Friday, 10 May 2024

ADMY 2024 Ep.1 (124)

Ep.1: Adaptasi

Beberapa malam yang lalu, seorang fasilitator memesan agar tidur awal dan bahawa tidur lewat akan menjejaskan prestasi hari berikutnya.

Saya setuju.
Cuma,
Saya masih mengadaptasi dengan jadual.
Mungkin selama ini saya mengakui dalam kalangan sahabat terdekat bahawa saya seorang extrovert. Namun bagi menguruskan diri sendiri, saya juga perlukan satu porsi waktu tanpa sesuatu yang berupaya mengalihkan tumpuan.

Hari ini telah masuk hari ke-10 latihan.
Kira-kira, hanya satu hari yang berlalu tanpa saya membasuh baju pada malam hari sebelum tidur. Purata waktu tidur saya anggarkan pada 2.00 pagi, kemudian perlu bangun paling lewat pada 5.30 pagi sebelum menghadiri solat Subuh berjemaah secara mandatori di surau INDAH.

Malam-malam awal, saya masih bertembung dengan pelatih lain di tandas tatkala membasuh pakaian. Namun hari demi hari kelihatan berkurang dan tinggal saya orang terakhir. Barangkali, itulah hasil positif jadual penggiliran basuh baju menggunakan mesin basuh yang diusahakan oleh AJK Pelatih ADMY 2024. MasyaAllah tabarakallah!

Tidak dapat dinafikan antara concern tertinggi saya dalam mengadaptasi diri sewaktu latihan adalah waktu tidur, iaitu mengambil pengajaran daripada sesi uji bakat yang lepas.

Syukur kepada Ilahi kerana mengizinkan hari demi hari yang berlalu dengan kemudahan urusan walaupun saya juga akui tumpuan saya dibdalam kelas-kelas yang telah berlalu adakalanya tersasar dek gangguan rasa mengantuk.

Hari ini usrah muslimat ADMY 2024 menyentuh tentang ujian, di mana saya tertarik dengan satu jawapan kepada persoalan "kenapa kita diuji" iaitu mendapat keberkatan masa.

Teringat saya kepada rutin seorang ulamak dalam sejarah bahawa malamnya diperuntukkan kepada tiga pecahan; ibadat, ilmu dan rehat (jika tidak silap).
Dan itulah motivasi saya untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa, di sini, berbakikan lebih kurang dua bulan setengah, agar dibawa perubahan saat melangkah keluar.

Moga peroleh keberkatan dan reda-Nya.

Catatan,
MimRa.
[02 Zulkaedah 1445H]
11.05.2024, Sabtu.

No comments:

Post a Comment

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...