Tuesday, 30 April 2024

Kenapa jiwa rasa kosong? (123)

(Entri ini panjang dan meleret - boleh skip ke kesimpulan. Tapi, dah alang-alang tengah termenung, baca sahajalah sampai habis)

Sebelum itu, bagaimanakah yang dikatakan "jiwa rasa kosong"?
- kerap termenung tanpa ada sesuatu yang difikirkan
- tiada rasa untuk berbuat apa-apa
- rasa rajin itu tiada, rasa malas pun tiada (mungkin ada)
- mula fikir tentang ada apa dengan dunia ni?
- buat apa nak bergaul dengan orang lain?
- ada ke orang yang sedar keberadaan aku sama ada aku ada, dan aku tiada?
- untuk apa aku perlu berusaha sedangkan tiada apa pun yang aku dapat?
- apa maknanya semua ini, tiada apa
- sia-sia sahaja kalau aku buat itu ini, biarlah aku begini

Tett! Cukup!

Kenapa? Why am I involving in this state?
- aku solat, aku doa, tapi still jiwa rasa kosong

Jika sebiji cawan kosong, ia akan kekal kosong jika tidak diisi.
Jika ia diisi dengan air mineral, penggunanya atau peminumnya dapat menghilangkan rasa dahaga.
Jika ia diisi dengan air manis, peminumnya merasakan sedap cuma jika berlebihan mengundang penyakit.
Jika diisi dengan air yang sudah basi, malah peminumnya terus akan jatuh sakit. Apatah lagi jika diisi dengan air najis, maka itu adalah makanan syaitan.

MasyaAllah, dari sebiji cawan pun kita boleh ambil pengajaran. Apatah lagi penciptaan kita manusia yang merupakan sebaik-baik kejadian

Jadi, kenapa rasa kosong?
- (diulangi) aku solat dan aku berdoa, tapi masih rasa kosong
- pertama sekali, syukur, dalam merasa kosong, kita masih sedar kita ada Tuhan, dan setidak-tidaknya, kita melaksanakan yang wajib

Sedarkah kita, rasa kosong merupakan suatu cabaran untuk kita atasi.
- tukarkan mod emosi yang dilihat sebagai ujian yang ditangisi kepada mengatakan bahawa itu adalah suatu cabaran untuk aku aku hadapi
- kalau dalam English tu, responnya adalah, "Okay, I take it!"
- akan aku buang rasa ini. Ia ibarat pacat yang menyedut darah kita semasa kita masuk hutan

Berbalik kepada cawan tadi. Aku solat dan aku berdoa, tetapi aku masih rasa kosong.
Aku minum air mineral tu, tapi tak rasa sihat pun. Aku baca bismillah sebelum minum tu!
- semasa kau minum tu, kau ada fikir tak kau minum untuk apa?
- aku minum untuk hilangkan dahaga dan sebab kalau minum air manis, boleh tambah berat badan aku
- baik, kemudian kau pun minum.. gulp..gulp..
- ahh, alhamdulillah lega. Tapi kejap je lepastu, haus balik.
- kalau dah haus tu minum lah lagi!

Sebenarnya nak kata yang bila kita buat sesuatu kita kena sentiasa kaitkan dengan tujuan kita buat.
Dalam Islam, kita ada tujuan duniawi dan tujuan ke akhirat.
Kita mungkin fikir kita minum air, air tu nanti akan bertukar jadi peluh atau najis dan itu jelah.
Tapi, kita sedar tak, sebelum air tu bertukar jadi najis atau peluh, air tu juga lah yang beri kita tenaga untuk kita lakukan sesuatu.
Orang yang berpuasa diberi air pun sudah memadai menghilangkan rasa perit puasa.

"beri kita tenaga untuk kita lakukan sesuatu"
- tenaga
- lakukan sesuatu
- cawan yg kosong -> isi air & minum -> beri tenaga -> lakukan sesuatu

"rasa kosong -> solat & doa -> rasa kosong -> tidak melakukan sesuatu"
- semasa kita solat dan doa, adakah kita meletakkan diri kita sebagai hamba, atau kita meletakkan diri kita sebagai tuan?
- seorang hamba itu karakternya merendah diri, turuti perintah, dan tidak memberi perintah

(Bersambung)
*bincangkan

Catatan, 
MimRa
[22 Syawal 1445H]
Rabu, 01.05.2024 (Selamat Hari Pekerja!)

Wednesday, 17 April 2024

Persediaan ADMY Bhg.2 (122)

Pada cuti raya yang lepas, menyentuh tentang persiapan sesi latihan nanti, selain perihal pakaian, kakak saya bertanyakan saya tentang alat solek atau dikenali sebagai make-up. Dipanjangkan cerita, saya memang sudah lama tidak mengenakan alat solek di muka melainkan rutin penjagaan muka yang sekadarnya serta mengenakan sedikit gincu bagi tidak menampakkan muka yang tidak berwarna (pucat/lesu). 

Persediaan ADMY Bhg.2: Alat Solek

Tanpa sempat saya membalas, kakak saya terus memberitahu bahawa dia berkenan dengan dua produk keluaran D'Herbs dan berhasrat untuk membelikan untuk saya sempena penglibatan saya di akademi nanti. Dijangkakan bahawa para pelatih akan perlu "menunjukkan muka", oleh itu sesuailah pada waktunya untuk saya kembali mengadakan kelengkapan alat solek yang sederhana mencukupi.

Sehubungan itu, izinkan saya merakamkan penghargaan kepada kakak saya itu dengan menampilkan di sini dua alat solek itu sekaligus sebagai bahan tatapan suatu hari nanti.

Taraa..!
        
Sekali dengan butiran di kotak saya muatkan di sinii, mudahlah untuk saya rujuk semula khasiat dan cara penggunaannya nanti. Pesan kakak saya itu, untuk membersihkan bahan-bahan ini bagi tujuan berwuduk atau taharah yang lainnya, disarankan untuk menggunakan wet tissue kerana lebih mudah ditanggalkan berbanding hanya berharap kepada pencuci muka sahaja.

Siapa tahu, suatu hari nanti ada yang tertanya-tanya tentang kelainan corak di muka, barangkali disebabkan dua bahan di atas ni lah. Hehe.

InsyaAllah, andai ada kesempatan waktu dan pertambahan alat solek, mungkin saya boleh adakan siri kedua tentang tajuk entri kali ini. Menarik, bukan? Dalam kelihatan duniawi, kita ada pedoman ukhrawi.

Wallahu'alam.

"Hidup indah dengan Islam"

Catatan,
MimRa.
[08 Syawal 1445H]
Rabu, 17.04.2024.

Sunday, 14 April 2024

Persediaan ADMY Bhg.1 (121)

Bismillah. Disingkatkan mukaddimah bagi entri pada kali ini, Alhamdulillah saya telah mendapat tawaran sebagai Pelatih Akademi Daie Muda Yadim 2024. Bermakna, InsyaAllah saya akan kembali bermukim di Institut Latihan Dakwah Yadim (INDAH) selama tiga (3) bulan lagi pada pertengahan tahun ini.

Pelbagai persediaan perlu dilakukan agar apabila tiba saatnya nanti, saya telah bawa bekalan yang mencukupi. Antaranya adalah mempersiapkan bekalan buku-buku rujukan untuk dirujuk atau diulang-ingati. Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian saya selama lima (5) hari ujibakat yang lepas, saya belum menemukan sudut rujukan seakan-akan perpustakaan yang boleh menjadi tempat sandaran tatkala saya menemukan kebuntuan fikiran.

Persediaan ADMY Bhg.1: Buku-buku di kampung

Memandangkan malam ini dijangka malam terakhir saya berada di kampung, saya telah memilih buku-buku di dalam gambar di bawah ini untuk dibawa bersama. Buku-buku yang bertemakan dakwah, pemuda dan umat, serta muslimah.


Setiap buku ini ada objektif pemilikannya yang tidak dapat saya selitkan pada entri kali ini. Mungkin kalian boleh meneka?

Sekian.

Catatan,
MimRa 

[06 Syawal 1445H]
Isnin, 15.04.2024

Thursday, 28 March 2024

Soalan Juri CDMY 2024 (120)

Bismillah.
Saya masih terngiang-ngiang dengan dua soalan yang dikemukakan juri semasa temuduga Calon Daie Muda Yadim 2024 yang berlangsung 26 Mac 2024 yang lepas di Pejabat Yadim, Institut Latihan Dakwah Yadim (INDAH).

Sebagai seorang yang sukakan diskusi yang melibatkan critical thinking dan problem solving, penamatan sesi temu duga tanpa maklum balas (yang memuaskan hati) terhadap jawapan saya, membuatkan topik itu seolah-olah tidak ditutup. Itulah lumrah temu duga kan, ia bukan diskusi. Ia adalah ujian saringan.

Baik.

Soalan 1: Bagaimana anda ingin membantu seorang gay yang meminta pertolongan daripada anda, bahawa dia ingin berubah kepada yang lebih baik, namun setiap kali berusaha untuk tinggalkan, pasti dia gagal dan terus mengulanginya?

Soalan 2: Barkaitan isu buli di sekolah asrama sehingga melibatkan kematian mangsa buli, pada pendapat anda bagaimana cara untuk membendung masalah ini?

Antara dua soalan ini, soalan no.2 cukup merunsingkan. Kerana ianya lebih dekat dengan hati, apabila saya memikirkan masa depan anak-anak buah saya yang barangkali akan memasuki sekolah berasrama juga.

Apa sebenarnya cara yang terbaik?
Soalan ini terus tidak henti mendatangi.

Saya sempat membincangkan soalan ini bersama adik-adik latihan industri di tempat kerja. Salah seorangnya mencadangkan agar jika mahu anak selamat daripada menjadi mangsa buli, usahlah hantar di sekolah asrama.
Sorotan daripada cadangan ini, saya dapat mengembangkan jawapan-jawapan lain iaitu:
1. Penyediaan modul ketahanan diri yang mengajar murid atau pelajar untuk berani. Hal ini menjawab situasi mangsa yang terus dibuli kerana takut untuk melaporkan kepada guru.
2. Dari sudut imaginasi atau inovasi, saya membayangkan andailah ada sensor seperti alat pemadam kebakaran jenis sprinkler yang berupaya mengesan situasi buli (sepertimana sprinkler mengesan asap) lalu memberi isyarat kepada bahagian keselamatan sekolah. Namun, imaginasi ini jauh daripada realiti, tetapi saya tetap yakin ia tidak mustahil. Cuma apabila menyebut tentang penggunaan CCTV atau teknologi yang lain, pasti akan memakan kos yang tinggi. Saya juga ada menyebut tentang sejenis butang keselamatan yang kebiasaannya diletakkan pada kaunter bayaran di pasaraya. Persoalannya adakah butang itu perlu diberi kepada semua pelajar? Lalu, terasa tidak realistik.

Dalam kesempatan ini, turut ingin mengemukakan jawapan saya kepada juri pada tempoh hari untuk ingatan saya sepanjang masa, seperti di bawah:
1. Tingkatkan pengawasan sekolah oleh warden yang bertugas terutama sekali pada waktu malam, yang disyaki waktu paling kerap berlaku pembulian.
2. Tingkat program kerohanian yang menekankan aspek persahabatan.

Wallahu'alam.
Sekian sahaja catatan kali ini.
Semoga saya berjaya menambat hati juri, aamiin.

Catatan,
MimRa.
[18 Ramadan 1445H]
28.03.2024

Friday, 1 March 2024

IKIMFM Inspirasi Utama saya (119)

Alhamdulillah pada malam 1 Mac 2024, saya direzekikan peluang untuk menghadiri sebuah slot perkongsian oleh Yusuf Islam (Cat Steven) bertempat di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Peluang yang saya pasti tidak semua orang dapat. Jadi, saya ingin coretkan di sini sesuatu yang telah memberi kesan yang sangat mendalam pada malam itu.
 
Sepatutnya, saya telah terlebih dahulu terkesan dengan pengisian oleh brother Yusuf Islam, dan saya telah merancang untuk menuliskan dapatannya. Namun, tidak disangka, ada sesuatu yang lain yang telah membuat dada senak memikirkannya, iaitu penyesalan tidak bergambar dengan seorang pengacara radio kegemaran saya iaitu IKIMFM, Inspirasi Utama Anda!
 
Siapakah dia? Dialah saudara Suffian Amrin.
 
Sebenarnya, siapa dia itu bukanlah sesuatu yang penting untuk saya begitu ingin bergambar dengannya lebih-lebih lagi dia adalah seorang lelaki, tetapi ketahuilah itu adalah suatu persepsi yang agak silap bagi saya apabila menyedari bahawa dia adalah salah seorang penyumbang kepada inspirasi saya!

- Membesar dengan IKIMFM

Radio IKIMFM merupakan radio utama yang saya akan dengar, di mana saya membesar dengannya, terdidik dengannya, dari saya kecil sehingga sekarang saya dah muda belia dan berperanan pula menyumbang kepada ummah. Semasa kecil (fasa sekolah rendah sekitar sebelum 2007), saya hanya terbiasa dengan dendangan slot tafsir Al-Quran yang diisi oleh Ustaz Datuk Dr. Haji Zahazan ketika bersiap untuk ke sekolah, sehinggalah kini yang terlalu banyak slot IKIMFM yang banyak mewarnai minda saya terutamanya ketika memandu kereta yang bernama Medina.

- Tiada pilihan lain yang setaraf

Saya cuba juga untuk menukar siaran radio lain pada masa-masa tertentu, tetapi, belum ada yang dapat menambat hati dan jiwa sepertimana IKIMFM. Pernah, ada suatu ketika yang ia terlalu banyak mainkan iklan tajaan yang agak serabut juga rasa apabila mendengarnya ulang-ulang. Tetapi, alhamdulillah sekarang IKIMFM dah banyak penambahbaikan. Saya masih ingat satu temubual yang diadakan pada awal tahun ini bertemakan ‘rebranding’ yang sedang giat dilakukan oleh IKIMFM, antara dapatan saya, usaha ‘rebranding’ ini tercetus apabila IKIMFM meraikan idea orang muda, masyaAllah. Sangat terharu saat mendengarnya. Terharu sebab saya faham, bukan mudah sesuatu idea untuk melakukan perubahan itu diimplementasi terutamanya melibatkan ramai pihak, dan generasi dalam satu-satu institusi. But, you made it, IKIMFM! MasyaAllah. [saya tahu, hanya pendengar-pendengar setia radio IKIMFM yang dapat ‘relate’ what am I talking about = orang-orang terpilih]

- Inspirasi Utama Saya

Kembali kepada penyesalan saya tadi. Saya ucapkan tahniah buat DJ Pian sebab keberadaan beliau di majlis malam itu menjadi asbab untuk saya merenungi segala jasa IKIMFM. Anda telah menjadi duta IKIMFM dengan jayanya. Mana tidaknya, pagi-pagi buka radio insyaAllah kebanyakan hari pasti suara dialah yang berkumandang menceriakan slot Inspirasi pagi bersama pengacara gandingan yang lain. Ingin saya zahirkan juga rasa yang sama apabila mendengar pengacara-pengacara IKIMFM yang lain. Anda semua inspirasi saya, terutamanya pengacara yang memang sudah bertahun-tahun suaranya keluar ke udara. Maaflah saya tidak tuliskan di sini kerana sengaja hendak spotlight kan DJ Pian kerana dia berjaya wakili IKIMFM mahupun kumpulan Saujana atau tidak kiralah jika niat asal dia datang kerana beliau sendiri meminati Yusuf Islam. Tetapi, saya ingin katakan, kehadirannya beri impak.
 
Sepertimana, saya selalu teringat kata-kata seorang ustaz yang memetik hadis Nabi s.a.w. mafhumnya “Seseorang yang mampu menjadi asbab hidayah kepada satu orang lain adalah lebih baik daripada memiliki unta merah”
 
Saya yakin, semua pengacara hatta jentera di sebalik tabir IKIMFM pasti ada fasa-fasa tertentu diuji Allah s.w.t.barangkali dengan datangnya fikiran sejauh mana anda memberi manfaat kepada ummah. InsyaAllah yakinlah, Allah pasti akan nilai usaha keringat anda walau sebesar zarah. Pujian yang saya berikan di sini bukanlah seberapa berbanding sekecil zarah usaha anda; mungkin saya hanya 0.00001%.


Kredit (pujian) untuk semua pengacara. Ketahuilah setiap kali saya mendengar lontaran suara anda, sama ada kalian sedang bergandingan dengan pengacara yang lain mahupun ketika seorang diri mengemudi konti, saya sentiasa belajar cara kalian menyusun kata, menyeimbangkan giliran bercakap, memastikan ucapan yang dilontarkan itu ada isinya, dan apa jualah lagi yang seangkatan dengannya.
 
Manakala kredit bagi sesiapa sahaja di sebalik tabir, termasuklah pencetus kepada iklan produk yang diiklankan sendiri oleh pengacara dengan style yang agak ‘unik’ dan menjadi diskusi antara saya dengan keluarga - juga kapsul-kapsul hadis, rakaman nasihat para asatizah, alunan zikir-zikir dan bacaan Al-Quran yang saya sukar nak cari di mana-mana tempat lain, pengendali para jemputan, dan kesemuanyalah. Maaf saya tidak mampu nak senaraikan satu per satu atas had ‘brainstorm’ secara seorang diri.
 
Alhamdulillah, masyaAllah, barakallahufik!
 
Semoga kalian tetap maju jaya, bermotivasi dan yang penting terus menjadi Inspirasi Utama saya dan seluruh rakyat Malaysia, juga siapa jua yang mendengarnya!
 
Jazakumullahukhairan kasira~
 
---
 
- Hasrat yang tersimpan:

Saya selalu mengimpikan dapat bersemuka dengan Naqib, Ustaz Zulramli di dalam Usrah Nurani untuk mendengar nasihatnya secara terus dan mendapatkan ulasan daripada beliau terhadap apa jua ucapan yang saya lontarkan berkaitan topik yang dikupas bersama (barangkali tentang dakwah & anak muda).
Dengan ustaz Zulramli, saya memerhatikan (belajar) cara beliau mengendalikan usrah mengikut checkpoint masa yang telah ditentukan, meraikan ahli-ahli usrah serta sifat tawaduk yang ada pada dirinya.
 
Slowly but surely and insyaAllah that day will come, dengan restu Allah.
 
Sekian.
 
Catatan,
MimRa.
[21 Syaaban 1445H]
02.03.2024
 
**Antara perkara yang saya tertanya-tanya ketika melihat DJ Pian pada malam itu adalah, siapa yang ada dekat dengannya ketika itu? Muka macam Hazamin Inteam tapi bukan.. Btw, saya juga peminat lagu-lagu nasyid termasuklah yang dinyanyikan oleh kumpulan lejen, Saujana! (yang selalu terkeliru dengan NowSeeHeart)

Tetapi, Qaddarallahu wa masya fa’al, sifat ‘malu tidak kena tempat’ membuatkan saya terlepas peluang bergambar dengan wakil inspirasi sepanjang hayat. Suatu kerugian yang tidak mahu diulangi lagi.

Thursday, 29 February 2024

Tambat (118)

Roh amal merundum.
Ini belum Ramadan. Ianya, beberapa hari menjelang Ramadan.
"Ramadan nanti syaitan dibelenggu, mudahlah nanti."
Apa jaminan, sehingga kamu begitu yakin bahawa kamu akan laluinya dengan mudah?
... Jika sebelum bertemu Ramadan kamu belum dapat memastikannya?

Ini pasti kerana dosa-dosaku.
Maksiat yang aku lakukan terhadap Allah menghalang cahaya iman menembusi dada.
Lalu, amal merundum. Nafsu tidak dikekang.

Saya terimbau satu babak di dalam sebuah filem bagaimana si fulan itu dihukum. Tangannya diikat dan digantung. Lalu, si penguasa melibas badannya menggunakan cemeti. Andailah aku boleh melibas nafsuku begitu. Agar dia (si nafsu) merasa sakitnya menanggung derita bermaksiat.

Tapi.. kasihan pada tubuh. Si tubuh tidak bersalah. Yang salah adalah si pengemudi tubuh. Saya sering membayangkan bahawa setiap anggota tubuh sedang bekerjasama antara satu dengan yang lain bagi terhasilnya suatu imej, susuk tubuh yang beriman dan soleh kepada Tuhannya. Kaki bergerak seperti sepasang gear yang menggerakkan kincir air.

"Jika baik segumpal daging itu, maka baiklah anggotanya."
Hanya kerana kamu gagal mengawal dan mengekang kehendak duniawimu, lalu anggota lain turut akan menderita keranamu.

Cukup. Berhentilah setakat itu.
Usah tunggu dan memanjangkan masa lagi.
Bertindaklah mengubahnya.
Tepislah ajakan nafsumu itu.
Tambat, jika itu yang boleh membantu.

Raikan imanmu. Imanmu perlukan perhatianmu.
Bahagiakanlah dia.

Catatan,
MimRa.
[19 Syaaban 1445H]
29.02.24
#rancangramadan

Maksiat = lalai daripada mengingati Allah

Wednesday, 21 February 2024

Kita di celah mana? (117)

Mereka kuat di celah kelaparan, kezaliman, kesempitan, kesakitan dan sebarang kemungkinan (syahid).

Kita lemah di samping keselesaan, kekayaan, kesenangan dan kekenyangan, yang tidak putus.

Hati apakah yang kita miliki, melihat penderitaan mereka hanya sekadar seperti melihat drama di kaca tv? Ia datang dan berlalu pergi, tanpa ada rasa belas ihsan mencengkam hati?

Lalu, kita menganggap kita akan #menangbersama tanpa berbuat apa-apa?

Kita tidak bercakap tentang apa yang kita beri kepada mereka, tetapi kita bertanya tentang:

apa yang kita buat pada diri kita untuk 'beri' kepada mereka?

Bait kata Rasulullah s.a.w. (mafhumnya), "Jika kamu tahu apa yang aku tahu, maka kamu akan lebih banyak menangis daripada banyak ketawa."

~CM~

[12 Syaaban 1445H]
22.02.2024

Bezanya sambutan Maal Hijrah dengan Tahun Baru Masihi (131)

Alhamdulillah. Telah masuknya tahun baharu Hijrah, 1448 Hijrah.  Alhamdulillah, dikurniakan pinjaman nyawa yang merupakan keluasan kesempata...