Antara lelaki dan perempuan, ada satu perbezaan. Yang mana lelaki boleh kekal konsisten namun tidak bagi perempuan.
Iaitu SOLAT.
Seusaha manapun seorang muslimah menjaga ibadahnya, dia tetap akan melalui masa yang Allah mengharamkannya untuk solat. Tidak bagi lelaki. Ini bukan bermakna Allah tidak adil. Tidak sama sekali. Malah Allah sangat cantik mengatur ciptaan makhluk-makhluk-Nya. Ada yang kurang ada yang lebih, menjadikan keseluruhannya sempurna.
Bila tidak dapat solat antara nikmat yang tertangguh bagi seorang muslimah adalah:
1. Nikmat berwudhuk; membersihkan diri zahir dan batin
2. Nikmat satu keadaan untuk bersedia untuk solat; peka dengan waktu yang berlalu dan masuknya waktu solat yang seterusnya
3. Nikmat menetapkan posisi, menumpukan sepenuh perhatian dan melihat ke tempat sujud; saat untuk melafazkan takbiratul ihram
4. Nikmat menjaga dan peka pada rukun solat (tertib); andai ada yg terlupa perlu bertindak serta merta atau sujud sahwi & menahan diri daripada perkara yg membatalkan solat
5. Nikmat berada pada kedudukan paling dekat dengan Allah, benar-benar merendahkan diri, menghambakan diri pada-Nya; waktu sujud
6. Nikmat waktu makbul doa; sujud terakhir
7. Nikmat waktu yg dikhususkan sunat membacakan doa perlindungan daripada azab kubur, seksa api neraka, fitnah hidup & mati & fitnah dajjal; waktu antara tahyat akhir dan salam
8. Nikmat bertenang melafazkan wirid selepas solat sebelum menadah tangan memanjatkan doa; juga antara waktu makbul doa
9. Nikmat mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya 5 kali sehari untuk menunaikan solat pada waktu yang telah ditentukan tidak kira siang atau malam
10. Bagi yang menjaga wudhuk antara waktu solat, maka malaikat mendoakannya selagi wudhuk itu tidak terbatal
11. Ketenangan keseluruhan; mengenepikan diri daripada urusan dunia, berzikir dan membaca ayat-ayat Al-Quran, terutamanya bagi yang benar-benar khusyuk
Subhanallah... Tidakkah beruntung orang lelaki? Malah sebenarnya lebih daripada yang tersenarai di atas. Nikmat yang tidak terungkap, bagi yang menghayatinya.
Buktinya, bukan sedikit soalan atau keluhan para muslimah menyatakan rasa sedih mereka terutamanya bila tiba bulan Ramadhan, bulan pesta beribadah. Walaupun alternatif seperti berzikir, berselawat, berdoa, bersedakah dan amalan lain tetap tiada halangan melaksanakannya, tetapi tetap nikmat yang didapati waktu solat itu tidak mampu disamakan dengan yang lain.
Namun, tidak kurang beruntung bagi muslimah yang mampu menjaga dirinya sepenuhnya. Keadaan itu tidak meluakkan sedikitpun amalan lain. MasyaAllah hebatnya bagi yang mampu mujahadah sepenuh masa! Hakikatnya seorang wanita yang mampu menahan dirinya daripada solat sedang melaksanakan perintah Allah untuk tidak solat. Bukankah melaksanakan perintah Allah itu semuanya ibadah? Malah jika dia solat, dialah yang berdosa kerana mengingkari perintah Allah itu.
Dalam pada itu, bukan segelintir muslimah yang akan mengambil peluang masa diharamkan solat itu dengan mengatur jadual hariannya pada perkara yang juga bermanfaat sama ada untuk dunia atau akhirat, yang mana orang lelaki pula tidak miliki kesempatan itu. Mereka mempunyai lebih masa pada perkara lain dan tetap mendapat pahala juga selagi mana tidak berhenti/lalai daripada zikir kepada-Nya.
Sebaliknya, waktu itu menjadikan mereka rugi seandainya masa itu digunakan untuk kesempatan melakukan perkara yang lalai atau sia-sia. Jika dia bermujahadah, maka pahala yang besar untuknya.
MasyaAllah. Cantik kan pertimbangan dan peraturan Allah? Beruntung bagi yang mampu melakukan perkara yang Allah suka!
Jadi... Para muslimin, terbitkanlah rasa syukur atas nikmat itu. Janganlah anggap solat itu sebagai beban. Malah menjadikan anda lebih kuat berbanding wanita. Kuat jasmani dan rohani.
Bagi para muslimah pula, hargailah waktu boleh solat itu sebaik-baiknya. Kerana hanya waktu itu juga muslimah dibenarkan untuk membaca dan menyentuh Al-Quran. Hanya kalian sahaja yang faham rasa saat itu. Rasa kosong, rasa sukar, rasa jauh dan pelbagai rasa yang tidak jelas.
Kepada Allah jualah kita kembali mencari ketenangan hakiki.
Sekian sahaja.
Wabillahitaufiq walhidayah.
Catatan,
MimRa.
01 Safar 1442H,
19 September 2020.
First Edition: 19/09/2020