnya, cukup ia mententeramkan jiwa. Tapi sekarang kalau buka, kurang 'best' sebab terganggu dengan iklan-iklan yang nak kena alert pula dengan butang "skip". (Ya, sangat terganggu dengan iklan tu)

Saya bersyukur dengan tempat yang saya menetap sekarang. Syukur, sebab Allah bagi tempat yang tepat dan terbaik untuk saya. Sudah hampir 3 tahun (1 Feb, Hari Wilayah). Sebab apa, persekitaran yang masih terjaga dari segi kerohaniannya. Surau di belakang rumah ini, masyaAllah. Saya selalu kagum dengan orang-orang yang menghidupkannya tak kira masa. Bila surau hidup. Kampung ini juga terasa hidup. Saya yakin, ujian Swab yang saya pernah buat satu masa haritu, di mana semua orang yang terlibat disahkan negatif, salah satunya (one of) disebabkan rahmat Allah bagi pada penduduk kampung ini. Semoga Allah terus jaga dan jaga.

Apabila surau & masjid mula boleh beroperasi mengikut SOP, surau belakang rumah saya ini tukar 'tune' sikit. Dah tak buat zikir munajat. Tapi, mereka akan buat bacaan surah-surah pilihan. Kalau tidak silap saya, dimulakan dengan Surah Yaasin atau Surah al-Mulk, yang memang akan dibacakan SETIAP malam, antara Maghrib & Isya'. Kemudian mula tukar surah-surah lain apabila bertukar minggu. Yang penting, pasti ADA. Dan tibalah hari ini, saya mula perasan, mereka sudah mulakan semula zikir munajat itu kembali.

MasyaAllah. Saya ingat, dulu. Masa PKP 1.0, saya memang jaga betul zikir munajat itu. Saya cuba amalkan juga. Sampailah one day, masa rasa macam nak give up dengan kes naik apa semua, tetiba Allah kasi berita gembira kalau tidak silap masa tu pertama kali jumlah kes yang sembuh telah mengalahkan jumlah kes yang baru. Burst into tears masa tu. 

Hmm... Cukuplah dah coret panjang. InsyaAllah kalau ada kesempatan lagi, saya muatkan di sini. Harapnya tidak sia-sia. InsyaAllah.

Catatan, 
MimRa.
04 Jamadilakhir 1442H,
17 Januari 2021.

First edition: 17/01/2021

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...