Saya teringat satu situasi di rumah (kampung) di mana ada dua orang tetamu wanita hadir. Seorang tu mungkin berumur dalam lingkungan 30an manakala seorang lagi adalah emaknya. Bila sudah terserempak, mestilah kena bersalaman sebagai adab. Lalu, mak suruh pergi ke dapur buat air. Sedang saya membancuh air, mak datang dari belakang membisik, "Awak jalan depan orang tak reti tunduk ea," Saya pun menjawab, "Saya tunduklah tadi, mak," Mak membalas, "Tangan tu tak ada?" Saya pun baru sedar, ya lah, kita jarang sambut tetamu, mungkin sudah terlupa.
- Tentatif -
Semalam (Ahad, 8 Mac 2020) saya ditakdirkan dan diberi izin oleh Allah untuk menyertai lebih kurang 15-20 orang AJK Masjid (dan jemaah) bersama mak, abah dan adik untuk menziarahi orang tua atau orang sakit di kampung. Sudah menjadi program bulanan yang disusun oleh AJK Masjid di kampung saya. Alhamdulillah, rasa beruntung sebab dapat pengalaman yang tidak dirancang itu. Seperti semalam, tentatif ziarah bermula dengan bertanyakan khabar, berbual mesra dengan target ziarah dan keluarganya. Diikuti pemberian sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang poket. Kemudian, ada seorang wakil AJK Masjid yang mengetuai bacaan doa untuknya. Seterusnya, tuan rumah ada menjemput kami untuk menjamu serba sederhana hidangan yang dikeluarkan. Diakhiri dengan sesi bersalaman sebelum pulang.
Hikmah Ziarah Orang Tua/Orang Sakit (secara berjemaah):
1. Mengetahui dan MENGAMBIL BERAT keadaan saudara sekampung. Bila kita datang ke rumah seseorang, mungkin kita lebih faham keadaan yang perlu ditanggung oleh empunya badan yang menanggung. Berbanding bila kita tidak tahu, mungkin kita akan lebih cenderung untuk mencipta andaian demi andaian yang jika tersasar akan menghasilkan prasangka yang mengundang dosa atau kerenggangan silaturrahim.
2. Muhasabah diri kita akan MASA TUA yang kita akan lalui suatu hari nanti (jika dipanjangkan umur). Seorang datuk dan nenek yang kami ziarah, mereka diceritakan bahawa ingatan mereka pada hafalan surah-surah Al-Quran akan dibacakan sebagai kelaziman seharian mereka. Kemudian, waktu solat, jika mereka tidak lupa (faktor tua), mereka pasti akan tunaikan. Rukun wuduk dan solat tidak mereka lupa. Wuduk diangkat seperti mana dahulu, dengan tertib. Jika waktu muda kita tidak mengutamakan rutin ibadah seperti itu, mungkinkah ingatan itu dapat mendatangi kita pada hari tua nanti?
3. Mengambil pengajaran daripada KEADAAN RUMAH mereka. Sepanjang perjalanan ziarah kami, mak saya sentiasa berbisik-bisik dan berpesan kepada saya supaya perhatikan bagaimana tersusun dan kemasnya rumah tuan rumah yang menjaga orang yang keuzuran. Kata mak, sedangkan rumah orang tua mampu bersih dan tersusun rapi, mengapa tidak boleh diaplikasikan di rumah orang yang sihat (kita)?
4. Belajar ADAB BERTAMU. Bila disebut AJK Masjid kampung, sudah tentu majoritinya adalah orang dewasa pangkat makcik pakcik. Jadi, kita boleh lihat dan perhatikan bagaimana orang-orang 'lama' menjaga tertib menziarahi tuan rumah. Topik yang disentuh, menjaga sensitiviti, meraikan tuan rumah, cara bergurau senda, tempat yang patut duduk, memberikan sumbangan, tidak bermain telefon, dan sebagainya.
5. Banyakkan senyum, MENDENGAR dan belajar menghormati orang yang lebih tua. Sebagai orang muda, bila bersama sekumpulan orang yang lebih tua, antara mindest yang perlu kita hadirkan adalah, "mereka adalah orang yang berpengalaman, berilmu dan terlebih dahulu melalui pahit manis hidup," Jadi, setiap butir kata mereka, kita boleh cuba analisa makna tersurat dan tersirat. Kebiasaan orang dewasa mempunyai sikap suka berkias atau berlapik dalam berbicara. Itulah melambangkan bagaimana mereka menjaga sensitiviti dan adab berbicara dan menjaga hati orang lain. Setiap tatacara mereka juga menjadi panduan bagi kita orang muda yang kurang peka dengan tatasusila.
6. Berbeza bila BERGAUL antara ziarah dengan 'merewang'. Merewang (persiapan kenduri), kita bersosial juga. Kita dapat juga tahu khabar si fulan dan si fulan. Tetapi, pada pendapat saya, mungkin adab itu terlanggar juga tidak banyak sedikit. Aura merewang tu 'up' sikit, lebih bertenaga begitu. Jadi, its a good atmosphere for thinking, and reflection.
7. TANGGUNGJAWAB sebagai anak atau saudara terdekat untuk menjaga mak ayah (atau saudara) yang sudah tua dan semakin uzur. Termasuklah dalam mencipta suasana yang sihat dan bersih. Setiap gerak gerinya yang rutin patut kita atur satu per satu untuk memastikan tiada kemalangan, atau hal yang terlepas pandang. Sebagai contoh, makan dan minum yang mencukup, ubat dan waktu makan ubat, istinjak, pengudaraan, pakaian yang dipakai mereka dan kedudukan setiap perkakas dan peralatan yang sering digunakan.
Begitulah sedikit sebanyak hikmah yang dapat digarab. Moga dapat dipraktikkan di alam nyata ini, insyaAllah.
"Kerana orang yang lebih utama kita berbuat baik adalah keluarga".
Sekian, terima kasih.
Catatan,
MimRa.
9 Mac 20
14 Rejab 1441H
First Edition: 09/03/2020
No comments:
Post a Comment