Wednesday, 26 April 2023

Healing (077)

Dalam salah satu kelas tadabbur, ustaz ada mentioned tentang trend zaman sekarang pada sesuatu keadaan yang dipanggil "healing". Dan daripada itu, betapa banyaknya buku-buku 'healing' (yang saya fahami antaranya berbentuk puisi dan juga coretan luahan hati) yang sangat mendapat sambutan daripada masyarakat terutamanya anak-anak muda. Kerana yang menulisnya juga, kebanyakan anak muda; berpengaruh dan barangkali mempunyai pengikut mereka tersendiri.

Saya berbisik kepada kawan di sebelah, "awak ada koleksi buku-buku macam tu?" Kemudian dia membalas, "oh it doesn't work for me," I see. Saya tersenyum, dan merasa ada 'geng' perihal ini. Perbualan dan bisikan itu diselang seli dengan pertanyaan tentang bagaimana kawan itu memilih buku untuk dibeli, sambil memandang ustaz yang masih berceramah di hadapan.
Dalam satu usrah nurani di ikim.fm pula, para ahli usrah bersepakat mengiyakan satu pandangan ahli usrah yang mengaitkan bagaimana orang yang healing ini ada juga yang memilih untuk meluangkan masa melihat alam, sama ada ke pantai, hutan dan sebagainya kerana dengan melihatnya, hati menjadi tenang dan tenteram. Kerana apa? Sedarkah kita bahawa telah disebutkan bahawa alam ini sentiasa berzikir kepada-Nya, dan apabila berzikir, hati menjadi tenang. Itulah aura alam. Boleh copy paste link ini https://sigir.uitm.edu.my/svsi/dapatQH3.php?akar=Q064001... bagi melihat senarai ayat Al-Quran menyebutkan berkaitan itu, antaranya:
{ سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ }
[Surah Al-Ḥadīd, 57: ayat 1]
"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
MasyaAllah, Subhanallah.
Jadi, bagaimana cara kalian 'healing'? Ada juga orang yang healing itu cukup dengan dapat meluangkan masa di rumah sahaja. Terserah kepada cara yang dipilih. Kita boleh fahami, lintasan hati untuk healing tidak akan wujud tanpa suatu 'kesakitan' dalam diri. Ramai antara kita yang 'sakit' secara tersembunyi.
Allah Maha Melihat, Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Penyayang, dan Allah Maha Penyembuh.
Yang penting, 'cara' yang kita pilih itu perlulah kita kembalikan kepada Pencipta. Kerana, "inna lillahi wainna ilaihi rajiun," Jika kita beriman kepada 'qadar' Allah, segala baik dan buruk kita perlu "syuhud", yakni bersaksi bahawa semua itu dalam aturan dan ketentuan Allah. Dunia ini medan ujian.
{ ...وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ }
[Surah Luqmān, 31: ayat 17]
"...dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."
{ وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ ... }
[Surah Al-Baqarah: 186]
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. ..."
Wallahu'alam.
Catatan,
MimRa.
[08 Ramadan 1444H]

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...