“Kita akan jumpa hikmah hanya apabila kita cari,” (MimRa, 060720)
Terngiang-ngiang di fikiran gurauan oleh abang, “Awak ada kawan-kawan ke?”
Dahulu, semasa bekerja dalam dua organisasi yang berbeza, gurauan itu dapat dinafikan sebab dapat bekerja dengan ramai kawan dan dapat bergaul seperti belia-belia yang lain tetapi kini tidak lagi. Jawapan kepada gurauan itu lebih kepada, “Ya, tidak ada,” Dan ia agak membawa diri ini kepada rasa “Oh, tidak ada orang yang memilih untuk berteman dengan aku. Buktinya, selepas aku keluar daripada sesebuah organisasi, aku tidak bisa “hang-out” dengan mereka,”
Pada asalnya, ia sesuatu yang agak menyedihkan, bukan? Namun, hikmah itu perlu digali. Tidak mungkin keadaan ini sesuatu keadaan yang begitu buruk, cuba fikirkan lagi! Ya, kita yang kena usaha cari positiviti supaya kita boleh keluar daripada kedukaan kepada kebahagiaan. Kadang, sesuatu keadaan yang memang kita tidak boleh terlepas daripadanya; Allah takdirkan sesuatu untuk kita berfikir dan bukan untuk kita keluhkan. Dan dengan itu kita boleh jadi lebih bijak dan tidak memandang sesuatu itu hanya sebagai masalah semata-mata. Kalau kita mengeluh, layakkah kita dikira sebagai orang yang bersabar?
Bagaimana saya boleh atasi pemikiran merasa diri keseorangan?
1. Usah merasa lemah! – Ya. Bila kita rasa keseorangan, adakah bermakna yang kita sedang akui yang kita tidak boleh berdiri sendiri? Adakah ia bermaksud kita perlu bergantung kepada orang lain? Habis tu, sampai bila? Sebab, apabila sahaja berasa sebegitu adakah secara tidak langsung perkara yang kita merancang untuk lakukan atas dasar keperluan (contohnya, membeli barangan keperluan) terbantut hanya kerana tidak ada kawan untuk bersamaku? Bermakna? Kita ini lemah? Oh tidak! Jadi, kehidupan perlu diteruskan. “move on” Memikirkannya, hanya akan membuat kita terus merasa diri ini tidak bernilai sedangkan kita bukan sebegitu. Memikirkannya hanya membuang masa kita untuk mengorak langkah. Kita nak tunggu sampai bila orang nak datang pada kita? Kehidupan tidak selalu seperti yang kita impikan, tetapi, Allah Maha Mengetahui kegusaran yang kita lalui, dan Dia sentiasa bersama dengan kita terutamanya bila kita meyakininya.
2. Sebenarnya bukan selalu kita melalui keadaan sebegitu, cuma kita ini yang kurang bersyukur dengan masa-masa yang kita ada bila ada orang di sekeliling kita. Saat tiadalah dicari.
3. Bersyukurlah, kita hanya merasa “keseorangan” pada sesetengah masa sahaja jika dibandingkan dengan orang yang benar-benar terpaksa menerima takdirnya untuk tidak dapat bergaul normal seperti kita yang masih boleh bergaul ketika keluar bekerja, ada saudara mara ketika pulang ke kampung dan sempat merasai fasa-fasa mepunyai kawan berkumpulan. Ada orang itu, kehidupannya hanya terhad di rumahnya disebabkan penyakit yang dihidapi. Ada orang tidak boleh bergerak, terlantar di atas katil dan hanya televisyen sebagai peneman. Ada orang, kehidupan dia memang disisihkan, usah kata tidak ada kawan malah orang memang tidak mahu berkawan dengannya dan bukan dia meminta untuk jadi sebegitu. Jadi bersyukurlah, kita hanya ditakdirkan beberapa ketika sahaja mungkin akibat kebosanan, kegagalan merancang aktiviti, pertindihan program atau sebagainya sedangkan mereka lebih merasainya lebih lama dan memakan masa.
4. Apabila kita mula mengatasinya, insyaAllah akan datang kita boleh kata “Selamat Tinggal” kepada keadaan itu. Sebab, kita sudah pun merekodkan satu solusi yang kalau kita jumpa lagi keadaan sebegitu, kita sudah tahu bagaimana untuk mengendahkannya. Keadaan apa ya? Ya, keadaan yang merasakan diri keseorangan.
5. Padah tidak merancang masa. Hari esok perlu dirancang seawal hari ini. Cuba bayangkan kalau awak dah merancang hari itu nak kena buat apa, dan selepas itu perlu buat apa, agak-agak ada masa ke mahu fikir pasal nasib diri macam itu? Mesti hari kita itu akan jadi bermatlamat. Tidak akan peduli dengan nasib apa, yang penting kita nak checked-kan “to-do list” itu tidak kira apa.
Habis kalau dah memang tidak ada aktiviti, mahu buat apa? Alahai… Usahalah, fikirkanlah lagi potensi diri! Takkanlah sampai macam itu sekali. Cipta aktiviti. Kalau pun mungkin sahaja tidur solusinya, tidur itu pun perlu dirancang bila mula dan akhirnya. Jangan sampai masa solat pun dilanggarnya. Tapi, seriuslah… takkanlah tidak ada perkara yang mendatangkan hasil yang boleh awak fikir dan lakukan?
6. Mencipta pergaulan cara sendiri. Berbalik kepada “perancangan” Rancanglah program sendiri untuk kita bergaul dengan masyarakat. Kalau sudah pergaulan secara bersahaja kita tidak mampu, mungkin dengan cara kita cari dan susun aktiviti atau program untuk kita sertai, dengan cara itu kita boleh bercampur dengan masyarakat. Cuma, hal seperti ini biasanya lebih kepada tekad/matlamat lah. Tidak semua orang minat ke arah itu. Lagi-lagi masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (Pemulihan) ini, mungkin juga kita masih lagi ada banyak kekangan untuk melakukannya. Apabila kita bercampur dengan masyarakat, fikiran kita akan lebih terbuka. Kita dapat memerhatikan kepelbagaian cara orang lain bergaul dan berkomunikasi jika dibandingkan jika kita hanya bergaul dalam kalangan kawan yang kita kenal. Dan yang penting, pada masa itu, kita tidak akan fikir tentang diri sendiri. Kita cuma akan fikir tentang orang lain. Cabarannya, kita memang perlu mencarinya atau kita yang perlu mengadakannya. Ok? InsyaAllah.
Moga-moga kita disegerakan dipertemukan jodoh yang baik… Eh! Ke situ pulak.
Baiklah, sekian sahaja. Semoga bermanfaat.
Catatan,
MimRa.
06-07 Julai 2020
15-16 Zulkaedah 1441H (Bulan Haram)
First Edition: 07/07/2020
No comments:
Post a Comment