Tuesday, 15 September 2020

Muharram Yang Bakal Meninggalkan Kita (026)


Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar.

Perginya bulan Muharram bererti perlu menanti lima bulan lagi untuk menemukan bulan haram lagi, yakni bulan Rejab. 

Bulan-bulan haram adalah istimewa sebab setiap kebaikan yang kita lakukan akan dilipatgandakan pahala. Namun begitu juga sebaliknya, kezaliman (pada diri sendiri) yang dilakukan juga dosanya turut berganda. Astaghfirullahalazim. Astaghfirullahalazim. Astaghfirullahalazim. Moga Allah ampuni dosa kita...

Agak gementar untuk bertemu dengan Safar. Memikirkan sejauh mana Muharram yang dilalui ini.. adakah bekalan yang dibawa untuk mengukuhkan bulan-bulan "biasa" yang mendatang ini. Hijrah yang ingin dibawa untuk memandu usia yang kian bertambah. Moga lebih matang dalam membawa iman dan agama. Allahuakbar.

Mujahadah itu memang bukan biasa-biasa, untuk menggapai matlamat yang luar biasa. Pimpinan Allah jua yang diharapkan selalu. Tanpa rahmat dan hidayah-Nya, mana mungkin hamba-hamba-Nya ini mampu menepis pujuk rayu dunia yang indah di mata yang manis dirasa.

Satu sahaja matlamat yang paling utama...
Iaitu redha DIA...

Tanpa redha-Nya apalah makna hidup di dunia ini. Moga Allah terus mencurahkan Rahman, Rahim dan Ghafir-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang berusaha untuk tidak lemah pada jalan-Nya ini. InsyaAllah.

Perjalanan hidup ini masih panjang untuk mengharungi satu per satu nikmat dan ujian dunia andai nyawa ini diizin-Nya. Moga penuh dengan barakah di sisi-Nya. InsyaAllah, aamin.

Catatan,
MimRa.
Sudah masuk 29 Muharram 1442H,
16 September 2020.

Buat Safar yang bakal tiba, #1h1k "1 hari 1 kebaikan", insyaAllah.

First Edition: 16/09/2020

Tuesday, 8 September 2020

Untung orang lelaki (027)

Antara lelaki dan perempuan, ada satu perbezaan. Yang mana lelaki boleh kekal konsisten namun tidak bagi perempuan.

Iaitu SOLAT.

Seusaha manapun seorang muslimah menjaga ibadahnya, dia tetap akan melalui masa yang Allah mengharamkannya untuk solat. Tidak bagi lelaki. Ini bukan bermakna Allah tidak adil. Tidak sama sekali. Malah Allah sangat cantik mengatur ciptaan makhluk-makhluk-Nya. Ada yang kurang ada yang lebih, menjadikan keseluruhannya sempurna.

Bila tidak dapat solat antara nikmat yang tertangguh bagi seorang muslimah adalah:

1. Nikmat berwudhuk; membersihkan diri zahir dan batin
2. Nikmat satu keadaan untuk bersedia untuk solat; peka dengan waktu yang berlalu dan masuknya waktu solat yang seterusnya
3. Nikmat menetapkan posisi, menumpukan sepenuh perhatian dan melihat ke tempat sujud; saat untuk melafazkan takbiratul ihram
4. Nikmat menjaga dan peka pada rukun solat (tertib); andai ada yg terlupa perlu bertindak serta merta atau sujud sahwi & menahan diri daripada perkara yg membatalkan solat
5. Nikmat berada pada kedudukan paling dekat dengan Allah, benar-benar merendahkan diri, menghambakan diri pada-Nya; waktu sujud
6. Nikmat waktu makbul doa; sujud terakhir
7. Nikmat waktu yg dikhususkan sunat membacakan doa perlindungan daripada azab kubur, seksa api neraka, fitnah hidup & mati & fitnah dajjal; waktu antara tahyat akhir dan salam
8. Nikmat bertenang melafazkan wirid selepas solat sebelum menadah tangan memanjatkan doa; juga antara waktu makbul doa
9. Nikmat mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya 5 kali sehari untuk menunaikan solat pada waktu yang telah ditentukan tidak kira siang atau malam
10. Bagi yang menjaga wudhuk antara waktu solat, maka malaikat mendoakannya selagi wudhuk itu tidak terbatal
11. Ketenangan keseluruhan; mengenepikan diri daripada urusan dunia, berzikir dan membaca ayat-ayat Al-Quran, terutamanya bagi yang benar-benar khusyuk

Subhanallah... Tidakkah beruntung orang lelaki? Malah sebenarnya lebih daripada yang tersenarai di atas. Nikmat yang tidak terungkap, bagi yang menghayatinya. 

Buktinya, bukan sedikit soalan atau keluhan para muslimah menyatakan rasa sedih mereka terutamanya bila tiba bulan Ramadhan, bulan pesta beribadah. Walaupun alternatif seperti berzikir, berselawat, berdoa, bersedakah dan amalan lain tetap tiada halangan melaksanakannya, tetapi tetap nikmat yang didapati waktu solat itu tidak mampu disamakan dengan yang lain.

Namun, tidak kurang beruntung bagi muslimah yang mampu menjaga dirinya sepenuhnya. Keadaan itu tidak meluakkan sedikitpun amalan lain. MasyaAllah hebatnya bagi yang mampu mujahadah sepenuh masa! Hakikatnya seorang wanita yang mampu menahan dirinya daripada solat sedang melaksanakan perintah Allah untuk tidak solat. Bukankah melaksanakan perintah Allah itu semuanya ibadah? Malah jika dia solat, dialah yang berdosa kerana mengingkari perintah Allah itu.

Dalam pada itu, bukan segelintir muslimah yang akan mengambil peluang masa diharamkan solat itu dengan mengatur jadual hariannya pada perkara yang juga bermanfaat sama ada untuk dunia atau akhirat, yang mana orang lelaki pula tidak miliki kesempatan itu. Mereka mempunyai lebih masa pada perkara lain dan tetap mendapat pahala juga selagi mana tidak berhenti/lalai daripada zikir kepada-Nya.

Sebaliknya, waktu itu menjadikan mereka rugi seandainya masa itu digunakan untuk kesempatan melakukan perkara yang lalai atau sia-sia. Jika dia bermujahadah, maka pahala yang besar untuknya. 

MasyaAllah. Cantik kan pertimbangan dan peraturan Allah? Beruntung bagi yang mampu melakukan perkara yang Allah suka!

Jadi... Para muslimin, terbitkanlah rasa syukur atas nikmat itu. Janganlah anggap solat itu sebagai beban. Malah menjadikan anda lebih kuat berbanding wanita. Kuat jasmani dan rohani.

Bagi para muslimah pula, hargailah waktu boleh solat itu sebaik-baiknya. Kerana hanya waktu itu juga muslimah dibenarkan untuk membaca dan menyentuh Al-Quran. Hanya kalian sahaja yang faham rasa saat itu. Rasa kosong, rasa sukar, rasa jauh dan pelbagai rasa yang tidak jelas. 

Kepada Allah jualah kita kembali mencari ketenangan hakiki.

Sekian sahaja.
Wabillahitaufiq walhidayah.

Catatan,
MimRa.
01 Safar 1442H,
19 September 2020.

First Edition: 19/09/2020

Thursday, 27 August 2020

Duduk Sebentar Beriman Sejenak (025)

"Ijlis bina tu'man sa'ah," (IBTS)

Ayat itu digunakan saat menyedari bahawa diri ini sudah tersasar daripada berzikir memuji Allah. Mungkin kerana kesibukan atau kelalaian duniawi. 

Rupa-rupanya, bila tak buat IBTS ni, ia efek kehidupan ini sendiri.
Bila tak buat IBTS, jadi tidak memikirkan tentang kemajuan dan pencapaian diri.
Yalah, sibuk cuba perbetulkan keadaan, tapi, tanpa IBTS, no evaluation.
IBTS adalah saat untuk merenung diri sendiri.
Ya, sepatutnya tujuan utama adalah untuk mengingati dan memuji Allah & berselawat ke atas Rasulullah s.a.w..
But, it is also the best time to reflect ourselves.

Tambat diri pada satu posisi, duduk.
Keluarkan tasbih, keluar buku dan pen.
Pegang tasbih, mulakan dengan zikir & selawat. Berzikir sambil menghayati makna zikir & selawat. Feel it. Buka jiwa yang sempit itu kepada kelapangan.
Kemudian, setelah mula merasai ketenangan dan sudah mencapai keadaan di mana diri sudah terasing dengan fikiran keduniaan, maka mulakanlah relate diri ini dengan Pencipta. Sejauh mana peningkatan reputasi diri dalam menunaikan hak kepada Allah.

List down one by one. Everything!
The pros and cons. To check and balance.
To modify and adjust.
The current routine, change it if supposed to. 
Janganlah berlebih-lebihan. Bersederhanalah, supaya tidak membebankan diri sehingga kesemuanya menuju kepada putus asa.

And... All the best!

Catatan,
MimRa.
9 Muharram 1442H,
27 Ogos 2020.

First Edition: 27/08/2020

Tuesday, 7 July 2020

Dia Baca Buku, Tak Stress Ke? (024)

Sekarang, buku pun sudah banyak jenis. Komik pun buku juga kan? Novel cinta pun buku. Majalah hiburan, buku-buku cerita, dan tidak terkecuali sesetengah syarikat yang mengeluarkan buku-buku yang berunsur syahwat, na'uzubillah. Kita ketepikan semua buku-buku yang disebutkan tadi itu. Sentuhan kali ini ingin memfokuskan kepada buku yang berunsur ilmiah. Ya, sama ada buku motivasi, buku pendidikan, buku-buku teori, jurnal dan sebagainya.

Apabila sesetengah kawan melihat saya membaca buku-buku ilmiah (keagamaan), mereka selalu mangatakan bahawa mereka tidak boleh menyesuaikan diri dengan pembacaan buku seperti itu. Jika baca, tidak kekal lama. Begitulah juga yang alami saat saya berjinak-jinak dengan membaca buku sebagai mengisi ruangan masa.

Malam ini saya terfikirkan lagi hal ini. Persoalannya, benarkah membaca buku ilmiah ini membawa kepada stress dan bosan?

1. Kita jawab soalan dengan soalan. Kenapa kita baca buku itu? Dalam kehidupan kita, setiap perkara yang dilakukan perlu ada matlamat (tujuan). Dengan matlamatlah menjadikan tindakan atau keputusan kita lebih terarah. Kalau kita berniat baca buku untuk "cari ketenangan, inspirasi dan cari solusi kehidupan", mengapa perlu berakhir dengan kebosanan, atau berhenti separuh jalan? Melainkan tujuan sudah tercapai. Atau, sepanjang review yang saya pernah tuliskan, terdapat juga buku yang penulisannya tidak kena dengan jiwa dan rentak kita maka berakhirlah dengan kekecewaan.

2. (bersambung)

Catatan,
MimRa.
8 Julai 2020,
18 Zulkaedah 1441H.

First Edition: 08/07/2020

Monday, 6 July 2020

Keseorangan - Bersendirian – Sepi (023)

“Kita akan jumpa hikmah hanya apabila kita cari,” (MimRa, 060720)

Terngiang-ngiang di fikiran gurauan oleh abang, “Awak ada kawan-kawan ke?” 
Dahulu, semasa bekerja dalam dua organisasi yang berbeza, gurauan itu dapat dinafikan sebab dapat bekerja dengan ramai kawan dan dapat bergaul seperti belia-belia yang lain tetapi kini tidak lagi. Jawapan kepada gurauan itu lebih kepada, “Ya, tidak ada,” Dan ia agak membawa diri ini kepada rasa “Oh, tidak ada orang yang memilih untuk berteman dengan aku. Buktinya, selepas aku keluar daripada sesebuah organisasi, aku tidak bisa “hang-out” dengan mereka,” 

Pada asalnya, ia sesuatu yang agak menyedihkan, bukan? Namun, hikmah itu perlu digali. Tidak mungkin keadaan ini sesuatu keadaan yang begitu buruk, cuba fikirkan lagi! Ya, kita yang kena usaha cari positiviti supaya kita boleh keluar daripada kedukaan kepada kebahagiaan. Kadang, sesuatu keadaan yang memang kita tidak boleh terlepas daripadanya; Allah takdirkan sesuatu untuk kita berfikir dan bukan untuk kita keluhkan. Dan dengan itu kita boleh jadi lebih bijak dan tidak memandang sesuatu itu hanya sebagai masalah semata-mata. Kalau kita mengeluh, layakkah kita dikira sebagai orang yang bersabar?

Bagaimana saya boleh atasi pemikiran merasa diri keseorangan?

1. Usah merasa lemah! – Ya. Bila kita rasa keseorangan, adakah bermakna yang kita sedang akui yang kita tidak boleh berdiri sendiri? Adakah ia bermaksud kita perlu bergantung kepada orang lain? Habis tu, sampai bila? Sebab, apabila sahaja berasa sebegitu adakah secara tidak langsung perkara yang kita merancang untuk lakukan atas dasar keperluan (contohnya, membeli barangan keperluan) terbantut hanya kerana tidak ada kawan untuk bersamaku? Bermakna? Kita ini lemah? Oh tidak! Jadi, kehidupan perlu diteruskan. “move on” Memikirkannya, hanya akan membuat kita terus merasa diri ini tidak bernilai sedangkan kita bukan sebegitu. Memikirkannya hanya membuang masa kita untuk mengorak langkah. Kita nak tunggu sampai bila orang nak datang pada kita? Kehidupan tidak selalu seperti yang kita impikan, tetapi, Allah Maha Mengetahui kegusaran yang kita lalui, dan Dia sentiasa bersama dengan kita terutamanya bila kita meyakininya.

2. Sebenarnya bukan selalu kita melalui keadaan sebegitu, cuma kita ini yang kurang bersyukur dengan masa-masa yang kita ada bila ada orang di sekeliling kita. Saat tiadalah dicari.

3. Bersyukurlah, kita hanya merasa “keseorangan” pada sesetengah masa sahaja jika dibandingkan dengan orang yang benar-benar terpaksa menerima takdirnya untuk tidak dapat bergaul normal seperti kita yang masih boleh bergaul ketika keluar bekerja, ada saudara mara ketika pulang ke kampung dan sempat merasai fasa-fasa mepunyai kawan berkumpulan. Ada orang itu, kehidupannya hanya terhad di rumahnya disebabkan penyakit yang dihidapi. Ada orang tidak boleh bergerak, terlantar di atas katil dan hanya televisyen sebagai peneman. Ada orang, kehidupan dia memang disisihkan, usah kata tidak ada kawan malah orang memang tidak mahu berkawan dengannya dan bukan dia meminta untuk jadi sebegitu. Jadi bersyukurlah, kita hanya ditakdirkan beberapa ketika sahaja mungkin akibat kebosanan, kegagalan merancang aktiviti, pertindihan program atau sebagainya sedangkan mereka lebih merasainya lebih lama dan memakan masa.

4. Apabila kita mula mengatasinya, insyaAllah akan datang kita boleh kata “Selamat Tinggal” kepada keadaan itu. Sebab, kita sudah pun merekodkan satu solusi yang kalau kita jumpa lagi keadaan sebegitu, kita sudah tahu bagaimana untuk mengendahkannya. Keadaan apa ya? Ya, keadaan yang merasakan diri keseorangan.

5. Padah tidak merancang masa. Hari esok perlu dirancang seawal hari ini. Cuba bayangkan kalau awak dah merancang hari itu nak kena buat apa, dan selepas itu perlu buat apa, agak-agak ada masa ke mahu fikir pasal nasib diri macam itu? Mesti hari kita itu akan jadi bermatlamat. Tidak akan peduli dengan nasib apa, yang penting kita nak checked-kan “to-do list” itu tidak kira apa.

Habis kalau dah memang tidak ada aktiviti, mahu buat apa? Alahai… Usahalah, fikirkanlah lagi potensi diri! Takkanlah sampai macam itu sekali. Cipta aktiviti. Kalau pun mungkin sahaja tidur solusinya, tidur itu pun perlu dirancang bila mula dan akhirnya. Jangan sampai masa solat pun dilanggarnya. Tapi, seriuslah… takkanlah tidak ada perkara yang mendatangkan hasil yang boleh awak fikir dan lakukan?

6. Mencipta pergaulan cara sendiri. Berbalik kepada “perancangan” Rancanglah program sendiri untuk kita bergaul dengan masyarakat. Kalau sudah pergaulan secara bersahaja kita tidak mampu, mungkin dengan cara kita cari dan susun aktiviti atau program untuk kita sertai, dengan cara itu kita boleh bercampur dengan masyarakat. Cuma, hal seperti ini biasanya lebih kepada tekad/matlamat lah. Tidak semua orang minat ke arah itu. Lagi-lagi masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (Pemulihan) ini, mungkin juga kita masih lagi ada banyak kekangan untuk melakukannya. Apabila kita bercampur dengan masyarakat, fikiran kita akan lebih terbuka. Kita dapat memerhatikan kepelbagaian cara orang lain bergaul dan berkomunikasi jika dibandingkan jika kita hanya bergaul dalam kalangan kawan yang kita kenal. Dan yang penting, pada masa itu, kita tidak akan fikir tentang diri sendiri. Kita cuma akan fikir tentang orang lain. Cabarannya, kita memang perlu mencarinya atau kita yang perlu mengadakannya. Ok? InsyaAllah.

Moga-moga kita disegerakan dipertemukan jodoh yang baik… Eh! Ke situ pulak.

Baiklah, sekian sahaja. Semoga bermanfaat.

Catatan,
MimRa.
06-07 Julai 2020
15-16 Zulkaedah 1441H (Bulan Haram)

First Edition: 07/07/2020

Friday, 29 May 2020

Hajat Surah Yasin (022)

Dulu, mak pernah ajar, masa baca Surah Yasin, bila jumpa je akhir ayat dgn kalimah "mubin" boleh dilintaskan hajat kpd Allah. Ada 7 ayat yg diakhiri dgn kalimah "mubin" yang bermaksud "nyata". Jadi, boleh susun 7 hajat.

Awal-awal tu kita amalkan juga, tp, bila dah lama, lupa. 

Selain semasa jumpa ayat "mubin", kita juga dianjurkan utk membaca apa-apa ayat atau surah dalam Al-Quran dgn niatkan hajat (doa). Sebab, Al-Quran kan ada barakah dan puji-pujian kepada Allah. InsyaAllah dgn keberkatan yg ada pada Al-Quran, moga Allah tunaikan permintaan kita.

Disebabkan kita manusia ni ada sifat pelupa, jadi, saya sarankan kepada kalian utk menulis (dgn hati) di atas kertas kosong; segala hajat yg biasa (harian) yg kita nak Allah jaga utk kita; kemudian selitkan pada muka surat pertama surah itu. Dalam masa yang sama, macam Surah Yasin ni, iaitu surah yg dianjurkan utk dibaca pada setiap pagi, bila dibaca setiap pagi dgn hajat, insyaAllah kita akan lebih menjalani hari itu dgn redha dan bermatlamat.

Sekian sahaja.
Taqabbalallahu minna waminkum.

Catatan,
MimRa
30 Mei 2020
7 Syawal 1441H :)

First Edition: 30/05/2020

Tuesday, 7 April 2020

Ringkasan Tentang Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban (021)

Merujuk kepada artikel di https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1121-irsyad-al-hadith-siri-ke-70-kelebihan-malam-nisfu-sya-ban, pada malam nisfu Sya’ban:
 
1. Allah SWT mengampunkan dosa semua makhluk-Nya kecuali:

- Orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat.
- Orang yang mempunyai sifat dengki sehingga mereka meninggalkan sifat tersebut.
- Orang yang bermusuhan sehingga mereka berdamai.
- Orang yang membunuh diri termasuk di dalam dosa besar.
 .
2. Doa mustajab.

- “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban” (imam as-Syafie)
 .
3. Dianjurkan untuk mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya.

- Tetapi, tidak ada amalan khusus yang dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban.

- Amalan seperti membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan berdoa adalah bersifat umum.

- Beberapa para tabi’in memuliakannya malam nisfu Sya’ban dengan bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu.

Catatan,
MimRa.
8 April 2020
14 Sya'ban 1441H

First Edition: 08/04/2020

Bezanya sambutan Maal Hijrah dengan Tahun Baru Masihi (131)

Alhamdulillah. Telah masuknya tahun baharu Hijrah, 1448 Hijrah.  Alhamdulillah, dikurniakan pinjaman nyawa yang merupakan keluasan kesempata...