Thursday, 6 February 2020

Bacalah Signboard! (012)

Semalam, terjadilah satu perkongsian bersama rakan-rakan sekerja mengenai sikap orang awam yang tidak peka dengan tatacara kebiasaan. Tatacara kebiasaan yang menjadi topik adalah kepekaan untuk mengeluarkan siap-siap kad pengenalan serta dokumen berkaitan semasa pendaftaran. Antara ragam orang awam adalah apabila sudah sampai giliran mereka untuk mendaftar, mereka datang ke kaunter pendaftaran, kemudian, duduk. Lalu, si pendaftar lihat muka orang awam, dan orang awam tu pun tengok muka kita (si pendaftar). ‘Eh, lahai… Takkanlah tak tahu, nak daftar, kenalah tunjuk pengenalan diri yang sahih lagi original.. haih..’ begitulah kata hati dan cubaan memberi isyarat menggunakan mata. Tidak juga difahami. “IC encik…”, barulah terkial-kial, “Oh, IC, kejap… kejap..” responnya. Alhamdulillah, mulut masih bertahan, belum pernah lagi berbuih dek mengulangi situasi itu kepada hampir majoriti orang awam yang hadir mendaftarkan diri.

Baiklah. Memandangkan kami berkongsi perkara yang sama, saya cubalah memikirkan apa masalah sebenar dan kebarangkalian solusi yang boleh diusahakan. Jadi, saya teringat bahawa semasa saya pergi ke JPJ untuk memperbaharui lesen memandu, saya perasan dekat setiap kaunter (ada 6 ke 7 kaunter) tertampal terlalu banyak tanda peringatan untuk orang awam yang datang untuk berurusniaga. Sebagai contoh, “Sediakan kad pengenalan bagi setiap urusniaga” dan “Sediakan wang yang secukupnya”. Perkara itu telah menarik perhatian saya, dan saya rasa mungkin di tempat kerja saya juga wajar untuk berbuat sedemikian (selagi masih sesuai dengan kondisi kaunter).

Petang itu juga, semasa kaunter pendaftaran sudah ditutup, saya buka Microsoft word dan berjaya menghasilkan kertas tanda yang mempunyai ayat peringatan yang bersesuaian dengan perkhidmatan di kaunter kami, dengan bertukar idea kesesuaian perkataan yang digunakan dengan rakan sekerja yang lain. Mungkin ada yang kata, “Nanti kalau kita tampal pun, diorang bukannya baca.. Ni tanda yang besar ni pun dia tak baca,”. Tak mengapalah, kita cuba, tidak salah kan mencuba? (Tiba-tiba teringat lagu Sufian Suhaimi.. ehem..). Saya tampal kertas peringatan itu (potongan kertas tidaklah terlalu besar) pada belakang hampir kesemua monitor komputer pendaftar di kaunter pendaftaran.

HASIL PEMERHATIAN

Haha (ketawa sikit). Saya tidaklah menjangkakan, “kill two bird with a stone” (betul ke ayat tu?). Saya tidak sangka pemerhatian saya yang ‘mengharapkan orang awam bersedia dengan dokumen yang diperlukan’ menghasilkan kesimpulan yang lain. Iaitu, SIKAP MEMBACA ORANG KITA. Aduhai, sedih sungguh. Mula-mula saya ingat usaha saya berkesan, namun, bila saya tanya orang sebelah macamana dengan hari ini? Jawapannya, “sama saja, diorang tak baca pun! Nak kena minta juga,”. Ya, mustahillah tak ada perubahan. Takkanlah teruk sangat tak ada yang membaca langsung. Ya, kita tak adalah kata tak ada yang baca langsung. Cuma, jumlah mereka masih tidak memberangsangkan. Walaubagaimanapun, dengan sikap positif yang saya pilih, saya yakin, usaha ini sedikit sebanyak membantu. Sebab, saya sempat membuat catitan pada secebis kertas (seperti dalam gambar) untuk membuat kiraan. Secebis kertas catitan itu membuatkan saya lebih teruja untuk menerima orang awam pada ini. Sebab ada motif. 

Mula-mula saya ingat nak catit setiap orang yang mendaftar dengan saya dan berapa orang yang tak peka dengan kertas tanda itu. Namun, saya terpaksa tambah lagi satu kategori, iaitu, “Dah nampak, dah baca, tapi tetap tanya ‘nak ke?’” masyaAllah…. manusia. Sabar sahajalah.

HASIL CATITAN

Berbanding sebelum ini, saya rasa lebih kurang 85% orang awam yang mendatangi saya untuk mendaftar, yang tidak reti menunjukkan kad pengenalan atau sijil kelahiran beserta dokumen lain yang berkaitan, berubah kepada sebaliknya. Hanya 29% (17/59) orang awam yang tidak bertindak mengikut kertas tanda tersebut. Manakala selebihnya sudah bersedia dengan dokumen yang sepatutnya. Bagi yang tidak bertindak seperti yang diingini itu, saya tidak segan untuk tunjuk kertas berkenaan dan sebut, “ ‘mykid’ puan, kat sini ada tulis,”. Kemudian mereka akan jawab, “Oh..” “Oh, saya tak perasan,” Dan, whatsoever. Sabar sahajalah.

RUMUSAN KESELURUHAN

Malu sebenarnya bila kita refleksi kepekaan rakyat Malaysia di tempat awam. Melambangkan aras pemikiran yang tidak tahulah aras ke berapa? Ketiga? Kedua? Keempat? Hmm. Tidak dinafikan, yang kita tak boleh menunding jari kepada orang lain. Sedangkan, kita sendiri ada masanya kita pula yang menjadi orang awam di tempat yang lain. Mungkin kita juga tidak terkecuali membuat tindakan yang dikategorikan dalam ‘tidak peka’ dengan tatacara setempat. Yalah. Nama pun orang awam. Orang awam ibarat tetamu, dan kita yang berkhidmat ini ibarat tuan rumah. Walaubagaimanapun, dua-dua tetap perlu menjaga budi bahasa dan adab pada ‘kaki’ masing-masing. Kalau jadi tetamu, bila tuan rumah kata itu kena ikut, itu boleh, ini tak boleh, maka itulah yang kita perlu ikut. Kalau jadi tuan rumah pula, janganlah mengherdik tetamu bila tetamu tidak tahu. Itu budi bahasa juga namanya. Begitulah. 

K.. Refresh balik, bila kita pergi kat mana-mana, sebelum nak bertanya atau dapatkan perkhidmatan, perhatikan dahulu sekeliling. Ada atau tidak tanda arahan yang kita patut ikut (dekat depan, kanan, kiri, atas, bawah & belakang pun)? Contohnya, kalau pergi mana-mana klinik untuk temujanji, cuba lihat, ada ke bakul atau apa-apa tanda yang suruh kita letak buku temu janji di mana-mana? Kalau dah nampak ada, terus sahaja buat, tak perlu tanya-tanya lagi. Melainkan, kita mula rasa “something wrong somewhere,” (contohnya nama tak dipanggil-panggil sedangkan orang yang datang kemudian daripada kita sudah beransur).

*Rumusan pun panjang, apa nak jadilah. Haha. Maaf!

Sekian sahaja. Moga ada pengajaran.

Catatan,
MimRa.
6 Februari 2020.

First Edition: 06/02/2020

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...