Monday, 9 March 2020

Ziarah Orang Tua/Orang Sakit (016)

Saya teringat satu situasi di rumah (kampung) di mana ada dua orang tetamu wanita hadir. Seorang tu mungkin berumur dalam lingkungan 30an manakala seorang lagi adalah emaknya. Bila sudah terserempak, mestilah kena bersalaman sebagai adab. Lalu, mak suruh pergi ke dapur buat air. Sedang saya membancuh air, mak datang dari belakang membisik, "Awak jalan depan orang tak reti tunduk ea," Saya pun menjawab, "Saya tunduklah tadi, mak," Mak membalas, "Tangan tu tak ada?" Saya pun baru sedar, ya lah, kita jarang sambut tetamu, mungkin sudah terlupa. 

- Tentatif -
Semalam (Ahad, 8 Mac 2020) saya ditakdirkan dan diberi izin oleh Allah untuk menyertai lebih kurang 15-20 orang AJK Masjid (dan jemaah) bersama mak, abah dan adik untuk menziarahi orang tua atau orang sakit di kampung. Sudah menjadi program bulanan yang disusun oleh AJK Masjid di kampung saya. Alhamdulillah, rasa beruntung sebab dapat pengalaman yang tidak dirancang itu. Seperti semalam, tentatif ziarah bermula dengan bertanyakan khabar, berbual mesra dengan target ziarah dan keluarganya. Diikuti pemberian sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang poket. Kemudian, ada seorang wakil AJK Masjid yang mengetuai bacaan doa untuknya. Seterusnya, tuan rumah ada menjemput kami untuk menjamu serba sederhana hidangan yang dikeluarkan. Diakhiri dengan sesi bersalaman sebelum pulang.

Hikmah Ziarah Orang Tua/Orang Sakit (secara berjemaah):

1. Mengetahui dan MENGAMBIL BERAT keadaan saudara sekampung. Bila kita datang ke rumah seseorang, mungkin kita lebih faham keadaan yang perlu ditanggung oleh empunya badan yang menanggung. Berbanding bila kita tidak tahu, mungkin kita akan lebih cenderung untuk mencipta andaian demi andaian yang jika tersasar akan menghasilkan prasangka yang mengundang dosa atau kerenggangan silaturrahim.

2. Muhasabah diri kita akan MASA TUA yang kita akan lalui suatu hari nanti (jika dipanjangkan umur). Seorang datuk dan nenek yang kami ziarah, mereka diceritakan bahawa ingatan mereka pada hafalan surah-surah Al-Quran akan dibacakan sebagai kelaziman seharian mereka. Kemudian, waktu solat, jika mereka tidak lupa (faktor tua), mereka pasti akan tunaikan. Rukun wuduk dan solat tidak mereka lupa. Wuduk diangkat seperti mana dahulu, dengan tertib. Jika waktu muda kita tidak mengutamakan rutin ibadah seperti itu, mungkinkah ingatan itu dapat mendatangi kita pada hari tua nanti?

3. Mengambil pengajaran daripada KEADAAN RUMAH mereka. Sepanjang perjalanan ziarah kami, mak saya sentiasa berbisik-bisik dan berpesan kepada saya supaya perhatikan bagaimana tersusun dan kemasnya rumah tuan rumah yang menjaga orang yang keuzuran. Kata mak, sedangkan rumah orang tua mampu bersih dan tersusun rapi, mengapa tidak boleh diaplikasikan di rumah orang yang sihat (kita)?

4. Belajar ADAB BERTAMU. Bila disebut AJK Masjid kampung, sudah tentu majoritinya adalah orang dewasa pangkat makcik pakcik. Jadi, kita boleh lihat dan perhatikan bagaimana orang-orang 'lama' menjaga tertib menziarahi tuan rumah. Topik yang disentuh, menjaga sensitiviti, meraikan tuan rumah, cara bergurau senda, tempat yang patut duduk, memberikan sumbangan, tidak bermain telefon, dan sebagainya.

5. Banyakkan senyum, MENDENGAR dan belajar menghormati orang yang lebih tua. Sebagai orang muda, bila bersama sekumpulan orang yang lebih tua, antara mindest yang perlu kita hadirkan adalah, "mereka adalah orang yang berpengalaman, berilmu dan terlebih dahulu melalui pahit manis hidup," Jadi, setiap butir kata mereka, kita boleh cuba analisa makna tersurat dan tersirat. Kebiasaan orang dewasa mempunyai sikap suka berkias atau berlapik dalam berbicara. Itulah melambangkan bagaimana mereka menjaga sensitiviti dan adab berbicara dan menjaga hati orang lain. Setiap tatacara mereka juga menjadi panduan bagi kita orang muda yang kurang peka dengan tatasusila.

6. Berbeza bila BERGAUL antara ziarah dengan 'merewang'. Merewang (persiapan kenduri), kita bersosial juga. Kita dapat juga tahu khabar si fulan dan si fulan. Tetapi, pada pendapat saya, mungkin adab itu terlanggar juga tidak banyak sedikit. Aura merewang tu 'up' sikit, lebih bertenaga begitu. Jadi, its a good atmosphere for thinking, and reflection.

7. TANGGUNGJAWAB sebagai anak atau saudara terdekat untuk menjaga mak ayah (atau saudara) yang sudah tua dan semakin uzur. Termasuklah dalam mencipta suasana yang sihat dan bersih. Setiap gerak gerinya yang rutin patut kita atur satu per satu untuk memastikan tiada kemalangan, atau hal yang terlepas pandang. Sebagai contoh, makan dan minum yang mencukup, ubat dan waktu makan ubat, istinjak, pengudaraan, pakaian yang dipakai mereka dan kedudukan setiap perkakas dan peralatan yang sering digunakan.

Begitulah sedikit sebanyak hikmah yang dapat digarab. Moga dapat dipraktikkan di alam nyata ini, insyaAllah.

"Kerana orang yang lebih utama kita berbuat baik adalah keluarga".

Sekian, terima kasih.

Catatan,
MimRa.
9 Mac 20
14 Rejab 1441H

First Edition: 09/03/2020

Friday, 6 March 2020

Bila Kita Nak Jadi Anak Yang Soleh? (015)

"Ibu bapa kita BUKANNYA perlukan kita sangat kat dunia ini. Tapi, mak ayah kita SANGAT perlukan kita bila di sana nanti (selepas meninggal dunia)," 
[mafhum daripada ceramah Ustazah Asma Harun]
.
Perlahan-lahan, kita KENA DIDIK DIRI kita jadi anak soleh solehah supaya dapat bantu mak ayah kita di alam sana nanti (atau sekarang bagi sebahagian daripada kita).

Alhamdulillah, Allah masih pinjamkan mak abah saya untuk saya berbuat baik kepada mereka. Selalu, akan ada satu-satu masa bila saya membayangkan macamana kalau Allah ambil salah seorang daripada mereka daripada saya. MasyaAllah, tak sanggup, tidak terbayang tanpa berjuraian air mata, memohon Allah tangguhkan takdir itu. Saya tahu saya belum cukup buat hati mak abah saya senang, berbahagia selalu memikirkan anak-anaknya. Tak cukup dengan menjaga kita semasa kecil, dah besar ini pun mereka nak kena fikirkan masalah kita.

Ada satu kisah yg saya tak ingat secara detail, kalau tidak silap saya memang berlaku semasa zaman Rasulullah s.a.w. di mana seorang anak mendukung ibunya yang tua menunaikan haji daripada awal sampai habis, lalu ditanya kepada Rasulullah s.a.w., "cukupkah aku telah membalas jasa ibuku?" Lalu jawapannya daripada Rasulullah s.a.w. adalah "...tidak..."

Saya berharap dengan kesempatan masa yang Allah beri, walaupun sebagai manusia yang tetap sering melakukan kesilapan, saya dan kita takkan berputus asa berusaha untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu ayah. Kerana itu perintah Allah. Bukan sebab mereka yang telah terdahulu berbuat baik kepada kita (seperti yang diajarkan oleh Habib Ali Zainal Abidin).

Ustaz-ustaz selalu pesan supaya dalam al-Fatihah, zikir, mahupun bacaan Al-Quran atau amal soleh lain yang kita lakukan, dianjurkan untuk kita niatkan sedekah kepada orang yang telah meninggal dunia sama ada secara spesifik ataupun umum. Yang paling dekat atau mudah dengan kita adalah bacaan surah al-Fatehah yg kita baca selepas solat dan sebelum kita membaca doa.

Ada dua orang insan yang selalu terlintas di fikiran saya selain ibu ayah saya. Mereka adalah arwah pakngah dan arwah acik saya. Arwah pakngah saya telah meninggal dunia ketika saya sedang menduduki peperiksaan SPM. Manakala arwah acik telah meninggal dunia ketika saya darjah 1. Kecil lagi saya waktu tu. 

Saya selalu memikirkan penyebab saya mengingati mereka, berbanding arwah yang lain. Perbuatan baik arwah pakngah yang membuatkan saya ingin mendoakan beliau adalah satu peristiwa sahaja. Pada tahun SPM, semasa raya haji, kami budak SPM tak boleh bercuti untuk balik kampung, tetapi, disebabkan asrama saya berlokasi di kampung rumah saya sendiri, saya telah ditakdirkan berjumpa dengan pakngah ketika kami budak asrama selesai menunaikan solat raya di Masjid Saga. Pakngah suruh saya balik juga pada hari berkenaan sebab di rumah ada tumbangkan lembu. Disebabkan saranan pakngah, saya baru dapat idea untuk balik kampung juga tapi dengan cara "outing". Dan, hari itu saya gembira sangat, sebab kononnya saya dapat buat apa yang budak lain tak dapat buat (sebab rumah diorang semua jauh-jauh). Tahulah, betapa nikmatnya dapat meluangkan masa bersama saudara-mara yang jarang-jarang berkumpul. Semoga Allah kurniakan rahmat-Nya kepada arwah pakngah saya itu.

Arwah acik. Memori saya bersama arwah acik tak banyak yang saya ingat sebab waktu tu saya kecil lagi. Arwah acik meninggal sebab kanser kalau tidak silap pada salah satu bahagian yang ada pada kepala atau muka. Satu sahaja yang saya rasa saya perlu mendoakan dia. Iaitu, sebab arwah acik meninggal pada usia muda, bujang, tiada anak dan atuk nenek telah meninggal lebih awal daripada acik. Saya berfikiran bahawa, jika orang lain meninggalkan anak untuk mendoakan mereka, maka siapa pula yang akan banyak doakan arwah acik saya? Mungkin mak saya selaku kakaknya, dan juga adik beradiknya yang lain. Kesian arwah acik. Jadi, saya rasa saya selaku anak buahnya perlu mendoakan dia. Dia perlukan doa saya dan ahli keluarganya yang lain. Dan arwah acik juga asbab saya ingin menaip post ini, kerana, saya masih tertanya-tanya pada Allah, bagaimana saya boleh bermimpi arwah acik beberapa hari lepas? Dia berbicara dengan saya, tapi saya tak ingat apa. Yang penting tidak berbaju putih dan tidak pula situasi yang pelik. Dalam mimpi itu hanya perbualan yang bersahaja antara makcik dengan anak buah. Saya tertanya tanya bahawa mimpi itu jatuh di kategori yang mana? Datang dari Allah, gangguan syaitan atau perasaan saya? Wallahu'alam. Saya serahkan kepada Allah.

Berbalik kepada tajuk...

Mungkin 2 tribute itu macam tak ada kena mengena. Tapi, bagi saya, jika tak banyak sedikit reflek kepada status diri kita sama ada pada sisi Allah kita ni anak yang soleh atau tidak supaya Allah dapat sampaikan doa kita kepada ibu ayah kita, memberi kebaikan kepada mereka sebagaimana mereka telah menjaga kita dengan penuh kudrat dan kesabaran. Jika tugas mereka di atas muka bumi ini telah berakhir, tak bermakna tugas kita kepada mereka juga telah berakhir. Kita punyai fungsi ke atas diri mereka supaya mereka beroleh kebaikan, diringankan azab di alam sana nanti. InsyaAllah.

Moga kita jadi anak yang soleh solehah. InsyaAllah, aamiin.

Catatan,
Mimra.
6 Mac 2020.
11 Rejab 1441H.

Al-Fatehah.

First Edition: 06/03/2020

Tuesday, 3 March 2020

Review Novel Abu Ayub Al-Ansari (014)

Karya Abdul Latip Talib (2013), PTS Litera Utama.

Buku ini dibaca disebabkan rasa ingin tahu yang tinggi tentang keistimewaan yang ada pada Abu Ayub, iaitu sahabat Rasulullah s.a.w.. Rasa ingin tahu itu timbul sejurus selesai menamatkan bacaan buku “Cerita Cinta Ahmad Ammar” pada Ogos 2018 yang sangat memberi kesan kepada diri saya sebagai seorang pemuda. Keistimewaan peribadi Ahmad Ammar melayakkan dirinya disemadikan di sebelah pusara Abu Ayub Al-Ansari di Turki. Daripada itu saya tertanya-tanya, siapakah Abu Ayub Al-Ansari?

Dapatan daripada buku ini:

1. Dapat mengenali latar belakang Abu Ayub. Sebagai contoh; 
- Nama Abu Ayub Al-Ansari adalah nama yang diberi oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa hijrah. Nama asalnya ialah Khalid Bin Zaid.
- Rumah Abu Ayub terpilih sebagai rumah pertama bagi Rasulullah s.a.w. menetap sesampai baginda s.a.w. di Madinah ketika peristiwa hijrah sehinggalah rumah baginda s.a.w. dibina lama selepas itu.

2. Semangat memperjuangkan agama dan cita-cita untuk mendapatkan syahid oleh tentera Islam dalam meluaskan satu-satunya agama benar, yakni Islam.

3. SEMANGAT yang tak pernah padam Abu Ayub untuk menyertai setiap peperangan sejak perang pertama dalam sejarah Islam iaitu Perang Badar sehinggalah beliau meninggal dunia dalam perjuangan menawan Kontantinopel pada umur mencecah 80an (sahabat nabi sa.w. yang paling tua ketika itu). Beliau hidup dan merasai pertukaran pemerintahan dari zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah selepas Khulafak Ar-Rasyidin, dan tidak pernah berhenti berjihad dan berdakwah.

4. STRATEGI peperangan yang digunakan tentera Islam yang mantap walaupun dengan jumlah tentera yang sedikit dan tidak mempunyai kelengkapan perang yang sempurna. Ada sahaja backup plan selain BERDOA DAN BERTAWAKAL kepada Allah s.w.t.. Kejayaan tentera Islam dari satu peperangan ke satu peperangan membuktikan bahawa kebergantungan tentera Islam kepada Allah s.w.t. itu adalah senjata kemenangan. Antara strategi melawan musuh termasuklah tipu muslihat (terhadap musuh), penyamaran, membuat kepungan yang menyebabkan terputusnya bekalan makanan, bantuan penambahan tentera, menggali parit dan banyak lagi.

5. PERANAN ketua angkatan tentera, angkatan tentera, khalifah, batalion, utusan dan lain-lain semasa menghadapi musuh. Juga bagaimana pemimpin Islam mengenali panglima-panglimanya, ahli-ahlinya yang diberi kepercayaan untuk mengetuai angkatan tentera, memberi bantuan. Sikap TAAT SETIA kepada pemimpin kecuali golongan munafik yang enggan.

6. Tiga (3) PILIHAN yang ditawarkan kepada setiap pemerintah/raja wilayah yang ingin ditawan oleh Islam. Boleh dikatakannya hampir kesemuanya memilih untuk berperang.

7. Di sebalik tabir pertukaran kepimpinan Islam selepas Rasulullah s.a.w. wafat – Khulafak Ar Rasyidin – dan selepasnya.

8. Gugurnya Abu Ayub Al-Ansari.

9. Islam tidak pernah menyerah kepada musuh (dalam penaklukan Konstantinopel). Hanya berundur untuk melakukan persediaan yang lebih rapi dan strategik.

Alhamdulillah, terima kasih kepada buku ini (penulis buku) kerana berjaya menimbulkan rasa pengahayatan dan minat kepada kisah-kisah perang dan perjuangan penyebaran Islam yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang diwarisi baginda s.a.w..

Sekian sahaja.

Catatan,
MimRa.
030320M
080741H

(Bacaan: 10 Januari 2020 - 3 Mac 2020)

First Edition: 03/03/2020

Kesan melazimi zikir (125)

Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. PERMULAAN Biasa kan, tasbih digital dijadikan sebagai...