Mak, I love you.
Perkara 2: “Solat”
Masih di dalam ruang lingkup di tempat kerja. Tempat kerja saya, bagi yang mengetahui, penelitiannya pada waktu masuk dan keluar tempat kerja adalah diambil kira. Ini disebabkan peraturan yang harus diikut, jika terlewat atau terlebih masa yang diambil semasa keluar tidak kira semasa rehat ataupun solat, perlu diganti atau di dalam sistem akan menangkap kita sebagai lewat atau short hour, dan ia akan memburukkan rekod kedatangan.
Waktu balik saya adalah bagi saya dikira zon selamat dari segi segi awal atau lewat antara waktu Asar dan Maghrib. Namun, jika saya pulang on-time, sama ada saya sendiri yang merasa janggal mahupun manager saya akan memandang saya sebagai golongan yang balik on time (sudut komitmen). Ya, tidak salah pun balik on time kan? Kenapa perlu dengar tanggapan orang? Bagi saya, jika dapat lebihkan masa dalam 15-30 minit itu adalah pengganti kepada masa yang saya curi sepanjang 8 jam bekerja. Saya bukan robot dan begitu tsiqah; kerja tidak ada sedikit terpesong untuk bermain telefon, melayan socmed. Moga Allah ampuni.
Oleh sebab melebihkan masa, dan saya pula sejak awal bekerja di sana, saya berpegang untuk tidak keluar solat Asar sebelum balik kerana tidak mahu rekod keluar masuk itu banyak, saya selalu sungguh mendapat kesempatan Solat Asar pada waktu hujung-hujung tanduk iaitu hanya apabila sampai di rumah. Ya, perkara ini hampir setiap hari saya lalui. Hati tidak tenang. Sentiasa berkejar-kejar. Mengapa tidak solat dahulu di tempat kerja? Sekali lagi, kerenyahan dan faktor keselamatan untuk ke tempat solat yang disediakan itu menjadi alasan utama.
Puncak kepada cerita ini, pada suatu hari semasa saya menghubungi ibunda saya, saya sebutkan jua tentang dilema saya ini kepada ibunda. Selama ini ibunda mungkin tidak tahu tentang solat Asar hujung waktu, yang ibunda tahu pernah satu masa saya kerap pulang lambat sehingga selepas Isya’ dan ibunda dengan tegas menegahnya atas dasar keselamatan. Tentang solat pada hujung waktu memang saya tidak mahu menyebutnya kerana saya pasti ibunda akan sedih/kecewa mendengarnya. Lebih-lebih lagi, apabila kerja didahului berbanding solat. Dunia vs. akhirat.
Subhanallah. Saya tidak menyangka respon ibunda saya lebih baik berbanding yang saya bayangkan. Ibunda tidak berleter atau menyalahkan saya tentang perkara ini malah terus mencadangkan solusi. MasyaAllah. Nikmat apa yang lebih besar daripada itu pada masa itu. Cuma sekali lagi, saya berhadapan dengan kerisauan pada tanggapan manager saya yang non-Muslim itu. Dan sekali lagi, perkataan “cuba “ atau “usaha” yang dipesan kepada saya selain menyebut tentang mengutamakan solat walaupun terpaksa mengganggu waktu kerja, serta tetap mendapatkan jalan terbaik memberi manfaat kepada diri saya dan juga syarikat.
Tindakan pertama yang perlu saya lakukan dan memang sikap ini yang tertanam dalam diri saya, iaitu meminta izin dan cuba untuk berunding dengan manager. “Sir, saya ada satu perkara nak cakap dengan sir. Sir perasan kan saya selalu kelam kabut nak balik dengan alasan untuk solat? Sebenarnya, saya bukannya nak cepat-cepat balik sangat, tetapi, memang sebab solat itu sahaja saya memang tidak boleh untuk menangguhkan balik lebih lambat lagi. Jadi, saya ingin meminta izin sir untuk keluar solat mungkin akan mengambil masa lebih 15 minit dan saya akan bersikap jujur untuk menggantikan waktu itu semula,”
Mendengar sahaja perkara ini, manager saya sangat terkejut kerana masalah itu menjadi masalah saya selama ini. Dia mengatakan mengapa tidak? Katanya, solat itu tanggungjawab dan hak saya dan saya patutnya mengambil masa untuk itu. Buatlah apa cara sekalipun jika perlu mengisi form dan manager perlu sahkannya, dia boleh sahkannya pada masa itu juga. “It shouldn’t be a problem,”
Apabila dirujuk kepada pihak pengurusan, masyaAllah terasa “mengapalah saya sebegini?” Pihak pengurusan menjawab bahawa “tentang solat ini tidak perlu dikira-kira sangat. Biarlah berapa masa staf perlu ambil, dengan syarat masa itu digantikannya,” Setelah beberapa bulan saya bekerja di sini, dengan soalan seperti ini saya tidak pernah cuba untuk menyebutkannya, Allah.. Saya sedar betapa lurusnya saya pada waktu itu. Kesal dengan sikap diri sendiri. Saya yang rugi.
Sejak daripada itu, Alhamdulillah syukur tidak terhingga. Saya boleh solat dengan tenang. Hendak balik pun tidak rushing. Alhamdulillah, tsumma Alhamdulillah.
Siapa sangka perkara sebegini menjadi masalah kepada orang seperti saya? Orang lain tiada masalah pun. Tidak perlu pun clarification manager ke, pihak pengurusan ke. Kalau nak solat, mereka solat sahajalah. Apa yang saya boleh simpulkan di sini. Ketahuilah pertimbangan, pemikiran dan keputusan setiap orang itu berbeza-beza. Mungkin boleh dikatakan kelemahan diri saya. Sesuatu yang sepatutnya mudah, tetapi, sendiri diberati. Tetapi, tidak mengapa. Walau sedikit lambat untuk memperbaiki keadaan namun saya tetap dapat menemukan jalan keluar ini. Dan, Ibunda telah menjadi asbab sekali lagi menyelamatkan saya pada perkara seperti ini.
Jika kita punyai dilema yang terbungkam di jiwa, cubalah kongsikan kepada orang yang dipercayai. Mungkin, itulah cara terbaik menemukan jalan keluar dan kita lebih merasa yakin dengan ada yang menyokong tindakan kita. Jangan biar ia terkunci. Tanpa mencuba, tiada siapa tahu disudahi gagal atau berjaya. Jika sudah dikongsi tetapi masih belum menemukan jalan keluar itu, usahlah berputus asa. Dalam setiap langkah kerana Allah, kita ada Allah yang Maha Kuasa dan Dia boleh berkata “kun fayakun” Jadi, kuatkanlah keyakinan dan azammu.
Sekian sahaja.
Catatan,
MimRa.
15 November 2020,
29 Rabiulawwal 1442H.
First Edition: 15/12/2020
No comments:
Post a Comment