Alhamdulillah, diberi kesempatan menghadiri usrah yang kebiasaannya dijadualkan pada setiap hari ahad sekitar 3.00 petang. Semalam merupakan usrah kedua bagi tahun 2024 ini. Pada usrah pertama bagi tahun ini yang diadakan pada 7 Januari 2024 yang lepas, bertemakan tadabbur Al-Quran kami bincangkan ayat 6 hingga ayat 8 surah Al-'Alaq.
Bagi yang belum 'familiar' dengan usrah, untuk pengetahuan, usrah ini sepatutnya diadakan mengikut modul. Jadi setiap modul akan ada pecahan tema atau tajuk untuk kita fokuskan perbincangan pasa satu-satu pertemuan. Bilangan ahli usrah terserah kepada ketua usrah atau kita panggil "naqibah" mahupun organisasi yang menggerakkan usrah. Contoh bagi kumpulan usrah saya, ahli kami sekitar tiga hingga lima orang. Kebanyakan masa, dari segi kehadiran secara fizikal (face-to-face) cukup tiga orang sahaja kami akan teruskan pertemuan. Bagi masa yang tidak cukup tiga orang atas kekangan tertentu, kami terpaksa tunda pertemuan pada minggu berikutnya.
Gambar: Pertemuan kami kali ini diadakan di Taman Sunsuria City, Sepang. Sedang saya ingin menambah refleksi dalam perbincangan, tiba-tiba hujan. Maka, bergegaslah kami bangkit, kemas dan menamatkan pertemuan. Kehadiran: Cik Lida (naqibah), Kak Ani dan saya.
Begitulah sedikit pengenalan tentang usrah semasa yang saya sertai. Ingin saya sebutkan di sini, tujuan catatan usrah ini bukanlah menjelaskan atau syarah hadis atau petikan yang ditetapkan tetapi mencatat inti (isi penting) kepada diskusi yang jarang dibincangkan dalam perbualan harian.
- Hadis Pertama Al-Adab
Pada minggu ini, kami bincangkan tema hadis adab yang bertajuk "Berbakti kepada ibu bapa dan menghubungkan silaturrahim" dengan merujuk kepada buku Modul Pembangunan Insan 1. Hadis penuh saya salinkan di bawah:
"Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: "Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah?" Baginda s.a.w. menjawab: "Sembahyang dalam waktunya." Beliau bertanya lagi: "Kemudian amalan manakah pula?" Baginda s.a.w. menjawab: "Kemudian berbakti kepada ibu bapa." Beliau bertanya lagi: "Kemudian amalan manakah pula?" Baginda s.a.w. menjawab: "Berjihad di jalan Allah." Beliau berkata lagi: "Baginda s.a.w. telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda s.a.w. menambah lagi, pasti Baginda s.a.w. menambah untuk saya." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
- Saudara dan kawan kepada ibu bapa
Cik Lida berkongsi ilmu yang didapati daripada seorang ustaz bahawa apabila ibu bapa kita telah meninggal dunia, antara bakti berterusan yang boleh dilakukan adalah kita menziarahi saudara mara serta sahabat-sahabat mereka.
Mudahkah kita untuk mengenali apatah lagi menziarahi suadara dan sahabat-sahabat mereka seandainya ketika hayat mereka kita jarang 'get involved' dalam aktiviti tersebut? Jadi, pengajaran yang saya dapati adalah, bagi saya satu-satunya yang masih ada kedua ibu bapa di dalam pertemuan kali ini, kita patut mengenali sertai terlibat dalam aktiviti ziarah dari sekarang (ketika mereka masih hidup) supaya kita dapat menunaikan bakti berterusan tatkala alam antara kita dan ibu ayah dipisahkan. Tidak kiralah waktu bila, contohnya pada hari raya, ketika mereka menghadiri majlis ilmu di surau, majlis keramaian, kenduri, dan lain-lain. Cabarannya, anak muda sekarang (termasuk saya), kita kurang minat nak sertai majlis seperti itu, kan? Jadi, fikir-fikirkanlah apa yang kita perlu lakukan tindakan.
- Akhlak indah Nabi s.a.w.
Jika kalian perasan, hujung hadis di atas disebutkan bahawa jika sahabat r.a. itu meminta lebih kepada Nabi s.a.w. pasti Baginda s.a.w. akan memberikannya.
Kami sempat sama-sama mendatangkan kembali ingatan pada akhlak Nabi s.a.w. yang sentiasa melayan sesiapa sahaja yang mendatangi dan berhajat kepada Baginda s.a.w. tidak kiralah hajat berbentuk nasihat mahupun hajat berbentuk fizikal yakni harta, makanan dan sebagainya. Dan tidak kira juga siapa yang mendatangi Baginda s.a.w.; sahabat, Arab badwi, hamba, raja, orang kafir, munafik dan musuh.
MasyaAllah indahnya akhlak Nabi s.a.w.. Tiap kali ingin bercerita tentang akhlak indahnya, pasti akan tersenyum-senyum💗
Kita kena ikut dan usahakan akhlak dan sunnah ini semampunya, insyaAllah.
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad.
- Sikap anak-anak
Memandangkan jarak umur kami agak jauh iaitu 20 ke 30 tahun, sudah tentu saya ini adalah umur anak-anak mereka. Cik Lida dan Kak Ani meluahkan rasa ambil berat kepada sikap anak-anak zaman ini yang mereka sendiri lalui di mana anak-anak ini sukar untuk menerima teguran. Jika ditegur, ada jawapannya. Cik Lida memetik juga ayat Al-Quran yang menyebut tentang perkataan "Ah" yang merupakan sekecil-kecil 'derhaka' (perkataan pilihan saya) kepada ibu bapa. Mereka sama-sama berkongsi ujian besarlah bagi mereka yang menjaga ibu bapa yang "bedridden"; terutamanya saat mencuci najis mereka - dan tetaplah perlu "behave" daripada perilaku yang membawa kepada makna "ah" itu. MasyaAllah.
Mereka bertanya kepada saya sebagai level anak-anak, bagaimana sikap anak-anak hari ini boleh jadi sedemikian, iaitu sukar terima teguran? Memandangkan mereka juga ada menyebut tentang ibu bapa hari ini yang tugasan mencari rezeki bukan sahaja dihadkan pada suami sahaja - bermaksud, mereka merupakan wanita yang berkerjaya; bukan suri rumah, saya menyebutkan kebarangkalian itu menjadi faktor sedikit sebanyak kepada sikap yang tumbuh pada anak-anak.
Mereka turut bersetuju, apabila mengetahui saya memiliki ibu yang berkhidmat sebagai suri rumah. Kata mereka, cukuplah apabila mendengar bahawa ibu saya yang memasakkan untuk keluarga; air tangannya yang mengalir beserta zikir dan selawat yang dibaca itu merupakan sentuhan signifikan yang membentuk anak-anak. Begitu juga kesempatan dan kelapangan masa mereka (ibu suri rumah) untuk meluangkan masa mendidik anak-anak di rumah. Mereka menzahirkan 'rasa rugi' atas kekurangan itu bagi ibu yang berkerjaya dan tempoh anak-anak membesar.
Cik Lida sempat berkongsi tentang stigma hari ini bahawa segelintir masyarakat termasuk dalam kalangan sesama keluarga sendiri memandang rendah wanita yang adan tahap pendidikan yang tinggi tetapi meneruskan kehidupan sebagai suri rumah. Tidak, golongan ini sepatutnya tidak perlu bersedih dengan tanggapan orang ini kerana kebaikannya jauh lebih besar dalam pendidikan dan pertumbuhan anak-anak.
Cik Lida tetap menekankan bahawa walaupun rasa ralat dan bingung sering mendatangi para ibu bapa yang berdepan dengan sikap anak-anak yang disebutkan, mereka masih ada satu harapan iaitu melalui doa kepada Allah s.w.t.. Doa supaya Allah lenturkan sikap yang tidak baik di sisi Al-Quran. Ya, sudah tentu. Doa itu senjata, apatah lagi doa ibu. InsyaAllah moga kita yang bergelar anak ini diberikan hidayah dan taufiq oleh Allah s.w.t. dalam memperbaiki bakti kepada kedua ibu bapa kita sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
- Fasiliti solat hari ini
Kak Ani menyebut tentang kemudahan fasiliti surau atau ruang solat pada hari ini yang jauh lebih baik berbanding dahulu kala. Jika dahulu, ada yang sanggup terlepas waktu solat disebabkan berhajat untuk solat hanya apabila sampai di rumah tetapi pada hari ini sudah banyak fasiliti surau dia lebuh raya, mahupun stesen minyak petrol bagi yang bermusafir atau yang melakukan penjalanan jauh. Jadi, apa alasan untuk tidak solat pada waktunya? Jawapannya bergantung kepada sejauh mana seseorang itu memandang penting kepada ibadah solat itu sendiri. Tidak kiralah ketika kita seorang diri mahupun kita sedang bersama orang lain. Sama ada kita yang terikut dalam kumpulan orang yang tidak mementingkan solat, atau kita menjadi asbab orang lain sedar bahawa solat itu penting dengan mendahului amalnya.
- Prioriti
Ketika saya ingin menzahirkan kesedaran kepada prioriti solat pada waktunya sebelum berbakti kepada ibu bapa, saat itulah hujan turun. Haha. MasyaAllah. Jadi saya ingin sambung di sini.
Ketika sama-sama membaca dan menelusuri topik ini, saya sedar bahawa walaupun topik ini fokus kepada bakti kepada ibu bapa, tetapi ia tidak mengenepikan huraian kepada dua isi penting yang lain iaitu solat pada waktunya dan jihad di jalan Allah.
Solat pada waktunya itu sususannya lebih utama berbanding yang lagi dua itu. Saya melihat pada sisi mujahadah. Jika dalam perbincangan tadi kita sebut tentang solat dan bakti pada sudut luaran, bagaimana pula yang 'di dalam'? Kedua-dua amal itu perlukan mujahadah yang melibatkan hablumminallah dan hablumminannas. Solat itu sifatnya, kualitinya hanya diri kita sendiri tahu bagaimana kita mementingkannya. Same goes to another level yang kita perlu berganjak daripada mengawal diri kita kepada kita perlu berinteraksi pula dengan orang lain.
Ketika solat, kita hanya mengawal diri kita (yang cukup payah bagi yang masih mengusahakan mendapatkan roh solat). Jika mengawal diri sendiri pun kita tidak dapat perform (lakukan dengan berpuas hati), bagaimana persediaan kita untuk menghadapi ujian dalam berinteraksi dengan manusia lain yang di luar kawalan kita?
Nah, di situlah saya nampak bahawa mujahadah solat itu terlampau penting bagi memudahkan urusan kita untuk pergi kepada amal kedua di dalam hadis tersebut. Apatah lagi jika kita pergi kepada amal ketiga iaitu jihad pada jalan Allah. First level, kita hanya perlu kawal diri. Second level, kita perlu ada skill dalam berinteraksi. Third level, kita tidak hanya berinteraksi dengan orang-orang yang dikenali malah ada rasa kasih sayang, tetapi kita perlu berhadapan pula dengan 'musuh di dalam perang' (saya menulis secara '..' kerana huraian jihad juga ada haknya iaitu ada pelbagai aspek perlu diambil kira yang saya tidak sentuh di dalam entri ini).
---
Begitulah isi pertemuan kali ini yang saya sempat catatkan. InsyaAllah, moga dapat sama-sama diambil manfaat serta amal.
Wallahua'lam.
MimRa.
[17 Rejab 1445H]
29.01.2024
No comments:
Post a Comment