Thursday, 29 February 2024

Tambat (118)

Roh amal merundum.
Ini belum Ramadan. Ianya, beberapa hari menjelang Ramadan.
"Ramadan nanti syaitan dibelenggu, mudahlah nanti."
Apa jaminan, sehingga kamu begitu yakin bahawa kamu akan laluinya dengan mudah?
... Jika sebelum bertemu Ramadan kamu belum dapat memastikannya?

Ini pasti kerana dosa-dosaku.
Maksiat yang aku lakukan terhadap Allah menghalang cahaya iman menembusi dada.
Lalu, amal merundum. Nafsu tidak dikekang.

Saya terimbau satu babak di dalam sebuah filem bagaimana si fulan itu dihukum. Tangannya diikat dan digantung. Lalu, si penguasa melibas badannya menggunakan cemeti. Andailah aku boleh melibas nafsuku begitu. Agar dia (si nafsu) merasa sakitnya menanggung derita bermaksiat.

Tapi.. kasihan pada tubuh. Si tubuh tidak bersalah. Yang salah adalah si pengemudi tubuh. Saya sering membayangkan bahawa setiap anggota tubuh sedang bekerjasama antara satu dengan yang lain bagi terhasilnya suatu imej, susuk tubuh yang beriman dan soleh kepada Tuhannya. Kaki bergerak seperti sepasang gear yang menggerakkan kincir air.

"Jika baik segumpal daging itu, maka baiklah anggotanya."
Hanya kerana kamu gagal mengawal dan mengekang kehendak duniawimu, lalu anggota lain turut akan menderita keranamu.

Cukup. Berhentilah setakat itu.
Usah tunggu dan memanjangkan masa lagi.
Bertindaklah mengubahnya.
Tepislah ajakan nafsumu itu.
Tambat, jika itu yang boleh membantu.

Raikan imanmu. Imanmu perlukan perhatianmu.
Bahagiakanlah dia.

Catatan,
MimRa.
[19 Syaaban 1445H]
29.02.24
#rancangramadan

Maksiat = lalai daripada mengingati Allah

Wednesday, 21 February 2024

Kita di celah mana? (117)

Mereka kuat di celah kelaparan, kezaliman, kesempitan, kesakitan dan sebarang kemungkinan (syahid).

Kita lemah di samping keselesaan, kekayaan, kesenangan dan kekenyangan, yang tidak putus.

Hati apakah yang kita miliki, melihat penderitaan mereka hanya sekadar seperti melihat drama di kaca tv? Ia datang dan berlalu pergi, tanpa ada rasa belas ihsan mencengkam hati?

Lalu, kita menganggap kita akan #menangbersama tanpa berbuat apa-apa?

Kita tidak bercakap tentang apa yang kita beri kepada mereka, tetapi kita bertanya tentang:

apa yang kita buat pada diri kita untuk 'beri' kepada mereka?

Bait kata Rasulullah s.a.w. (mafhumnya), "Jika kamu tahu apa yang aku tahu, maka kamu akan lebih banyak menangis daripada banyak ketawa."

~CM~

[12 Syaaban 1445H]
22.02.2024

Tuesday, 20 February 2024

RR No.1 - Tawaran durian runtuh! (116)

#rancangramadan no.1 - Sedari betapa besar ganjaran yang ditawarkan. Maka rancanglah ia!

1. Ramadan perlu disambut dengan penuh rasa teruja kerana pada bulan itu, pahala akan digandakan berlipat kali ganda!
2. Bayangkan pada bulan biasa, jika kita baca Al-Quran, pahala akan kita dapat sebanyak 10 bagi setiap huruf.
- Tibanya Ramadan, pahala bagi amalan yang sama itu digandakan tanpa diketahui had gandaannya!
- Malah, pada 10 hari terakhir Ramadan, akan ada pula malam Al-Qadr yang menyamai 1,000 bulan!
3. Bukan itu sahaja! Ibadah kita akan lebih ringan dan mudah kerana pada bulan itu syaitan diikat! Pintu syurga terbuka, dan pintu neraka ditutup!
4. Peringatan bagi yang tidak menyahut tawaran ini,

"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurga orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini)."
[Surah Al-Hasyr, 59: 19-20]

5. Rujukan: buku "Reviving The Spirit of Ramadan: Beyond Do's & Don'ts" oleh Hasrizal Abdul Jamil & Aqtar Mohamed Ummar, 2017, Abideen Press.
[18/2/24, 8 Syaaban 1445H]

Saturday, 17 February 2024

Digital Dakwah Masterclass: Islamic Content Creation (115)

Apabila kita melihat poster ini, apa yang kita jangkakan?

---

Alhamdulillah, berlalulah program ini pada hari ini dengan memuatkan saya sebagai peserta daripada lebih kurang 40 orang yang lain.

Sesi pertama berlangsung pada pagi hari sekitar jam 9 sehingga 12 tengah hari. 

I got free gifts of a notebook and a pen, hehe.

Program bermula dengan sesi perkenalan oleh kesemua peserta yang mengambil masa lebih kurang satu jam.

---

- Sebelum Program (perspektif peribadi)

Jangkaan:
1. Program akan dihadiri oleh ramai pelajar, content creator, dan bakal content creator.
2. Pembelajaran secara praktikal akan berlangsung memandangkan laptop atau tab disyorkan untuk dibawa bersama.

Objektif:
1. Tambah pengetahuan dan pendedahan tentang konsep dakwah melalui platform media sosial.
2. Networking.
3. Saya yakin akan ada sesuatu yang 'luarbiasa' atau added value akan digarap dalam sesi ini memandangkan speaker merupakan orang yang berpengalaman dalam industri.
4. Mendapatkan jawapan kepada persoalan: 
(a) Adakah kaitan antara segala pandangan saya terhadap kandungan di media sosial pada hari ini yang kebanyakannya berunsur negatif akan disentuh dalam program ini? 
(b) Bagaimana peranan dakwah serta teknik yang ada boleh atasi pemasalahan ini? 
(c) Adakah ianya akan selari dengan pemikiran saya serta memberi suatu solusi yang boleh saya hadam untuk dipraktikkan bagi melawan arus yang sedia ada?
(d) Bagaimana Ally Iskandar, pengacara yang lejen dalam media utama tetapi jarang dilihat menjadi pengacara bagi program Islamik pada pengamatan saya ini boleh berkongsi tentang dakwah di media sosial?
5. Mencari prinsip yang ada dalam dakwah di media sosial bagi orang yang bukan berlatarbelakangkan agama.

- Selepas Program:

Luar jangkaan:
1. Program berlangsung bukan di auditorium tetapi di dalam bilik seminar. Tiada meja, tetapi that's not a problem.
2. Program yang lebih santai dan sangat interaktif, saya suka! Sebab an opportunity for me to share my thoughts dan ianya dibincangkan bersama.
3. It's not a 'masterclass'-like program, tetapi more to discussion and brainstorming. Dan saya suka sebab boleh kutip pelbagai sudut pandangan yang berbeza dan ada yang sama.
4. Critical thinking. Nice!
5. Problem solving mode of discussion.
6. Majoriti peserta telah berkerjaya dan masing-masing mempunyai perspektif pada tajuk program yang tersendiri.
7. Adik beradik perempuan speaker semuanya terlibat dalam badan NGO kebajikan yang sama. Menarik!
8. Flow pengisian terutamanya penggunaan slide yang minima tetapi kupasannya bercambah dengan adanya pertambahan isi oleh peserta yang berkongsi pengalaman dan sudut pandang yang kritis.

---

- Dapatan:


Highlighted points based on the audience's perspectives and the discussion.

Dalam dakwah di media sosial perlukan 'daya tarikan' melalui sentuhan kreativiti iaitu untuk mencipta sesuatu yang berbeza supaya ia dapat menyaingi kandungan yang sebaliknya.

Competitive vs. Sendu

Kita tidak perlu mengehadkan konsep 'Islami' hanya kepada kandungan yang berunsur hukum hakam, Al-Quran, hadis, masjid dan lain-lain tetapi sedarilah bahawa Islam adalah agama rahmatan lil 'alamin.

"Embedding things together"

Bermaksud, segala aspek yang terangkum di dalam aktiviti seharian manusia yang dimuatnaik di media sosial sepatutnya tidak dikecualikan daripada prinsip Islami. Hal ini termasuklah perniagaan, pangacaraan, perbankan, masakan, nyanyian, fotografi dan sebagainya yang menjadi kandungan di media sosial.

Sejarah tentang penggunaan terma "Islamik" yang asalnya bermula dengan terma "Mohamaden" pada sebelum tahun 1950.

Kitaran generasi yang melibatkan kaum tua (tradisional) dan kaum muda (reformasi) tetap akan berlaku seiring waktu. Tentangan tidak perlu menjadi penghalang kepada sentuhan pembaharuan.

Dakwah di media sosial yang hendak dilakukan secara meluas sepatutnya meng-objektif-kan kepada mesej dan nilai yang ingin disampaikan agar orang menyebarluaskan kebaikan. Ia tidak perlu dikecilkan kepada penyampaian berbentuk syarahan atau ucapan secara straight forward.

Contoh hasil media yang diulas serta dibincangkan bersama adalah lagu Bangun - Aman RA yang menduduki tempat kedua dalam AJL serta mencapai 18 juta tontonan di Youtube. Boleh jadi orang menilai lagu itu melalui penampilan penyanyi yang memakai rantai manakala pada sudut pandang lain lagu itu berkonsepkan empowerment, relatedness dan positive impact to the community di dalam klip video bergenre hiphop itu.

Standard -> Reliability -> Trusworthy

dakwah vs. brand marketing
(should Islam be marketed? or propogated)

monetize dakwah vs. "free-sabilillah"

Intention -> various methods application (with knowledge) -> fiqh media

Ketika sesi sudah tamat, saya sempat mendengarkan pandangan speaker tentang istilah "influencer". Beliau berpandangan bahawa seorang pendakwah tiada keperluan malah tidak disyorkan menggunakan gelaran influencer untuk mengiktiraf dirinya di media sosial. Sebaliknya, terserah kepada masyarakat atau netizen untuk dipengaruhi dan menggelar pendakwah itu dengan gelaran demikian.

Sekian.

(Program ini merupakan anjuran kolaborasi antara IIUM Academy & Omnia Academy Media Prima)

Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Catatan,
MimRa.
[08 Syaaban 1445H]
18.02.2024

Merancang untuk gagal (114)

“Jika kamu gagal merancang, kamu sedang merancang untuk gagal”
Itulah quote yang dikongsikan dengan seorang sahabat apabila kami saling berkongsi tentang perkembangan kendiri bagi bulan Februari ini.
 
“Tetap berada pada takuk yang sama”
 
Saya mengekspresikan rasa ralat kepada diri sendiri, serta turut sama dihadapi olehnya.
Kami bukanlah tiada perancangan. Perancangan selalu saja diperkemas dan dinilai keberhasilannya, tetapi “kitaran itu” tetap berlaku.
 
Kitaran itu = bermula dengan perancangan dan pelaksanaan, lalu tanpa mengekalkan momentum, akhirnya kembali kepada langkah pertama dan lalu begitulah pengulangannya.
 
Sampai bila begini?
 
Kitaran yang bermain dengan persoalan kepada push factor untuk kami tetap melangkah ke hadapan, tanpa kembali pada kejatuhan. Kejatuhan itu bukanlah besar seperti kejatuhan sebuah empayar tetapi kejatuhan daripada pembawakan rasa ragu-ragu, rasa takut, malas, alpa serta lain-lainnya.
 
“Kebaikan yang dilakukan secara tidak tersusun akan dikalahkan oleh kejahatan yang tersusun”
 
Kita bukan tiada kata-kata pemangkin. Cuma kita sedang berperang dengan serangan dalaman.
 
Lemahnya kita pada bab ini.
Orang di Palestin berperang jasad, merasa sakit dan penderitaan fizikal. Berperang dengan musuh yang nyata. Namun kita di sini dengan mudahnya kalah pada serangan mentaliti dan kerohanian.
 
Mampukah kami mencabar diri kami lagi?
Mampukah kami tinggalkan apa yang kami mahu tinggalkan, dan tak perlu kembali?
 
Ulanglah, selagi mana kamu belum mencapainya.
Pengulangan itu bukanlah kekalahan abadi.
Jadikan pengulangan itu suatu titik tolak lagi.
Sekiranya kamu serik dengan pengulangan lalu kamu pun berhenti, maka, itulah kekalahan yang memalukan. Memalukan saat dihadapkan di mahkamah Allah nanti.
 
Saat ini, aku merasakan aku perlukan inspirasi yang sama mengalami situasi ini. Belum ditemui.
Tetapi, bukankah jika aku yang keluarkan diri aku daripada takuk ini, aku boleh menjadi inspirasi kepada orang lain?
Kerana ummat ini memang kehausan inspirasi.

Orang berjaya dilihat sebagai satu kelompok, dan orang yang gagal diasingkan pada satu kelompok. Lalu, di manakah pertembungan? Adakah mesti orang yang gagal tetap dalam kegagalan? Tidak mungkin! Hidup ini sentiasa ada peluang. Hatta, orang yang sakit terlantar di atas katil (bed ridden) itu mampu solat menggunakan gerakan mata atau menggunakan hati.

Islam = Rahmatan Lil’alamin.

Catatan,
MimRa.
[07 Syaaban 1445H]
17.02.2024

Thursday, 15 February 2024

Kasih Sahabat (113)

Jika kita ingin merasa kecewa dengan layanan sahabat kepada kita,

Fikirkanlah kembali, sepanjang bersamanya, adakah kehendak dia selalu dibantu olehmu, atau, yang banyak adalah kehendakmu cuba dibantunya.

Tidak. Sahabatmu bukan sengaja berjauhan denganmu. Sedarilah hakikat hidup ini, masing-masing menuju tujuan yang ingin dicapainya. Maka, keseriusannya menuju tujuan akan dapat dilihat dengan siapa dia sering bersama pada kebanyakan masa. Pergaulannya memanifestasikan jalan yang dipilihnya.

Tidak. Sahabatmu bukan meninggalkanmu. Mereka setia denganmu. Cuma, hidup ini setiap orang ada prioriti.
"Habis, aku bukan prioriti dia?"

Tundukkan emosimu, sahabat. Jangan hidup berpandukan emosi yang melampau.

Seorang sahabat bukanlah pendamping kita.

"Habistu, selama ini dia kawan dengan aku sebab nak sesuatu daripada aku? Dia tidak ikhlas!"

Ikhlas itu apa?
Ikhlas itu apa?
Ikhlas itu.. apa?

Melakukan sesuatu tanpa mengharapkan balasan daripada orang yang diberi, tetapi berharaplah balasan baik daripada Tuhan yang mendatangkannya kepadamu.

[Atau mungkin, engkau mahu menyalahkannya bahawa dia tidak ikhlas, sedang diri engkau yang sedang mengharapkannya? Berharap agar pemberian kasihmu dibalas dengan kasih ingatan padamu]

Dia bukan lupa apatah lagi melupaimu.
Akan datang suatu masa, dia akan bertanya khabarmu. Malah, kesibukan dunia menghalang dia untuk menghubungimu. Kerana, sudah tentu, apabila mula dihubungi, tempoh tiga jam minima itu tidak cukup menghilangkan kerinduan. Maka, dia perlu mencari dan merancang masa lain. Dia merasa, "takkanlah dia sedang rancak meluahkan isi hatinya kepadaku, tiba-tiba aku perlu meminta diri kerana ingin melakukan itu dan ini. Kasihan dia tidak habis bercerita, dan merasa 'rejected'"

Dan pada waktu itu, dia hanya mewakilkan Allah untuk menjagamu dari jauh.

Sahabat, ketahuilah, sahabatmu amat mencintaimu. Dia peduli padamu. Dia turut gembira melihatmu gembira bersama keluargamu. Dan dia turut bersedih ketikamu ditimpa kesusahan. Cuma sahabat juga manusia yang punyai keterbatasan kemampuan untuk memenuhi kehendak-kehendak manusia di sekelilingnya.

Bukankah kita sebagai sahabat, ingin agar difahami? Mulakanlah dengan diri kita dahulu. Kerana kita hanya mampu mengawal diri, dan tidak orang lain.

Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui, Maha Menjaga, Maha Wakil.

Cukuplah bagiku Allah.
Hasbunallah, wani'mal wakil.

Wakilkanlah Allah di dalam doa kebaikan daripadamu kepada sahabat yang dicintaimu, juga yang telah dibencimu. Andai ada kesilapannya yang telah mengguris hatimu, maafkanlah dia, redailah dia. Kemaafanmu barangkali bisa mengeluarkannya daripada kesulitan yang dia sedang hadapi.

---

(Lagu "Untukmu Teman" dendangan Brothers)

---

Catatan,
MimRa.
[06 Syaaban 1445H]
16.02.2024

Mimpi (112)

31.01.2024

Kata Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq, 

"Engkau benar pada sebahagiannya dan salah pada sebahagian lainnya."

Usah menghabiskan waktu memikirkan serta mentafsir mimpi.

Mimpi yang datang dari Allah "membawa kepada peningkatan iman dan taqwa".

- Mimpi yang membawa kepada kerisauan tidak berkesudahan berkemungkinan besar adalah gangguan syaitan untuk mengganggu amal ibadah.

- Mimpi yang buruk akan terus mengganggu sehingga ada (seseorang) yang meyakinkannya dengan ucapan,

"Sesungguhnya penafsiran ini adalah salah, dan sama sekali tidak memiliki kebenaran."

Seseorang perlu memiliki iman kepada Allah yang teguh bagi menepis mimpi-mimpi buruk dengan meyakini itu adalah juga sebahagian ujian yang datang dari Allah dan seharusnya dikembalikan kepada Allah.

Berapa ramai antara kita bangkit daripada tidur dalam kegelisahan pada mimpi yang dialami, lalu terus mencari tafsiran yang menilik masa depan dan dengan mempercayainya membuat hidupnya tidak aman.

Fikirkanlah cara menepis fikiran pada mimpi yang buruk.

Gangguan syaitan tidak lain melainkan untuk memesongkan khusyuk daripada melakukan ketaatan kepada Allah.

Mimpi menjadi penentu seseorang boleh tingkatkan amal atau menguranginya tanpa disedari asbab menghabiskan waktu memikirkan mimpi.

Jadilah orang yang apabila ditimpa mimpi yang baik dan buruk, tetap teguh dan meningkatkan imannya kepada Allah.

Mimpi yang buruk harus dilawan sepertimana melawan godaan syaitan di alam sedar.

Letakkanlah kebimbangan bukan pada mimpi semata-mata tetapi kepada penyerahan diri (pengabdian) seorang hamba kepada Tuhannya, bukan kepada mimpi.

Khusyuklah kepada Allah, bukan khusyuk kepada mimpi.

Orang yang berjaya bukanlah orang yang tidak mempunyai mimpi di dalam tidurnya, tetapi dia tidak terganggu dengan mimpinya.

---

Catatan (dapatan) buku "Hidup Bersama Nabi Muhammad s.a.w."; tulisan Salman Al-Audah; terbitan Al-Hidayah House of Publishers Sdn Bhd; cetakan 2018.

---

Catatan,
Mimra.
[06 Syaaban 1445H]
16.02.2024

Thursday, 1 February 2024

Sabar juga memilih orang (111)

Kesabaran kita teruji apabila dihadapkan dengan perkara yang tidak suka untuk dihadapi. Itulah SABAR. Sabar yang berpotensi naikkan darjat kita di sisi Allah bukanlah sekadar sabar yang biasa-biasa dan yang mudah diucap di bibir. Tetapi, sabar terunggul apabila kita mampu bersabar pada situasi genting dan luarbiasa. Ianya akan kelihatan biasa dan remeh pada mata manusia lain, tapi LUARBIASA dan SUKAR pada mata kita. Dan sabar itulah yang termahal.

Sesuatu yang mahal pasti untuk orang terpilih sahaja.
Tahniah, yang bermula dengan takziah.
Mahukah kita menjadi orang yang berjaya itu?

Catatan,
MimRa.
[21 Rejab 1445H]
02.02.2024



Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...