Friday, 6 March 2020

Bila Kita Nak Jadi Anak Yang Soleh? (015)

"Ibu bapa kita BUKANNYA perlukan kita sangat kat dunia ini. Tapi, mak ayah kita SANGAT perlukan kita bila di sana nanti (selepas meninggal dunia)," 
[mafhum daripada ceramah Ustazah Asma Harun]
.
Perlahan-lahan, kita KENA DIDIK DIRI kita jadi anak soleh solehah supaya dapat bantu mak ayah kita di alam sana nanti (atau sekarang bagi sebahagian daripada kita).

Alhamdulillah, Allah masih pinjamkan mak abah saya untuk saya berbuat baik kepada mereka. Selalu, akan ada satu-satu masa bila saya membayangkan macamana kalau Allah ambil salah seorang daripada mereka daripada saya. MasyaAllah, tak sanggup, tidak terbayang tanpa berjuraian air mata, memohon Allah tangguhkan takdir itu. Saya tahu saya belum cukup buat hati mak abah saya senang, berbahagia selalu memikirkan anak-anaknya. Tak cukup dengan menjaga kita semasa kecil, dah besar ini pun mereka nak kena fikirkan masalah kita.

Ada satu kisah yg saya tak ingat secara detail, kalau tidak silap saya memang berlaku semasa zaman Rasulullah s.a.w. di mana seorang anak mendukung ibunya yang tua menunaikan haji daripada awal sampai habis, lalu ditanya kepada Rasulullah s.a.w., "cukupkah aku telah membalas jasa ibuku?" Lalu jawapannya daripada Rasulullah s.a.w. adalah "...tidak..."

Saya berharap dengan kesempatan masa yang Allah beri, walaupun sebagai manusia yang tetap sering melakukan kesilapan, saya dan kita takkan berputus asa berusaha untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu ayah. Kerana itu perintah Allah. Bukan sebab mereka yang telah terdahulu berbuat baik kepada kita (seperti yang diajarkan oleh Habib Ali Zainal Abidin).

Ustaz-ustaz selalu pesan supaya dalam al-Fatihah, zikir, mahupun bacaan Al-Quran atau amal soleh lain yang kita lakukan, dianjurkan untuk kita niatkan sedekah kepada orang yang telah meninggal dunia sama ada secara spesifik ataupun umum. Yang paling dekat atau mudah dengan kita adalah bacaan surah al-Fatehah yg kita baca selepas solat dan sebelum kita membaca doa.

Ada dua orang insan yang selalu terlintas di fikiran saya selain ibu ayah saya. Mereka adalah arwah pakngah dan arwah acik saya. Arwah pakngah saya telah meninggal dunia ketika saya sedang menduduki peperiksaan SPM. Manakala arwah acik telah meninggal dunia ketika saya darjah 1. Kecil lagi saya waktu tu. 

Saya selalu memikirkan penyebab saya mengingati mereka, berbanding arwah yang lain. Perbuatan baik arwah pakngah yang membuatkan saya ingin mendoakan beliau adalah satu peristiwa sahaja. Pada tahun SPM, semasa raya haji, kami budak SPM tak boleh bercuti untuk balik kampung, tetapi, disebabkan asrama saya berlokasi di kampung rumah saya sendiri, saya telah ditakdirkan berjumpa dengan pakngah ketika kami budak asrama selesai menunaikan solat raya di Masjid Saga. Pakngah suruh saya balik juga pada hari berkenaan sebab di rumah ada tumbangkan lembu. Disebabkan saranan pakngah, saya baru dapat idea untuk balik kampung juga tapi dengan cara "outing". Dan, hari itu saya gembira sangat, sebab kononnya saya dapat buat apa yang budak lain tak dapat buat (sebab rumah diorang semua jauh-jauh). Tahulah, betapa nikmatnya dapat meluangkan masa bersama saudara-mara yang jarang-jarang berkumpul. Semoga Allah kurniakan rahmat-Nya kepada arwah pakngah saya itu.

Arwah acik. Memori saya bersama arwah acik tak banyak yang saya ingat sebab waktu tu saya kecil lagi. Arwah acik meninggal sebab kanser kalau tidak silap pada salah satu bahagian yang ada pada kepala atau muka. Satu sahaja yang saya rasa saya perlu mendoakan dia. Iaitu, sebab arwah acik meninggal pada usia muda, bujang, tiada anak dan atuk nenek telah meninggal lebih awal daripada acik. Saya berfikiran bahawa, jika orang lain meninggalkan anak untuk mendoakan mereka, maka siapa pula yang akan banyak doakan arwah acik saya? Mungkin mak saya selaku kakaknya, dan juga adik beradiknya yang lain. Kesian arwah acik. Jadi, saya rasa saya selaku anak buahnya perlu mendoakan dia. Dia perlukan doa saya dan ahli keluarganya yang lain. Dan arwah acik juga asbab saya ingin menaip post ini, kerana, saya masih tertanya-tanya pada Allah, bagaimana saya boleh bermimpi arwah acik beberapa hari lepas? Dia berbicara dengan saya, tapi saya tak ingat apa. Yang penting tidak berbaju putih dan tidak pula situasi yang pelik. Dalam mimpi itu hanya perbualan yang bersahaja antara makcik dengan anak buah. Saya tertanya tanya bahawa mimpi itu jatuh di kategori yang mana? Datang dari Allah, gangguan syaitan atau perasaan saya? Wallahu'alam. Saya serahkan kepada Allah.

Berbalik kepada tajuk...

Mungkin 2 tribute itu macam tak ada kena mengena. Tapi, bagi saya, jika tak banyak sedikit reflek kepada status diri kita sama ada pada sisi Allah kita ni anak yang soleh atau tidak supaya Allah dapat sampaikan doa kita kepada ibu ayah kita, memberi kebaikan kepada mereka sebagaimana mereka telah menjaga kita dengan penuh kudrat dan kesabaran. Jika tugas mereka di atas muka bumi ini telah berakhir, tak bermakna tugas kita kepada mereka juga telah berakhir. Kita punyai fungsi ke atas diri mereka supaya mereka beroleh kebaikan, diringankan azab di alam sana nanti. InsyaAllah.

Moga kita jadi anak yang soleh solehah. InsyaAllah, aamiin.

Catatan,
Mimra.
6 Mac 2020.
11 Rejab 1441H.

Al-Fatehah.

First Edition: 06/03/2020

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...