Sunday, 28 January 2024

Solat dan ibu bapa (110)

Alhamdulillah, diberi kesempatan menghadiri usrah yang kebiasaannya dijadualkan pada setiap hari ahad sekitar 3.00 petang. Semalam merupakan usrah kedua bagi tahun 2024 ini. Pada usrah pertama bagi tahun ini yang diadakan pada 7 Januari 2024 yang lepas, bertemakan tadabbur Al-Quran kami bincangkan ayat 6 hingga ayat 8 surah Al-'Alaq.

Bagi yang belum 'familiar' dengan usrah, untuk pengetahuan, usrah ini sepatutnya diadakan mengikut modul. Jadi setiap modul akan ada pecahan tema atau tajuk untuk kita fokuskan perbincangan pasa satu-satu pertemuan. Bilangan ahli usrah terserah kepada ketua usrah atau kita panggil "naqibah" mahupun organisasi yang menggerakkan usrah. Contoh bagi kumpulan usrah saya, ahli kami sekitar tiga hingga lima orang. Kebanyakan masa, dari segi kehadiran secara fizikal (face-to-face) cukup tiga orang sahaja kami akan teruskan pertemuan. Bagi masa yang tidak cukup tiga orang atas kekangan tertentu, kami terpaksa tunda pertemuan pada minggu berikutnya.

Gambar: Pertemuan kami kali ini diadakan di Taman Sunsuria City, Sepang. Sedang saya ingin menambah refleksi dalam perbincangan, tiba-tiba hujan. Maka, bergegaslah kami bangkit, kemas dan menamatkan pertemuan. Kehadiran: Cik Lida (naqibah), Kak Ani dan saya.

Begitulah sedikit pengenalan tentang usrah semasa yang saya sertai. Ingin saya sebutkan di sini, tujuan catatan usrah ini bukanlah menjelaskan atau syarah hadis atau petikan yang ditetapkan tetapi mencatat inti (isi penting) kepada diskusi yang jarang dibincangkan dalam perbualan harian.

- Hadis Pertama Al-Adab

Pada minggu ini, kami bincangkan tema hadis adab yang bertajuk "Berbakti kepada ibu bapa dan menghubungkan silaturrahim" dengan merujuk kepada buku Modul Pembangunan Insan 1. Hadis penuh saya salinkan di bawah:

"Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: "Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah?" Baginda s.a.w. menjawab: "Sembahyang dalam waktunya." Beliau bertanya lagi: "Kemudian amalan manakah pula?" Baginda s.a.w. menjawab: "Kemudian berbakti kepada ibu bapa." Beliau bertanya lagi: "Kemudian amalan manakah pula?" Baginda s.a.w. menjawab: "Berjihad di jalan Allah." Beliau berkata lagi: "Baginda s.a.w. telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda s.a.w. menambah lagi, pasti Baginda s.a.w. menambah untuk saya." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

- Saudara dan kawan kepada ibu bapa

Cik Lida berkongsi ilmu yang didapati daripada seorang ustaz bahawa apabila ibu bapa kita telah meninggal dunia, antara bakti berterusan yang boleh dilakukan adalah kita menziarahi saudara mara serta sahabat-sahabat mereka.

Mudahkah kita untuk mengenali apatah lagi menziarahi suadara dan sahabat-sahabat mereka seandainya ketika hayat mereka kita jarang 'get involved' dalam aktiviti tersebut? Jadi, pengajaran yang saya dapati adalah, bagi saya satu-satunya yang masih ada kedua ibu bapa di dalam pertemuan kali ini, kita patut mengenali sertai terlibat dalam aktiviti ziarah dari sekarang (ketika mereka masih hidup) supaya kita dapat menunaikan bakti berterusan tatkala alam antara kita dan ibu ayah dipisahkan. Tidak kiralah waktu bila, contohnya pada hari raya, ketika mereka menghadiri majlis ilmu di surau, majlis keramaian, kenduri, dan lain-lain. Cabarannya, anak muda sekarang (termasuk saya), kita kurang minat nak sertai majlis seperti itu, kan? Jadi, fikir-fikirkanlah apa yang kita perlu lakukan tindakan.

- Akhlak indah Nabi s.a.w.

Jika kalian perasan, hujung hadis di atas disebutkan bahawa jika sahabat r.a. itu meminta lebih kepada Nabi s.a.w. pasti Baginda s.a.w. akan memberikannya.

Kami sempat sama-sama mendatangkan kembali ingatan pada akhlak Nabi s.a.w. yang sentiasa melayan sesiapa sahaja yang mendatangi dan berhajat kepada Baginda s.a.w. tidak kiralah hajat berbentuk nasihat mahupun hajat berbentuk fizikal yakni harta, makanan dan sebagainya. Dan tidak kira juga siapa yang mendatangi Baginda s.a.w.; sahabat, Arab badwi, hamba, raja, orang kafir, munafik dan musuh.

MasyaAllah indahnya akhlak Nabi s.a.w.. Tiap kali ingin bercerita tentang akhlak indahnya, pasti akan tersenyum-senyum💗

Kita kena ikut dan usahakan akhlak dan sunnah ini semampunya, insyaAllah. 

Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad.

- Sikap anak-anak

Memandangkan jarak umur kami agak jauh iaitu 20 ke 30 tahun, sudah tentu saya ini adalah umur anak-anak mereka. Cik Lida dan Kak Ani meluahkan rasa ambil berat kepada sikap anak-anak zaman ini yang mereka sendiri lalui di mana anak-anak ini sukar untuk menerima teguran. Jika ditegur, ada jawapannya. Cik Lida memetik juga ayat Al-Quran yang menyebut tentang perkataan "Ah" yang merupakan sekecil-kecil 'derhaka' (perkataan pilihan saya) kepada ibu bapa. Mereka sama-sama berkongsi ujian besarlah bagi mereka yang menjaga ibu bapa yang "bedridden"; terutamanya saat mencuci najis mereka - dan tetaplah perlu "behave" daripada perilaku yang membawa kepada makna "ah" itu. MasyaAllah.

Mereka bertanya kepada saya sebagai level anak-anak, bagaimana sikap anak-anak hari ini boleh jadi sedemikian, iaitu sukar terima teguran? Memandangkan mereka juga ada menyebut tentang ibu bapa hari ini yang tugasan mencari rezeki bukan sahaja dihadkan pada suami sahaja - bermaksud, mereka merupakan wanita yang berkerjaya; bukan suri rumah, saya menyebutkan kebarangkalian itu menjadi faktor sedikit sebanyak kepada sikap yang tumbuh pada anak-anak.

Mereka turut bersetuju, apabila mengetahui saya memiliki ibu yang berkhidmat sebagai suri rumah. Kata mereka, cukuplah apabila mendengar bahawa ibu saya yang memasakkan untuk keluarga; air tangannya yang mengalir beserta zikir dan selawat yang dibaca itu merupakan sentuhan signifikan yang membentuk anak-anak. Begitu juga kesempatan dan kelapangan masa mereka (ibu suri rumah) untuk meluangkan masa mendidik anak-anak di rumah. Mereka menzahirkan 'rasa rugi' atas kekurangan itu bagi ibu yang berkerjaya dan tempoh anak-anak membesar.

Cik Lida sempat berkongsi tentang stigma hari ini bahawa segelintir masyarakat termasuk dalam kalangan sesama keluarga sendiri memandang rendah wanita yang adan tahap pendidikan yang tinggi tetapi meneruskan kehidupan sebagai suri rumah. Tidak, golongan ini sepatutnya tidak perlu bersedih dengan tanggapan orang ini kerana kebaikannya jauh lebih besar dalam pendidikan dan pertumbuhan anak-anak.

Cik Lida tetap menekankan bahawa walaupun rasa ralat dan bingung sering mendatangi para ibu bapa yang berdepan dengan sikap anak-anak yang disebutkan, mereka masih ada satu harapan iaitu melalui doa kepada Allah s.w.t.. Doa supaya Allah lenturkan sikap yang tidak baik di sisi Al-Quran. Ya, sudah tentu. Doa itu senjata, apatah lagi doa ibu. InsyaAllah moga kita yang bergelar anak ini diberikan hidayah dan taufiq oleh Allah s.w.t. dalam memperbaiki bakti kepada kedua ibu bapa kita sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

- Fasiliti solat hari ini

Kak Ani menyebut tentang kemudahan fasiliti surau atau ruang solat pada hari ini yang jauh lebih baik berbanding dahulu kala. Jika dahulu, ada yang sanggup terlepas waktu solat disebabkan berhajat untuk solat hanya apabila sampai di rumah tetapi pada hari ini sudah banyak fasiliti surau dia lebuh raya, mahupun stesen minyak petrol bagi yang bermusafir atau yang melakukan penjalanan jauh. Jadi, apa alasan untuk tidak solat pada waktunya? Jawapannya bergantung kepada sejauh mana seseorang itu memandang penting kepada ibadah solat itu sendiri. Tidak kiralah ketika kita seorang diri mahupun kita sedang bersama orang lain. Sama ada kita yang terikut dalam kumpulan orang yang tidak mementingkan solat, atau kita menjadi asbab orang lain sedar bahawa solat itu penting dengan mendahului amalnya.

- Prioriti

Ketika saya ingin menzahirkan kesedaran kepada prioriti solat pada waktunya sebelum berbakti kepada ibu bapa, saat itulah hujan turun. Haha. MasyaAllah. Jadi saya ingin sambung di sini.

Ketika sama-sama membaca dan menelusuri topik ini, saya sedar bahawa walaupun topik ini fokus kepada bakti kepada ibu bapa, tetapi ia tidak mengenepikan huraian kepada dua isi penting yang lain iaitu solat pada waktunya dan jihad di jalan Allah.

Solat pada waktunya itu sususannya lebih utama berbanding yang lagi dua itu. Saya melihat pada sisi mujahadah. Jika dalam perbincangan tadi kita sebut tentang solat dan bakti pada sudut luaran, bagaimana pula yang 'di dalam'? Kedua-dua amal itu perlukan mujahadah yang melibatkan hablumminallah dan hablumminannas. Solat itu sifatnya, kualitinya hanya diri kita sendiri tahu bagaimana kita mementingkannya. Same goes to another level yang kita perlu berganjak daripada mengawal diri kita kepada kita perlu berinteraksi pula dengan orang lain. 

Ketika solat, kita hanya mengawal diri kita (yang cukup payah bagi yang masih mengusahakan mendapatkan roh solat). Jika mengawal diri sendiri pun kita tidak dapat perform (lakukan dengan berpuas hati), bagaimana persediaan kita untuk menghadapi ujian dalam berinteraksi dengan manusia lain yang di luar kawalan kita?

Nah, di situlah saya nampak bahawa mujahadah solat itu terlampau penting bagi memudahkan urusan kita untuk pergi kepada amal kedua di dalam hadis tersebut. Apatah lagi jika kita pergi kepada amal ketiga iaitu jihad pada jalan Allah. First level, kita hanya perlu kawal diri. Second level, kita perlu ada skill dalam berinteraksi. Third level, kita tidak hanya berinteraksi dengan orang-orang yang dikenali malah ada rasa kasih sayang, tetapi kita perlu berhadapan pula dengan 'musuh di dalam perang' (saya menulis secara '..' kerana huraian jihad juga ada haknya iaitu ada pelbagai aspek perlu diambil kira yang saya tidak sentuh di dalam entri ini).

---

Begitulah isi pertemuan kali ini yang saya sempat catatkan. InsyaAllah, moga dapat sama-sama diambil manfaat serta amal.

Wallahua'lam.

Catatan,
MimRa.
[17 Rejab 1445H]
29.01.2024

Thursday, 25 January 2024

Melihat gelagat haiwan (109)

On-the-way ke tempat kerja, ketika menunggu lampu isyarat warna hijau, seperti biasa, saya memerhati gelagat monyet-monyet yang memanjat pokok-pokok serta kabel elektrik sama ada di sepanjang jalan atau yang melintasi jalan. Pagi tadi, perhatian saya hanya kepada seekor monyet sahaja. Saya expected yang monyet itu hendak melintasi jalan melalui kabel tetapi dia hanya berhenti pada kurang suku jalan (di atas kabel). Lalu dia pusing ke arah dari mana dia datang dan melihat persekitaran. Barangkali ada spesisnya di situ. Jika dilihat pada mukanya, saya membayangkan monolog monyet itu, 

"Hmm, biar aku duduk sini je. 
Taknaklah aku toleh dekat kereta-kereta manusia ni, aku kan monyet.
Eh, apalah yang kawan-kawan aku buat tu?.."

Hahaha. Tergelaklah saya seorang diri di dalam kereta.
Mana ada monyet berfikir sebegitu!

- Sifat Haiwan

Nah, begitulah sifatnya haiwan.
Mengimbau pelajaran di dalam kelas aqidah yang lalu, haiwan hanya akan mengulangi "pattern" kehidupan sehari-harian tanpa perlu berfikir.
Kita sering diperdengarkan bahawa, jika kita yang manusia ini menjalani kehidupan seharian tanpa "berfikir" mahupun "beriman" maka samalah kita dengan haiwan.

Jadi, bagaimana untuk kita bezakan diri kita dengan mereka (haiwan).
Saya cuba mengorek sedalam mungkin persamaan terlebih dahulu dengan merungkai persoalan-persoalan.

- Haiwan vs. Manusia

Soalan 1: Betul ke haiwan tidak berfikir? Kalau dia tidak berfikir, macamana dia boleh 'bersosial' dengan spesis dia, macamana dia boleh besarkan anak dia, dan cari makan apa semua?
Jawapan: Back to the lesson learnt in kelas aqidah tu. Mereka hanya menjalani pattern yang sama. Begitu juga dengan kita. Kita, ada masa kita buat something atau most of things tanpa perlu berfikir. Itu yang kita namakan "rutin". Contohnya, kita bangun tidur, secara tanpa perlu berfikir, kaki kita tahu nak berpusing dan turun dari katil. Lalu, bergerak ke bilik air. Ada ke kita bangun tidur, "oh aku dah bangun dari tidur... ok, sekarang aku gerakkan kaki aku... ok, sekarang aku dah boleh bergerak ke bilik air" - contoh rutin tanpa berfikir.

Tetapi, berbeza kan jika rutin kita itu ada yang memandu?
Ketika saya menulis monolog di atas.. saya ulang, 
"oh aku dah bangun dari tidur... ok, sekarang aku gerakkan kaki aku... ok, sekarang aku dah boleh bergerak ke bilik air"

- Robot?

Barangkali, ada yang kata. Eh, aku bangun aku berfikir kot! Aku overthink!
Betul, saya setuju. Dan, saya tidak sangkal lagi. Nak tahu sebab apa?
Sebab kita manusia laaahh.
Saya hampir nak samakan haiwan dengan robot. Sebab robot pun ada rutin. Tapi, tidak boleh. Kerana, beza robot dengan haiwan, robot tiada nafsu manakala haiwan ada nafsu. Haih, dah masuk tentang robot pula. Ada pula yang sebut tentang Artificial Intelligence (AI) nanti.

Baiklah. Haiwan tidak berfikir, dan manusia berfikir.
Itu topiknya.

- Step-by-step:

1. Apabila kita bangun tidur, kita berfikir. "Alhamdulillah aku hidup" Di mana di dalam Islam, dianjurkan malah sunnah Nabi s.a.w. untuk membaca doa bangun tidur.
2. Bergerak ke tandas. Sepanjang pergerakan untuk bangkit dan berjalan ke tandas, kita akan cuba mengingat semula, "apa yang telah aku rancang untuk hari ini?"
3. Di dalam tandas, "kejap lagi selepas bersiap, aku solat. Then, .. sekian.. sekian.."

Agak-agaknya, haiwan akan berfikir sedemikian ke?

- Ajaran Islam

Indahnya ajaran Islam. Setiap 'fi'il' (perbuatan) kita, sudah ada panduan melaksanakannya. Lebih indah lagi, panduan itu memanusiakan kita. Panduan itu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan akal yang ada pada manusia. Apabila menyebut tentang 'memanfaatkan kelebihan' akal, analogi lain adalah: Kita lihat pada orang yang ada kelebihan harta dan kekayaan. Apa yang mereka buat dengan harta itu? Orang kaya yang bijak barangkali terus membuat pelaburan, menambah aset, mengurus kewangan dengan berhati-hati. Tetapi, pernahkah kita lihat orang kaya yang jatuh muflis? Apa punca mereka muflis? Bagaimana mereka boleh gagal mengurus harta serta ada juga yang muflis kerana dikhianat?

Di situlah pentingnya ilmu. Islam mengangkat orang yang berilmu dengan satu darjat yang lain lebih tinggi.
Sudahlah manusia ada akal - Akal perlu dipandu dengan ilmu bagi memastikan tindakan yang dibuat itu betul, salah, baik, tidak baik, memudaratkan, tidak memudaratkan.
Dan, sebagai hamba Allah, tidak cukup dengan ilmu. Kerana apalah ertinya ada ilmu tinggi jika dia sombong. Maka, iringilah ilmu dengan iman. Hidupmu pasti lebih bermakna di dunia dan di akhirat.

---

***Soalan 2: Jika betul haiwan tidak berfikir, bagaimana boleh ada haiwan yang paling bijak di dunia? Bagaimana haiwan boleh memahami manusia? Bagaimana haiwan di sarkas dan zoo boleh pandai membuat pertunjukan?
- Sila jawabkan. Terima kasih!

---

Kita manusia. Dan, cuba fikir tentang memanusiakan manusia.
Wallahua'lam.

Catatan,
MimRa.
[14 Rejab 1445H]
26.01.2024

Wednesday, 24 January 2024

Peneroka Al-Quran (108)

Setiap orang, cara dia menerokai Al-Quran itu berbeza-beza.
Pada setiap cara itu ada proses.
Setiap proses itu memakan masa. 
Singkat, mahupun panjang, dan berpanjangan.

Pada setiap proses itu ada jatuh dan bangun.
Ada kesalahan, dan ada pembetulan.
Dan.. ada pengulangan.

Pada setiap proses ada jalan-jalan.
Pada setiap jalan itu ada persimpangan dan ada hentian.
Destinasi perjalanan menerokai Al-Quran adalah perjalanan menuju Tuhan.
Jika banyak menoleh kanan dan kiri, maka lambatlah sampai kepada tujuan.

Harapan peneroka ini adalah untuk tetap pada jalan.
Latar belakang serta asas ilmu Al-Quran yang tidak mantap bukanlah menjadi penghalang, jika dia tidak berserah.
Allah sentiasa melihat pada niat dan usahamu.
Berpautlah terus duhai hati pada jalan-jalan ilmu.
Daripada ilmu yang benar, lahirlah amal yang benar.

Jalanilah jalanmu dengan tenang.
Allah sentiasa bersamamu.

[12 Rejab 1445H]
24.01.2024

Wednesday, 10 January 2024

Bukan selamanya (107)

Orang nampak kita suka tidur.
Bukan selamanya kita suka tidur.
Orang nampak kita malas, bukan selamanya kita malas.
Orang nampak kita suka bercakap entah apa-apa, bukan selamanya kita akan bercakap entah apa-apa.
Orang nampak kita suka makan, bukan selamanya kita suka makan.

Yang disebutkan itu adalah perihal sikap. Kadang-kadang (atau selalu) kita terjerumus ke dalam persepsi manusia. 
"Orang kenal aku begini dan begini. Mana mungkin aku boleh berubah dan mengubah persepsi mereka"

Yang disebutkan itu adalah mulut manusia.

Benarkah, kita akan selamanya begitu?

Apabila menyebut tentang sikap, ia terkait dengan hati atau perangai. Saya selalu terimbau-imbau pelajaran biologi tentang yang dinamakan "receptor". Bagaimana peranan receptor membuahkan perbuatan atau pergerakan tubuh badan seterusnya.

Sekarang ini perbuatan kita adalah dipengaruhi receptor kita. Mana mungkin perbuatan kita dikuasai receptor orang lain?

Jadi, jawapannya. Tidak!
Kita tidak akan selama-lamanya mempunyai satu sikap yang sama sepanjang hayat. Kita boleh berubah. Yang disebut mulut orang hanyalah hasil receptor atau sudut pandang mereka yang terhad.

Kita boleh berubah, kita mampu.
Syaratnya, niat yang kuat.

Sekarang cuba bacakan ini pula:
Orang melihat kita rajin, bukan selama-lamanya kita rajin.
Orang nampak kita suka memberi, bukan selama-lamanya kita akan memberi.
Orang nampak kita taat pada agama, bukan selama-lamanya kita mampu taat kepada agama.

If we think together, what made us can remain selama-lamanya dalam "kebaikan dan keredaan-Nya"?
Ia bermula dengan yang satu, yang halus, yang tersembunyi, iaitu hati. Dan di hati terpasaknya niyyat.

"Grit" = passion and preseverance.
Kita berusaha untuk ikhlas, adakah kita telah ikhlas? Yang kita mampu, adalah usaha. The state of ikhlas, sebenar-benarnya, hanya Allah yang tahu. Kita serahkan usaha kita kepada-Nya.

Membaca dan berfikir tentang grit ini mengingatkan kepada inspirasi utama saya iaitu Rabiatul Adawiyah r.a.. Beliau zuhud dan miskin, tetapi beliau masyhur (lihat pada sudut pandang kejayaan, bukan kepopularan) dan wali Allah. Hidup beliau sentiasa terikat pada Allah sehingga makan dan minumnya terserah pada Allah. Nampak mudah lagi dimudahkan.

Adakah yang ada pada beliau itu hanya 'passion' without 'preseverance'? Benarkah beliau tidak diuji dengan ujian yang berat dan mampu saja membuatkannya tergelincir daripada menerima takdir Tuhan?

Tidak (beliau juga diuji dengan ujian yang berat). Jika kita merasa jawapannya ya, kita mungkin masih melihat pada mata zahir dan belum dengan bersih hati melihat pada mata batin. Fikirkan semula, beliau itu wali Allah!

Ringkasannya, untuk berubah dan istiqamah:
1. Niat yang kuat (passion)
2. Preseverance (kental)
- Grit

Pijakkan nafsu ammarah, dan lawwamah.
Majulah kepada nafsu mulhamah dan mutmainnah.

Wallahu'alam.

Catatan,
MimRa.
[29 Jamadilakhir 1445H]
11.01.2024

Tuesday, 9 January 2024

Hisabaiyasira (106)

'Pakaian jika tidak dipakai selama 40 hari, maka akan dihisab'
'Tidak betul! Bukan 40 hari, malah pakaian yg sedang dipakai ini akan dihisab!'

Saya tertarik dengan kenyataan-kenyataan dan kekhilafan ini. Tertarik untuk membawa diri berfikir dan bermuhasabah. Bagi saya, itu jelas. Semua yang dipinjamkan kepada kita akan dihisab. Begitu juga jika dipetik daripada temubual di radio tentang yang dikatakan 'kufur nikmat' iaitu antaranya bagaimana kita menggunakan anggota badan, harta, keupayaan dan seangkatan dengannya pada ketaatan kepada Allah s.w.t. atau berpaling daripada-Nya.

Lalu, selain pakaian, apakah lagi yang akan dihisab?
'Hidup' ini akan dihisab.
Ajaibnya, zaman ini, pada hidup kita ada beberapa alam.
Bukan alam dunia, alam kubur, mahupun alam akhirat yang dikirakan tetapi alam yang lebih 'unik' daripada itu. Di mana, 'semuanya' terangkum dalam hanya pada satu alam.

Alam realiti dan alam maya - 2 dalam 1 - alam dunia.
Alam realiti hanya ada satu.
Alam maya, boleh jadi lebih 10 unit.
(1) Adakah kita hanya dihisab pada alam realiti sahaja?

Di alam realiti, kita cuma 'Si Fulan Bin/Binti Si Fulan'.
Tetapi, di alam maya, kita ada alam maya 1, alam maya 2, alam maya 3 dan tidak terbilang. Maka, identiti yang kita bawa juga berbeza-beza.
Di alam maya 1 kita Si Melati, di alam maya 2 kita Si Tanah, di alam maya 3 kita Si Lalang, dan begitulah seterusnya.
(2) Adakah kita akan dihisab pada alam realiti sahaja?

Kemudian, ketika menjadi Si Melati kita ceria. Ketika menjadi Si Tanah, kita senyap dan memerhati. Ketika menjadi Si Lalang, kita aktif berkomentar. 
(3) Adakah kita akan dihisab pada alam realiti sahaja?

Di alam realiti sahaja kita telah bersegmentasi:
Di rumah, di tempat kerja, di dalam bilik tidur, di dalam kereta, di dalam bilik air, di kedai makan, di masjid, dan di mana-mana sahaja.

"Allahumma hasibni hisabaiyasira"
- Ya Allah hitunglah amalku dengan perhitungan yang mudah.

Catatan,
MimRa.
[28 Jamadilakhir 1445H]
10.01.2024

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...